Archive for » October 20th, 2007 «

Berbagi Suami

Saya baru sahaja habis menonton filem Berbagi Suami di Astro Ria. Semasa tayangan di pawagam pada tahun lepas, saya tidak sempat menontonnya. Bagus juga ceritanya. Membuatkan saya tergelak sendiri. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang lelaki boleh menjalani kehidupan dengan tenang dan aman damai sekiranya beristeri empat. Salah satu plot dalam cerita tersebut ialah ketiga-tiga isteri lelaki itu mendapat tahu yang mereka bermadu dengan isteri ke-4 ketika upacara pengebumian suami mereka! Lawak betul.

Bagaimana agaknya jika saya berada di tempat salah seorang daripada mereka ya? Hmm..nauzubillah. Minta dijauhkan. Biarlah tidak mendapat payung emas di syurga. Untuk berkongsi kasih tidak sama sekali. Tetapi, kalau sudah begitu suratan yang telah Allah aturkan untuk saya, apa daya saya untuk menolaknya. TIDAKKKKKKKKKK!!! Walau bagaimanapun, selagi akal fikiran saya masih waras, suami orang bukanlah pilihan saya.

Berkongsi kasih memang menyesakkan dada. Sekiranya kita sakit hati orang mengambil hak kita, begitu juga perasaan orang yang diambil haknya. Perempuan, apabila sudah berkahwin, jiwa dan raganya hanya untuk seorang lelaki. (Bukan pengalaman saya. :D ) Berbeza dengan lelaki, hatinya boleh dibahagi 4. Lebih teruk lagi boleh dibahagi 10! Ya, saya tau, lelaki boleh berkahwin 4 tetapi mampukah si suami tadi berlaku adil, zahir dan batin? Kalau soalan yang satu ini tidak boleh dijawab, simpan saja niatmu itu wahai Encik Lelaki. Gaji tak sampai RM2000, pergi kerja pun naik motor kapcai, ada hati nak beristeri lebih!

Sepertimana firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 3 yang berbunyi :

وان خفتم ألا تقسطوا في اليتامى فانكحوا ما طاب
لكم من النساء مثنى وثلاث ورباع فان خفتم
ألاتعدلو فواحدة أو ما ملكت أيمنكم ذلك أدنى
ألا تعولوا

“Dan jika kamu tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (apabila kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”
(An-Nisa: 3)

Dalam bab berpoligami, lelaki biasanya akan mengguna pakai ayat yang saya boldkan di atas saja dan terlupa pula untuk mengambil kira ayat yang saya merahkan itu. Sedangkan mereka tahu, mereka tidak boleh berlaku adil. Adil tak adil belakang kira, yang penting kenikmatan beristeri baru!

Ayat berikutnya Allah s.w.t berfirman :

ولن تستطيع أن تعدلوا بين
النساء ولو حرصتم فلا تميلوا كل الميل
فتذروها كالمعلقة وأن تصلحوا وتتقوا فا ن
الله كان غفورا رحيما

“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walau
pun kamu sangat ingin berbuat demikian. Kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai) sehingga kamu biarkan yang lain tergantung-gantung, dan jika kamu melakukan kebaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
(An-Nisa: 129)

Ya Encik Lelaki, sekiranya anda tahu dengan berpoligami anda akan menyusahkan banyak pihak, padamkanlah niat anda itu dengan kadar segera. Kasihanilah isteri dan ibu kepada anak-anak anda itu. Entahlah, bagi saya poligami lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Hanya segelintir sahaja yang menemui kebahagiaan dengan berpoligami. Yang lain? Banyak kes-kes wanita yang dimadu dibiarkan terkontang-kanting menyara anak bersendirian. Digantung tidak bertali oleh suami durjana dan terdapat juga kes-kes mahkamah syariah yang masih tertunggak walaupun suami isteri itu sudah tidak sebumbung selama 10 tahun!

