Archive for » October, 2007 «

Raya Dulu, Raya Sekarang

Sedar tak sedar, lagi 3 hari umat Islam akan menyambut hari kemenangan bagi mereka yang berpuasa penuh; Hari Raya Aidilfitri 1428H. (yang puasa tak berapa penuh, sila sambut Deepavali, CNY atau Pesta Keamatan ok!) Dalam keghairahan menyambut kedatangan Syawal ini, kita seringkali terlupa kepada Ramadhan yang bakal kita tinggalkan. Ramadhan bulan penuh keberkatan, rahmat dan segala macam kebaikan yang terdapat di dalamnya.

Ramadhan juga membuka banyak pintu rezeki kepada para peniaga, usahawan, anak-anak yatim dan fakir miskin. Para peniaga dan usahawan pastinya begitu bersemangat mencari rezeki dengan berniaga pada bulan Ramadhan ini. Lihat saja di PARAM-PARAM (Pasar Ramadhan) sekitar KL, penyanyi yang biasa memegang mikrofon, bila tiba bulan Ramadhan pandai pula memegang sudip menggoreng ayam berempah. Jurutera yang biasanya bergelumang dengan habuk di tapak pembinaan, bergelumang pula dengan asap hasil memasak ikan bakar. Cikgu-cikgu sekolah pula, time inilah mengangkut satu kontena kuih raya untuk dijual kepada rakan-rakan seperguruan, guru besar, kerani, tukang kebun dan jangan tidak percaya, ada juga yang menjual kepada murid-murid kelasnya!

Kepada anak-anak yatim, fakir miskin dan mereka yang serba kekurangan, Alhamdulillah, kedatangan Ramadhan dan Syawal sangat memberi erti kepada mereka. Pada bulan Ramadhan, biasanya wakil-wakil rakyat, persatuan-persatuan, badan-badan kebajikan, stesen TV dan orang-orang kenamaan berlumba-lumba memberi sedekah kepada mereka ini. Inilah masa untuk mereka merasa berbaju baru, berkasut baru dan merayakan Aildilfitri sebagaimana orang lain.

22 tahun yang lepas, semasa saya dalam darjah 1, wakil rakyat kami iaitu Tan Sri Muhammad bin Mohd Taib (dulu beliau bergelar YB saja) bersedekah baju dan duit raya kepada anak-anak yatim. (saya menjadi anak yatim ketika berumur 6 tahun) Pada ketika itu, Allah saja yang tau gembiranya hati saya bukan kepalang. Saya masih ingat lagi, kain untuk membuat baju raya yang saya terima itu berwarna biru. Mujur juga ibu saya seorang tukang jahit. Jadi, kami tidak perlu membazirkan wang mengupah orang menjahit baju.

Kalau kanak-kanak sekarang main terjah saja mengutip duit raya walaupun dari rumah orang yang tidak dikenali, seingat saya, saya tidak pula begitu. Saya hanya menjalankan misi beraya di rumah jiran yang sudah tentu saya kenal dan masak sedap-sedap. (kecik-kecik pun dah kuat makan!) Kalau dapat duit raya, itu kira bonus. Itu seingat sayalah. Entah-entah saya beraya 2-3 kali di rumah yang sama yang bagi duit raya seringgit. Hihi. (Tahun 1980an, tuan rumah yang bagi duit raya seringgit, bolehlah dianggap orang ada-ada)

Apabila sudah bekerja, giliran saya pula memberi duit raya. Dekat-dekat nak raya, rasa macam nak pitam. Sebab mengenangkan kena bagi duit raya kan? Tapi, apa salahnya. Setahun sekali bersedekah. ;) Saya juga ada pengalaman papa kedana di waktu raya. Insiden itu berlaku semasa raya tahun 2003. 2 minggu lagi nak raya, kereta saya accident. Saya sondol bontot Wira seorang lelaki India. RM150 melayang. Syarikat tempat saya bekerja pula, bagi gaji cukup-cukup makan. Tak silap saya, setiap seorang dapat gaji RM500 saja sebelum raya. Sedih, kan? Baju raya pun saya tak dapat beli. Nasib baik kakak saya beri kain untuk dibuat baju raya. Saya minta mak saya potongkan kain itu dan saya jahit baju saya sendiri. Bila dalam keadaan terdesak, semua benda boleh buat. Tapi bila dah tak berapa miskin, baju raya main tempah je. Padahal, kalau jahit sendiri, dah jimat 40-50 hengget!

