Archive for » October, 2007 «

Saturday, October 20th, 2007 | Author: Ujie

Pada hari raya ketiga lepas, sepupu saya mengajak ke rumah rakannya di Sabak Bernam. Menyelusuri sepanjang jalanraya di sekitar Sekinchan dan Tanjung Karang, saya melihat rumah-rumah besar tersergam mewah dan cantik. Dibina di tepi sawah padi yang menghijau. Bukan satu dua rumah yang sebesar begitu. Saya rasa lebih 10 buah rumah. Ada yang dibina 3 tingkat siap dengan balkoni dan pagar melingkar mengelilingi rumah! Di hadapan rumah pula bersusun kereta mewah anak-anak di bawah garaj. Dalam hati saya, kalau rumah sebesar ini dibina di Kota Damansara, harganya mau mencecah jutaan ringgit.

Terfikir di benak saya, mereka hanya orang kampung, tetapi rumah mengalahkan kita yang kononnya berjawatan tinggi, gaji beribu dan tinggal pula di kota metropolitan. Cepat-cepat saya tepis dengan membuat rumusan, itulah habuan untuk mereka yang berbudi kepada tanah. Ya, berbudi kepada tanah.

Saya kira, mereka dahulunya hanya petani saja. Bersawah dan bercucuk tanam. Cuba lihat sekarang, hasil penat lelah mereka berpuluh tahun terbayar dengan kehidupan serba mewah yang mereka kecapi kini.

Bagi sesiapa yang pernah melalui jalanraya di Sekinchan dan Tanjung Karang, pasti pernah melihat buah pelam dan jagung bersusun di atas rak, dijual oleh penduduk kampung di sepanjang jalan. Agak-agak, berapa ye pendapatan mereka? Makcik saya sendiri, seorang guru sekolah rendah yang berkahwin dengan orang Sekinchan, juga hanya seorang guru, mampu hidup mewah dengan hasil tanaman pelam dan tanaman-tanaman lain. Kalau pergi ke rumahnya, silap haribulan kita ingat kita pergi ke rumah Pegawai Daerah.

Seorang pakcik saya pula memang rajin menanam sayur-sayuran di belakang rumah. Kacang botol, cili, jagung dan bermacam-macam lagi. Nak makan, petik saja. Jimat dan dijamin kandungannya tidak terkena racun rumpai. Jauh sedikit dari rumahnya, dia bercucuk tanam pisang, ubi kayu, keladi, betik, jagung dan pelbagai jenis sayuran lagi. Untungnya kalau berbudi kepada tanah, tanah jadi subur, kita pula mendapat hasil. Boleh dijual dan juga dimakan. Seronok kan?

pakandak.jpg
Pakcik saya eksyen dengan ubi kayunya

ulat.jpg
Ulat beluncas tengah berposing. Kacau daun betul!

Dalam perjalanan balik dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor, kami melalui lagi jalan tadi. Saya asyik melihat rumah-rumah pakcik makcik petani itu. Pasti terbit rasa bangga di hati mereka, walaupun dengan hanya menjadi petani, penat lelah, jerih perih dan keringat mereka mampu menyekolahkan anak-anak hingga ke menara gading dan tiba masanya sekarang mereka menuai hasilnya!

Category: General |  2 Comments
Saturday, October 20th, 2007 | Author: Ujie

Saya ingin berkongsi satu artikel yang saya baca dalam akhbar minggu lepas. Sejak menerima dugaan paling besar dalam hidup saya semasa bulan Ramadhan yang lepas, saya merasakan artikel ini sangat menarik dan sangat memberi inspirasi. Bacalah ye..


Seorang guru sufi mendatangi salah seorang muridnya. “Kenapa kau selalu tampak murung nak? Bukankah banyak perkara yang indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah bersyukurmu?” sang guru bertanya. “Guru, kebelakangan ini hidup saya penuh masalah,” jawab murid. Sang guru tersenyum. “Nak, ambil segelas air dan dua genggam garam. Bawalah ke mari. Biar kuperbaiki suasana hatimu itu.” Dengan tidak bersemangat, si murid melaksanakan permintaan gurunya itu.