Yang menerima kesan paling buruk, tentulah wanita. Lelaki senang saja. Mengulit isteri baru dan isteri lama diperlakukan seperti kain lap kaki sahaja. Jangan cuba nak menafikan hakikat ini ya.

Besar harapan saya agar masih ramai lelaki yang baik-baik di luar sana. Itulah doa saya setiap hari. Amin…

Category: Life  8 Comments

Berbudi Kepada Tanah

Pada hari raya ketiga lepas, sepupu saya mengajak ke rumah rakannya di Sabak Bernam. Menyelusuri sepanjang jalanraya di sekitar Sekinchan dan Tanjung Karang, saya melihat rumah-rumah besar tersergam mewah dan cantik. Dibina di tepi sawah padi yang menghijau. Bukan satu dua rumah yang sebesar begitu. Saya rasa lebih 10 buah rumah. Ada yang dibina 3 tingkat siap dengan balkoni dan pagar melingkar mengelilingi rumah! Di hadapan rumah pula bersusun kereta mewah anak-anak di bawah garaj. Dalam hati saya, kalau rumah sebesar ini dibina di Kota Damansara, harganya mau mencecah jutaan ringgit.

Terfikir di benak saya, mereka hanya orang kampung, tetapi rumah mengalahkan kita yang kononnya berjawatan tinggi, gaji beribu dan tinggal pula di kota metropolitan. Cepat-cepat saya tepis dengan membuat rumusan, itulah habuan untuk mereka yang berbudi kepada tanah. Ya, berbudi kepada tanah.

Saya kira, mereka dahulunya hanya petani saja. Bersawah dan bercucuk tanam. Cuba lihat sekarang, hasil penat lelah mereka berpuluh tahun terbayar dengan kehidupan serba mewah yang mereka kecapi kini.

Bagi sesiapa yang pernah melalui jalanraya di Sekinchan dan Tanjung Karang, pasti pernah melihat buah pelam dan jagung bersusun di atas rak, dijual oleh penduduk kampung di sepanjang jalan. Agak-agak, berapa ye pendapatan mereka? Makcik saya sendiri, seorang guru sekolah rendah yang berkahwin dengan orang Sekinchan, juga hanya seorang guru, mampu hidup mewah dengan hasil tanaman pelam dan tanaman-tanaman lain. Kalau pergi ke rumahnya, silap haribulan kita ingat kita pergi ke rumah Pegawai Daerah.

Seorang pakcik saya pula memang rajin menanam sayur-sayuran di belakang rumah. Kacang botol, cili, jagung dan bermacam-macam lagi. Nak makan, petik saja. Jimat dan dijamin kandungannya tidak terkena racun rumpai. Jauh sedikit dari rumahnya, dia bercucuk tanam pisang, ubi kayu, keladi, betik, jagung dan pelbagai jenis sayuran lagi. Untungnya kalau berbudi kepada tanah, tanah jadi subur, kita pula mendapat hasil. Boleh dijual dan juga dimakan. Seronok kan?

pakandak.jpg
Pakcik saya eksyen dengan ubi kayunya

ulat.jpg
Ulat beluncas tengah berposing. Kacau daun betul!

Dalam perjalanan balik dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor, kami melalui lagi jalan tadi. Saya asyik melihat rumah-rumah pakcik makcik petani itu. Pasti terbit rasa bangga di hati mereka, walaupun dengan hanya menjadi petani, penat lelah, jerih perih dan keringat mereka mampu menyekolahkan anak-anak hingga ke menara gading dan tiba masanya sekarang mereka menuai hasilnya!

Category: General  2 Comments

Jangan Jadi Gelas

Saya ingin berkongsi satu artikel yang saya baca dalam akhbar minggu lepas. Sejak menerima dugaan paling besar dalam hidup saya semasa bulan Ramadhan yang lepas, saya merasakan artikel ini sangat menarik dan sangat memberi inspirasi. Bacalah ye..