Kuih raya pula, saya tak berapa minat nak buat (ke tak reti?) Saya biasanya suka masak kek cokelat atau buat biskut batik saja. Kuih raya, bagi chance pada orang lainlah. Kesian Kak Senah tu kalau saya tak beli kuih raya dia. Hiks! Tapi saya ada pengalaman menjual kuih raya. Kawan minta saya tolong jualkan. Saya paksa budak-budak ofis dan boss saya beli. Dapatlah saya kuih raya free 2 bekas. Ok lah tu kan.

Selain itu, lagu raya pun memainkan peranan penting bagi menimbulkan mood berhari raya. Rangkaian lagu-lagu raya malar segar masih menjadi pilihan saya berbanding lagu raya yang dicipta oleh komposer-komposer baru. Cuba kita bandingkan lirik dan melodi lagu raya yang ditulis oleh P.Ramlee dengan..Entah, siapa ya?(tengok, komposer pun saya tak kenal) Lagu raya lama lebih menekankan aspek bermaaf-maafan, keinsafan, memuji kebesaran Allah dan sebagainya berbanding lagu raya zaman sekarang yang tertumpu kepada kegembiraan bermain mercun! Tidaklah semua lagu raya zaman sekarang begitu. Ada juga yang sedap seperti lagu Aishah dan Siti Nurhaliza. Tapi lagu raya yang saya tak boleh terima ialah lagu Awie (ke Wings?) Lagu raya, bunyi macam lagu nak buat konsert Rock. Oh! Pelllisss.

Tak kira zaman sekarang atau zaman dahulu, yang penting pengisian kita menyambut hari raya tersebut. Jangan lupa bermaaf-maafan, kunjung mengunjung dan merapatkan silaturrahim ya. Oh! Ada juga yang makan nasi minyak di musim-musim raya ini. Jadi di kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf sekiranya coretan saya ada yang menyinggung atau mencuit hati anda. Saya hanyalah seorang Ujie Brutal dan Mapia. Kalau berkesempatan ke Kuala Selangor, (kalau berani) singgahlah ke Kampung Kuantan. Saya ada di sana mungkin hingga 3-4 hari. Kalau ada rezeki anda, boleh merasa rendang daging landak.

Kepada yang memandu, “Don’t Sleep and Drive”. Bahaya tu. Penumpang di belakang, jangan lupa pakai tali pinggang keledar. Kepada yang sedang berdiet, teruskan diet anda. Jangan main bedal je segala benda (Oh!Ya. berat saya turun daripada 59kg kepada 50kg di bulan puasa ni. Terima kasih Tummy Trim…) Hahah! Akhir kata, SELAMAT MENYAMBUT SYAWAL MULIA dan MAAF ZAHIR & BATIN.

raya.png

Category: Life  5 Comments

Memilih Pasangan Umpama Memilih Lane Paling Lancar di LDP!

Tahukah anda bahawa, memilih pasangan hidup umpama memilih lane yang paling lancar dan paling clear di LDP (Lebuhraya Damansara Puchong)? Hmm..Tentu ramai yang tertanya-tanya apakah maksud perumpamaan yang saya suke-suki je cipta ni kan? Perumpamaan ini timbul di benak saya semasa sering berulang alik dari Damansara-Putrajaya sewaktu masih bekerja di syarikat lama. Sambil drive sambil layan blues, kata orang. Lebuhraya Damansara Puchong adalah lebuhraya yang menghubungkan antara Damansara dan Puchong (off course la). Info dari Wikipedia sila klik di sini.

Pernahkah saudara saudari menggunakan LDP? Pernahkah saudara saudari menggunakan LDP pada waktu puncak (pergi dan balik kerja)? Pernahkah saudara saudari menggunakan LDP pada waktu hujan? Jika semua jawapan bagi soalan di atas ialah “TIDAK”, maka apa yang boleh saya beritahu di sini ialah barangsiapa yang biasa melalui LDP, perlulah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi, mesti pandai mencilok dan mesti pandai mengagak keadaan jalan.