“Cuba ambil segenggam garam dan masukkannya ke dalam segelas air itu. Setelah itu cuba kau minum airnya sedikit.” Si murid pun melakukannya. Wajahnya kini meringis kerana meminum air masin. “Masin, dan perutku jadi mual,” jawab si murid dengan wajah yang masih mengernyih. Sang guru ketawa kecil melihat wajah muridnya yang menyeringai kemasinan. “Sekarang kau ikut aku.” Sang guru membawa muridnya ke anak sungai berhampiran tempat mereka. “Ambil garam yang tersisa dan taburkan ke anak sungai. Sekarang, cuba kau minum air sungai itu,” kata sang guru.

Si murid mengambil air sungai menggunakan tangannya. “Ahh, segar sekali,” kata si murid sambil mengelap bibirnya dengan telapak tangan. Tentu saja, air sungai itu berasal dari aliran sumber air di atas sana. Dan airnya mengalir menjadi sungai kecil di bawah. Dan sudah pasti, air sungai ini juga menghilangkan rasa masin di mulutnya. “Terasakah masin garam yang kau taburkan tadi?” soal guru. “Tidak sama sekali,” kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi.

“Nak, segala masalah dalam hidup itu seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam. Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kau alami sepanjang kehidupanmu itu sudah diqadar oleh Allah, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap, begitu-begitu saja, tidak berkurang dan tidak bertambah. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian.”

“Tidak ada satu pun manusia yang bebas dari penderitaan dan masalah.” Si murid terdiam mendengarkan. “Tapi nak, rasa ‘masin’ dari penderitaan yang dialami itu sangat tergantung dari besarnya hati yang menampungnya. Jadi nak, supaya tidak berasa menderita, berhentilah menjadi gelas. Jadikan hati dalam dadamu itu seperti air sungai.”

Sebaik saja saya membaca artikel ini, saya yakin bahawa dugaan yang Allah berikan kepada saya itu memang diberikan untuk menguji ketabahan hati saya. Alhamdulillah, berkat sokongan kawan-kawan di sekeliling, dugaan itu dapat saya tempuhi. Saya sempat bersedih sehari saja. Rugi buang air mata. Hiks!


Category: Life |  4 Comments
Saturday, October 20th, 2007 | Author: Ujie

Indahnya beraya di desa,
Kaya dan miskin sama meraikan,
Mengikut kemampuan diri sendiri,
Bergembira
♫♫♫

Kunjung mengunjung diamalkan,
Bertukar juadah tanda berjiran,
Sebuah desa bagaikan bersaudara,
Oh seronoknya
♫♫♫

Bagaimana beraya di desa? Tentu seronokkan? Tahun ini seperti biasa, saya beraya di dua tempat. Kampung Sungai Choh dan Kuala Selangor.

Walaupun sudah berpindah ke Bukit Beruntung lebih 4 tahun, solat hari raya pasti akan saya tunaikan di Masjid Kampung Sungai Choh. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain mercun. Hiks.

Usai solat sunat Aidilfitri, saya dan mak terus menuju ke rumah arwah atuk dan nenek. Pakcik saya tinggal di rumah itu sekarang. Sempat juga berjumpa makcik, pakcik dan sepupu-sepupu yang datang dari Serendah. Seperti biasa, agak pitam dan sesak napas sebab kena bagi duit raye :( Hehe.

menmanja.jpg

Saya dan salah seorang sepupu-Fairus

Selepas bersalam-salaman, bermaafan-maafan, saya dan mak bertandang pula ke rumah jiran kami semasa tinggal di Sungai Choh. Kebetulan kawan lama saya yang sudah 16 tahun tidak berjumpa - Chiko (cam nama kucing, kan? Jangan marah ye beb, hiks!), datang juga ke Sungai Choh menziarahi saudara maranya di sini. Sempatlah bertepuk bertampar 5 minit. Dia mengutuk saya dah gemuk. (Takpe, nanti aku eksesais!)

menchiko.jpg

Bersama Chiko (bukan nama sebenar). Nama sebenar Hafizah. ;) Gemuk ke gua ni beb?