Seorang guru sufi mendatangi salah seorang muridnya. “Kenapa kau selalu tampak murung nak? Bukankah banyak perkara yang indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah bersyukurmu?” sang guru bertanya. “Guru, kebelakangan ini hidup saya penuh masalah,” jawab murid. Sang guru tersenyum. “Nak, ambil segelas air dan dua genggam garam. Bawalah ke mari. Biar kuperbaiki suasana hatimu itu.” Dengan tidak bersemangat, si murid melaksanakan permintaan gurunya itu.

“Cuba ambil segenggam garam dan masukkannya ke dalam segelas air itu. Setelah itu cuba kau minum airnya sedikit.” Si murid pun melakukannya. Wajahnya kini meringis kerana meminum air masin. “Masin, dan perutku jadi mual,” jawab si murid dengan wajah yang masih mengernyih. Sang guru ketawa kecil melihat wajah muridnya yang menyeringai kemasinan. “Sekarang kau ikut aku.” Sang guru membawa muridnya ke anak sungai berhampiran tempat mereka. “Ambil garam yang tersisa dan taburkan ke anak sungai. Sekarang, cuba kau minum air sungai itu,” kata sang guru.

Si murid mengambil air sungai menggunakan tangannya. “Ahh, segar sekali,” kata si murid sambil mengelap bibirnya dengan telapak tangan. Tentu saja, air sungai itu berasal dari aliran sumber air di atas sana. Dan airnya mengalir menjadi sungai kecil di bawah. Dan sudah pasti, air sungai ini juga menghilangkan rasa masin di mulutnya. “Terasakah masin garam yang kau taburkan tadi?” soal guru. “Tidak sama sekali,” kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi.

“Nak, segala masalah dalam hidup itu seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam. Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kau alami sepanjang kehidupanmu itu sudah diqadar oleh Allah, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap, begitu-begitu saja, tidak berkurang dan tidak bertambah. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian.”

“Tidak ada satu pun manusia yang bebas dari penderitaan dan masalah.” Si murid terdiam mendengarkan. “Tapi nak, rasa ‘masin’ dari penderitaan yang dialami itu sangat tergantung dari besarnya hati yang menampungnya. Jadi nak, supaya tidak berasa menderita, berhentilah menjadi gelas. Jadikan hati dalam dadamu itu seperti air sungai.”

Sebaik saja saya membaca artikel ini, saya yakin bahawa dugaan yang Allah berikan kepada saya itu memang diberikan untuk menguji ketabahan hati saya. Alhamdulillah, berkat sokongan kawan-kawan di sekeliling, dugaan itu dapat saya tempuhi. Saya sempat bersedih sehari saja. Rugi buang air mata. Hiks!


Category: Life  4 Comments

Indahnya Beraya di Desa

Indahnya beraya di desa,
Kaya dan miskin sama meraikan,
Mengikut kemampuan diri sendiri,
Bergembira
♫♫♫

Kunjung mengunjung diamalkan,
Bertukar juadah tanda berjiran,
Sebuah desa bagaikan bersaudara,
Oh seronoknya
♫♫♫

Bagaimana beraya di desa? Tentu seronokkan? Tahun ini seperti biasa, saya beraya di dua tempat. Kampung Sungai Choh dan Kuala Selangor.

Walaupun sudah berpindah ke Bukit Beruntung lebih 4 tahun, solat hari raya pasti akan saya tunaikan di Masjid Kampung Sungai Choh. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain mercun. Hiks.