Jadi, semasa saya sedang memandu di LDP, terutamanya di sekitar kilang Motorola dan Western Digital, Kelana Jaya serta di IOI Mall, Puchong, ketangkasan memilih lane yang paling laju amat diperlukan. Anda cuba bayangkan, ketiga-tiga lane di LDP sedang sesak teruk. Lane satu, langsung tidak bergerak. Lane kedua bergerak sederhana laju dan lane ketiga paling laju. Jadi sudah tentu kita akan memilih lane ketiga. Walaupun begitu, lane ketiga ini belum tentu terjamin kelancarannya sehingga anda sampai ke tempat yang ingin dituju. Sedang kita syok-syok drift di lane ketiga, tiba-tiba ada pula seekor kura-kura sedang menikmati pemandangan jalanraya mengganggu mood kita. Jadi, kita pun masuk lane kedua dengan harapan perjalanan kita menjadi lancar. Sebaik saja kita menukar ke lane kedua, tiba-tiba lane kedua pula langsung tidak bergerak (rupanya ada accident di depan). Anda sudah tersilap pilih lane. Anda mula bagi signal ke kanan untuk masuk semula ke lane ketiga. (ya, sikap manusia memang tidak sabar). Begitulah seterusnya sehingga anda berpuas hati.

Jadi apa kaitan dengan memilih pasangan? (semenjak dua menjak ni saya rasa macam jiwang pula!) Sepertimana yang anda juga tahu, memilih pasangan hidup bukan suatu perkara yang mudah. Kadang-kadang kita rasa pasangan kita itu sudah sesuai dengan diri kita, tapi akhirnya timbul juga masalah. Kadang-kadang kita rasa perhubungan dengan pasangan kita lancar sahaja, tapi akhirnya putus juga. Kadang-kadang, orang yang kita tidak suka pada mulanya, akhirnya serasi pula dengan kita. Begitulah kehidupan.

Adakah anda nampak kaitan memilih pasangan hidup ini dengan memilih lane yang paling laju di LDP? (atau saya sorang je syok sendiri?) Anda harapkan orang yang anda pilih untuk berkongsi hari tua anda, berkongsi suka duka, berkongsi gelak tawa (walaupun anda tidak ada gigi dan memakai gigi palsu) adalah orang yang tepat. Anda memilih pasangan anda dengan berhati-hati, memilih dengan sebaik-baiknya. Anda juga mendapat restu keluarga. Tapi, jika pilihan yang anda buat ini masih tidak menemui bahagia, anggap saja ia sebagai cabaran hidup yang mesti ditempuhi. Tentu anda pernah dengar atau baca “Marriage is a gambling”. “Perkahwinan itu satu perjudian”. Bukan berjudi ya, tetapi perjudian hidup. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan. Cuma kita boleh berusaha dan berdoa agar Allah kurniakan kehidupan yang baik-baik sahaja kepada kita.

Saya mengaku saya pernah tersilap dalam memilih pasangan. Saya anggap saja ini dugaan Allah kepada saya. ;) Dan saya tak akan berhenti mencari lane yang paling lancar di LDP! Hahah! Oh ya, sekejap lagi saya akan ke Putrajaya untuk berjumpa client. Saya akan menggunakan LDP hari ini. Sambil tu boleh layan blues.

Sekian sahaja untuk hari ini. Sila tinggalkan pendapat anda sekiranya anda bersetuju atau tidak dengan saya.

p/s: Anda juga boleh tukar LDP kepada KESAS, NKVE, PLUS, Federal Highway mengikut kesesuaian anda. Hiks!

Category: Life  4 Comments

Kad Raya – Artifak Peninggalan Zaman Batu!