Kemudian, saya dan mak menziarahi boifren mak saya di batu 2. Walaupun sudah 23 tahun boifrennya meninggalkannya, mak masih lagi setia. Saya berdoa dan berharap, sekiranya saya mendirikan rumahtangga nanti, saya juga akan sesetia mak. (Abah, orang sayang abah tau…Semoga abah bahagia di sana..Amin..)

Bertolak dari kubur Kampung Sungai Choh lebih kurang jam 1 tengahari dan sampai di Kuala Selangor 45 minit kemudian. Terdengar riuh rendah suara sepupu dan anak buah dari dalam rumah melayan tetamu. Raya tahun ini, anak buah (anak sepupu saya) yang masih belajar di UM membawa 2 orang rakannya balik ke kampung beraya bersama-sama. Chee Cia Cia; gadis Cina dari Kuching, Sarawak dan Farlin; Cina-Kadazan dari Menggatal, Sabah teringin meraikan hari raya di sini. Kami menggelar mereka kucing menggatal. Huhu. Sungguh ayu melihat mereka berbaju kurung dan kebaya. (Baju anak buah saya). Kami keliling kampung beraya bersama-sama. Seronok betul! Cia dan Farlin pun dapat duit raya. Sabar ajelah.

farlincia1.jpg
Farlin, Azlyna dan Cia

menolien.jpg
Bersama salah seorang anak buah – Salyna (sila abaikan dagu berlapis)

menazlyna.jpg
Bersama seorang lagi anak buah – Azlyna

Hari raya kedua, kami mengadakan sedikit kenduri doa selamat. Untuk kaum keluarga sahaja. Nak tau lauknya? Udang galah yang dipancing sendiri oleh suami sepupu saya. Nyam-nyam! Isterinya, iaitu sepupu saya merupakan pengusaha sampan. Setiap hujung minggu pasti kaki-kaki pancing dari KL akan turun menyewa sampannya untuk melepaskan gian memancing. Ok, meh kita tengok gambar ya.

udangblommasak.jpg
Sebahagian udang yang belum dimasak. Talam tak muat

udangmasak.jpg
Udang yang sudah disambal. Tu tangan sape la tu

udang1.jpg
Saya sempat bergambar dengan udang. Besar kan?

Sedikit IKLAN : Sesiapa yang ingin memancing udang, boleh menghubungi sepupu saya Puan Rokiah di talian 03-32812084/017-3867376. Harga sewa sampan untuk sehari ialah RM15-RM25 bergantung kepada saiz sampan.

Saya menghabiskan cuti saya 6 hari di Kuala Selangor. Puas betul bercuti tahun ni. Berjalan ke Ampang, Klang hingga ke Behrang. Masa inilah nak menziarahi saudara-mara kerana pada hari-hari biasa, kita terpaksa memenuhi tuntutan tugas seharian yang tidak pernah habis. Hmm..

family.jpg
Sebahagian daripada keluarga besar kami

Sebelum saya mengakhiri tulisan saya, saya ucapkan SELAMAT HARI RAYA dan MAAF ZAHIR BATIN.

Category: Family, Life |  6 Comments
Thursday, October 11th, 2007 | Author: Ujie

Sambungan daripada Cinta Duda & Janda – Episod I.

Ms. J pernah meluahkan perasaannya kepada saya bahawa dia takut untuk memberi komitmen walaupun hormon miangnya mencanak-canak. Ada beberapa sebab dia cuba menolak perasaannya. Pertama, dia bertanggungjawab menjaga ibu bapanya. Begitu juga dengan Mr. D yang tinggal bersama keluarga. Sekiranya ditakdirkan mereka berkahwin, sudah pasti salah seorang daripada mereka mesti berkorban. Sekiranya Ms. J berkeras mahu terus tinggal bersama ibu bapanya, Mr. D terpaksa meninggalkan keluarganya pula. Begitulah sebaliknya. Cara lain, kedua-dua mereka mesti berkorban. Bila saya tanya Ms. J, katanya tidak sanggup.

