Archive for » October, 2008 «

Friday, October 24th, 2008 | Author: Ujie

Semalam saya pergi ke rumah terbuka lagi. Best betullah. Tapi kali ni rumah terbuka Suria.FM pulak. Diadakan di Restoran Puteri TTDI yang dimiliki oleh Rubiah Suparman dan penulis lirik terkenal, Habsah Hassan iaitu ibu saudara Engku Emran, orang kuat Suria.FM. Seperti biasa majlis bermula pada pukul 3 petang hingga 7 malam tapi kami hanya sampai pada jam 5 petang.

Sebaik sampai, kami disambut oleh Engku Emran yang sangatlah gorjesnya dengan baju Melayu hijau pucuk pisang. Erra takde masa ni. Kami pun ke kaunter pendaftaran dan terus masuk untuk makan. Makanan boleh tahan sedap tapi tak dapat makan banyak sangat sebab nak kena balik cepat.

Masa tengah makan-makan, ramai juga artis yang lalu lalang dan di antaranya Aizat AF (kurus siot mamat tu, comel pulak nampaknya), apetah nama penyanyi kumpulan Sofaz tu, lepas tu ada Farawahida, Nuhban AF dan managernya Vernon Kedit, Didi AF dan sape-sapetah lagi. Dan paling istimewa, mestilah orang kampung saya, Erra Pajirot. Belakang meja kami, wartawan Huzz dan gengnya. Besar betul rambut si Huzz. Hiks.

Erra tiba lebih kurang pukul 5.30 petang, Setelah membuat lambaian ratu kepada rakan-rakannya, Erra singgah ke meja kami untuk bersalam-salaman. Sempat saya speaking Bahasa Bengkulu dengan Erra. Ini antara dialog Suzi (tetiba tukar jadi nama artis gittew..) dan Erra.

Suzi : Ku wang Sungai Chu jugek. Wang kite gale.. (Saya orang Sungai Choh jugak. Orang kita semua)

Erra : Nian? Ha..te lah… (Ye ke? Ha, tu lah)

Oh ya! Mak saya pernah babysit Erra masa umur dia 8 bulan (tetap nak enter frame nih!!Huhu) sebab masa tu mak Erra bekerja di KL. Tak ada orang nak jaga dia. Lagipun rumah nenek saya dekat je dengan umah nenek dia. Tapi saya rasa Erra tak ingat pun, sebab dia kecik sangat masa tu. Saya pun tak ada lagi. Kakak saya pun masa tu baru berumur 8 tahun. Kakak saya cakap Erra masa kecik-kecik dulu macam Baby Michellin. Tembam betul, tangan kaki gemuk, berlipat-lipat. Lasak bukan main.

Okay, berbalik kepada rumah terbuka semalam, lepas selesai makan, saya nampak wartawan kecoh-kecoh kat luar. Rupanya Mawi dan Ikin baru sampai. Kecoh amik gambar rupanya. Lepas Mawi dan Ikin masuk, mereka singgah ke meja kami untuk bersalam-salam. Lawa Ikin ni. Kurus je.

Lepas dah bergambar-gambar dengan Erra, kami pun balik. Sejam je dekat sana. Jom, balik!! Oh, lupa, gambar belum tunjuk…


Bergambar beramai-ramai dengan Erra


Perut Erra tak besar sangat. Baru mengandung 4 bulan


Mawi dan Ikin


Bersama Didi AF

* Kami dijemput ke Rumah Terbuka Suria.FM sebab iklan untuk produk kecantikan rakan saya yang bakal menjadi jutawan kosmetik akan mula ke udara di Suria.FM bermula 15 November nanti. Tunggu………..

Category: Entertainment |  Tags: , | 2 Comments
Thursday, October 23rd, 2008 | Author: Ujie

Khamis minggu lepas, rakan saya mendapat jemputan ke Rumah Terbuka Utusan yang diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Jalan Sultan Ismail. Majlis bermula pada jam 3 petang hingga 7 malam. Tapi kami hanya sampai di sana hampir pukul 6. Serentak tiba dengan kami, pelakon Farid Kamil. Gila tinggi mamat tu.