Siapa dapat kad ucapan raya (bukan kad raya elektronik ye) pada tahun ini, angkat tangan!! Hmm…nampaknya takde sorang pun yang dapat ye? Kad raya; 6-7 tahun dulu, menjadi suatu tanda bahawa anda masih diingati oleh kawan-kawan, sanak saudara, boifren-boiren atau gelfren-gelfren. ;) Tetapi apabila teknologi Internet berkembang pesat pada tahun 2000, ditambah pula dengan adanya kemudahan telefon bimbit, kad raya sudah dianggap artifak zaman batu. Sesiapa yang menerima kad raya pada tahun ini, walaupun hanya sekeping sepatutnya berbangga! (saya dapat 2 keping pada tahun ni :D )

Bercerita tetang kad raya, semasa saya masih belajar di sekolah rendah (1985-1990), kad raya yang saya terima dari kawan-kawan berpuluh keping. Siap letak dalam album dan akan berlumba dengan kawan baik, siapa yang dapat kad raya paling banyak. Ada yang sampai beli sendiri, tulis sendiri, hantar kepada diri sendiri (saya tak ingat sama ada saya melakukan benda yang sama atau tidak. Hiks! Rasanya macam tak..) Petua saya mudah sahaja. Kalau nak dapat kad raya daripada orang, kita kena bagi kepada orang tu dulu. Jangan lupa letak pantun – Pecah kaca, pecah gelas, sudah baca, harap balas. Dan kalau kita nak tengok kad raya kita digantung di pokok hiasan di rumah kawan kita, jangan lupa sertakan pantun ini – Pecah kaca pecah tong, sudah baca harap gantung. Hehe. Kalau dapat kad raya dari cikgu, lagilah bangga.

Semasa di sekolah menengah, kad raya yang diterima sudah berkurangan. Mungkin yang hantar kad raya kepada kita, kawan-kawan yang sudah lama kita tak jumpa. Maklumlah, naik je sekolah menengah, ada yang masuk asrama atau berpindah ke tempat lain. Jadi, sebagai tanda ingatan, kiriman kad raya menjadi pengganti diri. Mungkin juga semasa di sekolah menengah, ada yang dah pandai admire pakwe tu, minat makwe ni. Jadi kad raya digunakan sebagai langkah pertama perkenalan atau mula menjalinkan persahabatan dengan ucapan “Assalamualaikum Suzi (bukan nama sebenar) Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Lebaran. Raya-raya jugak, PMR jangan lupa. Ikhlas dari Anak Pak Mat Tempe“. Begitulah lebih kurang.

Kemudian, apabila mula menjejakkan kaki ke universiti, lagilah tak dapat kad raya. Kalau ada pun, dari mak di kampung (itupun merengek-rengek 10x mintak mak kirim kad raya! Bukan ape, nak act sikit ngan kawan-kawan). Ataupun masa ni dah ada steady boifren/gelfren yang bagi kad raya bermuzik. Kalau boleh, setiap masa nak baca kad raya yang boifren/gelfren bagi tu sampai bateri lemah. Haha! Ini bukan cerita saya, cerita orang lain ye.

Tahun 2000 saya mula bekerja, Internet sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Saya sudah malas mengirim kad raya sebaliknya hanya mengirim kad raya elektronik saja. Cepat, jimat dan mudah! Saya biasanya mengirim kad raya melalui http://www.123greetings.com. Cantik dan bermacam-macam pilihan. Di samping itu, kita juga mengirim ucapan hari raya melalui SMS dan MMS. Salah satu SMS yang biasa saya kirim kepada kawan-kawan ialah, “Dagang Pak Malau dagang berlipat, dagang saya mengkuang Mak Limah, kalau teringin nak makan ketupat, jemput-jemputlah datang ke rumah“. Menarik bukan?

Ya kawan-kawan, begitulah perkembangan tekologi menghapuskan budaya mengirim kad ucapan hari raya pada zaman sekarang. Mungkin ada di antara adik-adik atau anak-anak kita yang dah tak tau apa itu kad ucapan hari raya. Dan sebab itu juga saya gelarkan kad raya sebagai artifak peninggalan zaman batu! Setuju?

Send this free eCard

Send this eCard !

Selamat Menyambut Lailatul Qadar!

Category: General  10 Comments

Berkerja Sendiri atau Makan Gaji?

Pasti di antara kita yang dah tak larat nak bangun pagi, menghadap traffic jam pergi dan balik kerja dan juga mengadap muka boss kan? ;) Dan pasti juga ramai yang terfikir-fikir nak berhenti kerja dan buat bisnes sendiri..to be our own boss! Sebenarnya saya pon begitu. Sebab itu saya telah mengambil keputusan yang paling besar dalam hidup saya dengan BERHENTI KERJA! Ya!Berhenti kerja. 17 Ogos, hari pertama saya bergelar Boss! Hahah!