Sebab kedua, anak sulung Ms. J tidak membenarkan ibunya berkahwin lagi. Dia tidak mahu tempat ayahnya digantikan oleh lelaki lain. Jadi, Ms. J tidak boleh mementingkan diri sendiri dengan tidak memperdulikan perasaan sang anak.

Sebab ketiga, Ms. J sudah biasa hidup sendiri, menguruskan hal diri sendiri. Apabila berkahwin semula, sudah pasti kebajikan suami, makan minum, kain baju hendak dijaga. Menurutnya, dia sudah lama tidak meng’iron’ kemeja lelaki. Hehe.

Sebab keempat, Ms. J masih perlu menjaga hati bekas suaminya kerana sejak perceraian mereka, bekas suaminya mengalami masalah kemurungan. Mereka bercerai kerana keluarga suami. Jadi, bekas suami Ms. J bukan melepaskan Ms. J sepenuh hati. Bayangkan jika bekas suaminya tahu yang Ms. J akan berkahwin lain, silap haribulan pasti Ms. J akan diparangkan! Choyy!

Jadi kekangan-kekangan ini, sedikit sebanyak membantutkan perasaan ingin bercinta semula yang sedang bercambah di dalam hati Ms. J. Ibarat kata, “ditelan mati emak, diluah mati ayah“. Tersepit di antara kehendak hormon sendiri dengan perasaan orang lain di sekelilingnya.

Berlainan pula dengan Mr. D. Kalau boleh, besok juga dia ingin berkahwin dengan Ms. J. Biasalah..Lelaki..Hehe. Lelaki kebanyakannya mendahulukan perasaannya dan kemudian baru ambil kira perasaan orang lain. Betul kan?

Apabila Ms. J meminta pendapat saya, saya minta dia timbangkan sendiri. Yelah, dia yang akan berkongsi hidup dan melalui hari tua bersama lelaki itu. Saya, hanya boleh menjadi pendengar dan menokok tambah saja. Keputusan akhir masih dia yang perlu putuskan. Kalau dia tidak sanggup melalui hari tua bersendirian dan ingin ber’baby’ baru, kahwinlah. Jika tidak, cantas segera perasaan cinta yang baru nak tumbuh itu. Bukan apa, jika disemai, dibaja dan disiram tetapi di pengakhiran cerita mereka tidak boleh hidup bersama, lagi bertambah parah. Dua jiwa terpaksa dikorbankan. Jiwa Duda & Janda.

Saya tahu, Ms. J membaca blog saya ini. Akak, saya doakan akak dapat buat decision yang terbaik untuk hidup akak. Saya doakan apa juga keputusan yang akak buat, akan membawa sinar bahagia dalam kehidupan akak nanti. Makan nasi minyak, jangan lupa jemput orang tau. Walaupun Mr. D tu VVVVIP, janganlah pulak mintak hantaran sampai RM444,444 macam Dato’ Roslan dan Kerabat Pahang, Puteri Shahanaz tu. Hiks! Akhir kata, bila nak langsung?

Mendengar sendiri kisah ini dari mulut tuan punye badan, Ms. J, saya terasa betapa susahnya bercinta semula selepas mengalami kegagalan pada perkahwinan pertama. Banyak hati perlu dijaga. Banyak perkara perlu diambil kira. Apa pendapat anda? Mungkin Ms. J akan membaca pendapat anda nanti. Patutkah dia berkahwin dengan Mr. D atau tidak?

Category: Life, Love |  4 Comments
Thursday, October 11th, 2007 | Author: Ujie

Waahhh…belum berkahwin, belum menjanda, saya dah sibuk-sibuk buka topik Cinta Duda & Janda pula. Advance betul. Hahah!

Seperti yang kita tahu, tiada seorang pun pasangan yang berkahwin, yang telah melafazkan ikrar perkahwinan untuk sehidup semati, inginkan gelaran janda atau duda. Lebih-lebih lagi ketika usia perkahwinan baru mencecah beberapa tahun. Tetapi, semua alur kehidupan ini telah ditentukan oleh Allah s.w.t (walaupun kita sudah berusaha sehabis daya dan bertawakkal). Ada pula yang telah hidup bersama lebih 30 tahun, dikurniakan 18 orang anak, 45 orang cucu masih juga boleh melalui detik hitam perceraian ini.