Usai solat sunat Aidilfitri, saya dan mak terus menuju ke rumah arwah atuk dan nenek. Pakcik saya tinggal di rumah itu sekarang. Sempat juga berjumpa makcik, pakcik dan sepupu-sepupu yang datang dari Serendah. Seperti biasa, agak pitam dan sesak napas sebab kena bagi duit raye :( Hehe.

menmanja.jpg

Saya dan salah seorang sepupu-Fairus

Selepas bersalam-salaman, bermaafan-maafan, saya dan mak bertandang pula ke rumah jiran kami semasa tinggal di Sungai Choh. Kebetulan kawan lama saya yang sudah 16 tahun tidak berjumpa - Chiko (cam nama kucing, kan? Jangan marah ye beb, hiks!), datang juga ke Sungai Choh menziarahi saudara maranya di sini. Sempatlah bertepuk bertampar 5 minit. Dia mengutuk saya dah gemuk. (Takpe, nanti aku eksesais!)

menchiko.jpg

Bersama Chiko (bukan nama sebenar). Nama sebenar Hafizah. ;) Gemuk ke gua ni beb?

Kemudian, saya dan mak menziarahi boifren mak saya di batu 2. Walaupun sudah 23 tahun boifrennya meninggalkannya, mak masih lagi setia. Saya berdoa dan berharap, sekiranya saya mendirikan rumahtangga nanti, saya juga akan sesetia mak. (Abah, orang sayang abah tau…Semoga abah bahagia di sana..Amin..)

Bertolak dari kubur Kampung Sungai Choh lebih kurang jam 1 tengahari dan sampai di Kuala Selangor 45 minit kemudian. Terdengar riuh rendah suara sepupu dan anak buah dari dalam rumah melayan tetamu. Raya tahun ini, anak buah (anak sepupu saya) yang masih belajar di UM membawa 2 orang rakannya balik ke kampung beraya bersama-sama. Chee Cia Cia; gadis Cina dari Kuching, Sarawak dan Farlin; Cina-Kadazan dari Menggatal, Sabah teringin meraikan hari raya di sini. Kami menggelar mereka kucing menggatal. Huhu. Sungguh ayu melihat mereka berbaju kurung dan kebaya. (Baju anak buah saya). Kami keliling kampung beraya bersama-sama. Seronok betul! Cia dan Farlin pun dapat duit raya. Sabar ajelah.

farlincia1.jpg
Farlin, Azlyna dan Cia

menolien.jpg
Bersama salah seorang anak buah – Salyna (sila abaikan dagu berlapis)

menazlyna.jpg
Bersama seorang lagi anak buah – Azlyna

Hari raya kedua, kami mengadakan sedikit kenduri doa selamat. Untuk kaum keluarga sahaja. Nak tau lauknya? Udang galah yang dipancing sendiri oleh suami sepupu saya. Nyam-nyam! Isterinya, iaitu sepupu saya merupakan pengusaha sampan. Setiap hujung minggu pasti kaki-kaki pancing dari KL akan turun menyewa sampannya untuk melepaskan gian memancing. Ok, meh kita tengok gambar ya.

udangblommasak.jpg
Sebahagian udang yang belum dimasak. Talam tak muat

udangmasak.jpg
Udang yang sudah disambal. Tu tangan sape la tu

udang1.jpg
Saya sempat bergambar dengan udang. Besar kan?

Sedikit IKLAN : Sesiapa yang ingin memancing udang, boleh menghubungi sepupu saya Puan Rokiah di talian 03-32812084/017-3867376. Harga sewa sampan untuk sehari ialah RM15-RM25 bergantung kepada saiz sampan.

Saya menghabiskan cuti saya 6 hari di Kuala Selangor. Puas betul bercuti tahun ni. Berjalan ke Ampang, Klang hingga ke Behrang. Masa inilah nak menziarahi saudara-mara kerana pada hari-hari biasa, kita terpaksa memenuhi tuntutan tugas seharian yang tidak pernah habis. Hmm..

family.jpg
Sebahagian daripada keluarga besar kami

Sebelum saya mengakhiri tulisan saya, saya ucapkan SELAMAT HARI RAYA dan MAAF ZAHIR BATIN.

Category: Family, Life  6 Comments