Semasa mula-mula buat keputusan itu, cuak juga. Yelah, dah 7 tahun bekerja makan gaji dan biasa dapat gaji setiap hujung bulan (pernah jugak dapat tengah-tengah bulan!), tiba-tiba kena mencari gaji sendiri. Besar dugaan tu! Tapi, apabila dah ambil keputusan tu, kenalah kuat semangat dan tak boleh berpatah balik. Alhamdulillah, mak dan kakak saya tak pernah menentang walaupun terdapat juga segelintir kawan-kawan yang menanyakan soalan-soalan maut seperti ini – “Kau tak takut ke?”, “Ada gaji basic tak?”, “Boleh kaya ke?” dan seribu satu soalan lagi.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, Rasulullah s.a.w telah menegaskan: “9 daripada 10 punca rezeki itu adalah daripada perniagaan.” Ramai orang faham hadis ini, tetapi tidak ramai yang berani menyahut cabarannya. Ada juga yang berani berniaga sendiri, tapi ramai juga yang kecundang. Walaupun saya berani menyahut cabaran itu, saya masih lagi bertatih untuk memastikan perniagaan saya nanti akan berjaya. Doakan saya ye..

Pengalaman berniaga saya bermula seawal umur 4 tahun. Ayah saya di masa lapangnya, suka menjala ikan. Jadi, banyaklah ikan yang dia bawa balik. So, saya dan emak akan round keliling kampung menjual ikan. Mak jadi tukang angkut bakul, saya tukang jerit. “Itan..itan..itan!!” (maaf, masa ni saya pelat lagi. :) ) Yang seronoknya, tak pernah ikan saya tak laku..Hee hee..Saya juga biasa menolong emak rakan saya menjual kuih keliling kampung. (Did i sound like Siti Nurhaliza? Haha) Dapatlah upah RM1.00. Best betul. Boleh beli aiskrim.

Semasa di sekolah menengah, saya memilih Kelab Usahawan Muda sebagai subjek kokurikulum saya. Pengalaman kami menjual popia goreng sewaktu Minggu Aktiviti, amat mengujakan! Laku macam goreng pisang panas! (Mungkin sebab kawan seperniagaan saya cun orangnya. Huhu)

Semasa masih lagi berkerja, saya juga pernah menjual kerepek. Pelanggan saya tak lain tak bukan, budak ofis! Tau jelah kalau budak lelaki, petang-petang je mesti ada makanan nak dikunyah. Saya menjual kerepek di ofis ni sekejap aje. Salah satu sebab, margin untung tak berapa besar, dan juga kesibukan dengan tugasan pejabat menghalang saya untuk pergi mengambil stok. Selain itu, saya juga ada trauma dengan kerepek ni. Hiks..

Sebelum berhenti kerja, banyak juga bidang-bidang perniagaan yang saya timbangkan untuk diceburi. Di antaranya, menanam cili secara fertigasi , menternak lembu fidlot dan projek cendawan. Saya buat research di Internet dan berjumpa sendiri dengan usahawan yang telah menjalankan projek cili secara fertigasi di rumahnya. Memang menarik, tapi bila memikirkan bidang tersebut memerlukan modal yang besar, hasrat saya terbantut.

Sehinggalah sesuatu berlaku, saya nekad terus untuk berhenti kerja dan dengan bantuan rakan saya, Jinggo, saya menceburi bidang yang 100% lari daripada kerjaya asal saya sebagai Programmer dan menjadi Perunding Pelaburan CIMB. Belajar Sains Komputer selama 4 tahun semasa di universiti. Bekerja selama 7 tahun sebagai programmer, dan kemudian beralih arah ke bidang kewangan.

Berbeza betul kehidupan saya semasa masih bekerja dan bila dah bekerja sendiri. Kalau dulu, pagi-pagi dah keluar pergi kerja, balik pula mungkin bila matahari dah tak ada. Tapi sekarang saya boleh menentukan jadual saya sendiri. Tapi silap haribulan, asyik melepak di atas tilam. Bila bekerja sendiri, disiplin diri paling penting. Saya masih lagi menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Jadi minta maaf sekiranya di waktu ini saya masih berada di atas katil! Hahah!

Nanti saya sambung lagi..

Category: Life  11 Comments