Tidak kira sama ada bercerai hidup atau mati, gelaran yang diterima oleh pasangan yang ditinggalkan pastilah Janda atau Duda. Jika janda tersebut masih cantik lawa, gelaran tambahan yang diterima olehnya ialah “Janda Meletop“. Hehe. Kalau duda yang masih hensem pula, “Duda Rebutan, Terhangat di Pasaran“.

Berbanding janda, kebanyakan duda biasanya tidak betah hidup bersendirian lama-lama. Apa orang kata, “Kubur isteri baru nak tumbuh rumput, sudah berangan-angan beristeri baru” (kahwin baru pakai duit insurans isteri pula tu) Lain pula dengan kebanyakan perempuan yang menjadi janda. Contoh paling hampir ibu saya sendiri. Apabila arwah abah meninggal dunia 23 tahun yang lalu, ibu saya masih bersendirian sehingga kini walaupun ketika bergelar janda dia masih lagi MALATOPS. Baru berusia 41 tahun ketika itu.

Janganlah marah wahai Encik Lelaki. ;) Jangan pula anggap saya feminisme ya. Saya menulis berdasarkan pemerhatian dan pembacaan serta sedikit pengalaman daripada orang yang rapat dengan saya.

Cukuplah mukaddimah tentang janda dan duda di atas ya. Kisah yang akan saya bawakan sebentar lagi merupakan kisah benar yang akan saya tukarkan nama watak dan tempat kejadiannya supaya tidak akan disaman di kemudian hari. Hiks!

Biar saya namakan mereka Ms. J (nick name yang comel untuk Janda) dan Mr. D (encik Duda). Ms. J merupakan seorang usahawan wanita berjaya di bandar S berusia 39 tahun dan Mr. D seorang VVVVIP (punyala banyak “V’, maknanya Mr. D ini seorang yang ternamalah) di sebuah syarikat terkemuka di KL. Berusia mungkin 42-43 tahun. Ms. J telah berpisah dengan suaminya lebih kurang 2-3 tahun yang lepas. Begitu juga Mr. D, berpisah dengan isterinya lebih kurang 2 tahun.

Buat pengetahuan pembaca semua, selama berpisah dengan suaminya, Ms. J belum pernah dating dengan mana-mana lelaki lain untuk mengisi kekosongan hatinya. Beliau sibuk menguruskan perniagaan dan 2 orang anak serta menumpukan perhatian kepada ibu bapanya. Mr. D pula, dengan gelaran VVVVIPnya, dengan jawatan tinggi yang dipegang di syarikat terkemuka serta sibuk menguruskan projek-projek besar, saya andaikan juga tidak keluar dating dengan mana-mana perempuan. Tambahan pula dia juga tinggal bersama ibu bapanya, sudah pasti perhatiannya lebih kepada mereka.

Begitulah kehidupan Ms. J dan Mr. D selama 2 tahun sejak berpisah dengan pasangan masing-masing. Sehinggalah kecanggihan teknologi Internet menemukan mereka. (korang jangan tak tau, orang tua jaman sekarang lagi advance berchatting di Yahoo Messenger). Sejak berchatting di YM, bertukar-tukar gambar (mana aci, bagi gambar zaman muda-muda), maka Ms. J dan Mr. D mula terasa ada tindak balas kimia (chemistry la tu) di antara mereka. Sanggup bersengkang mata berchatting dari tengah malam hingga ke sahur (Malam Lailatulqadar ada tunggu tak?) Hiks. Mula pandai ber’sms’ dan calling-calling. Sang lelaki, dari KL sanggup meluangkan masa (padahal tengah bizi dengan projek) datang ke bandar S untuk bersua muka dengan Ms. J. Begitulah panahan asmara Duda dan Janda.

Nota bulu kaki : Nantikan sambungannya di dalam Cinta Duda & Janda – Episod II

Category: Life, Love |  Leave a Comment