Makanan yang disediakan menarik juga seperti nasi beriyani ayam percik, lemang rendang, ABC, sate dan macam-macam lagi. Tapi bila kami sampai, banyak yang dah habis. Artis yang masih ada ketika itu dah tak berapa ramai. Datuk Yusof Haslam, Aimi Jarr (aikk, veteran la pulak semuanya), Lisa Surihani sebab yang lain semua dah balik kot. Bila baca Utusan besoknya, baru saya tau Siti Nurhalipan pun ada dengan Dato’ Seri Abjadnya.

Yang bestnya, masa tengah sedap-sedap makan, Dr. Faiz (angkasawan negara ke-2) datang ke meja kami. Dia ni tak fotogenik sebab bila kat luar lagi handsome dan sweet. Dalam gambar macam biasa aje kan. Dan tak berapa tinggi orangnya. Kecik aje.


Bersama Dr. Faiz


Nasi beriyani yang sedap


Ni kuih apetah, tapi sedap sebab ada coklat kat bawah dia

Tiba-tiba kecoh dekat luar. Rupanya TPM dah nak sampai. Dia duduk depan meja saya. Jadi ini jelah gambar yang sempat disnap.


Teka, kepala siapa yang terang benderang tu?


Ya betul, kepala TPM kita..Huhu..Menteri Kewangan Kedua Dato’ Mustapha Mohamad pun ada

Duduk di meja sebelah saya pula ialah jutawan-jutawan kosmetik dan MLM yang tak asing lagi iaitu, Dato Stapa dan isterinya Dato Azlina, jutawan Aura Seri suami isteri, Nora Kay dan sape-sape tah lagi. Oleh kerana rakan saya tu bakal jutawan kosmetik, dia sorang saja yang beramah mesra dengan meja sebelah. Saya tak kuasa. Makan lagi best. Hiks…

Jam 7.30 malam, kami pun beredar. Perut pun dah kenyang kan..Sebelum blah, kena amik gambo dulu. Bukti hoccay..bukti!!


Peace…


Sume sibuk, amik gambar sendiri sudah….

Tuesday, October 21st, 2008 | Author: Ujie

Sorry, lama tak update. Ahad, 12 Oktober dua minggu sudah, kawan baik saya, Dekda buat rumah terbuka. Rumah terbuka khas untuk Club 78. Maknanya untuk batch kami, yang lahir pada 1978. Opss…Dah tualah pulak. Tapi tak ramai yang datang. Aril sekeluarga, Jaja datang seorang kerana suaminya bertugas di Johor, saya, Ammal, Okoi dan Chaai. Kalau tak, rumah terbuka Dekda paling meriah. 30-40 orang selalunya. Mesti penuh.

Ketika kami masih ramai yang bujang-bujang dulu, apa-apa gathering yang kami buat, mesti meriah. Tiap-tiap tahun kami akan adakan acara berbuka puasa beramai-ramai. Kami pernah berbuka puasa di Serendah Golf Resort, Perangsang Templer Park Golf Resot, Riverside di Ulu Yam, Restoran di Tasik Titiwangsa dan macam-macam lagilah. Tiap-tiap tahun mesti bertukar tempat. Tapi, bila dah ramai yang mula berumah tangga dan beranak pinak, bila kami yang bujang-bujang ni arrangekan acara berbuka puasa, tak ramai yang hadir. Tahun ni lah paling sedih. Langsung tak ada dah.

Erm, seronok kan masa remaja-rmaja dulu. Bergaduh, ertekak lepas tu baik semula. Selalu berkumpul dengan kawan-kawan. Minum-minum, lepak-lepak. Saya ingatkan kami masih boleh teruskan tradisi Club 78 kami. Berkumpul beramai-ramai tiap-tiap tahun. Tapi yelah, bila dah berkeluarga, masing-masing ada komitmen. Komitmen kepada anak isteri/suami, mak ayah, keluarga mertua, ipar duai. Mungkin bila saya dah berumah tangga nanti pun, begini juga keadaannya. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Melewati masa-masa yang lalu, memang banyak kenangan yang terimbau. Tapi, hidup mesti diteruskan. Apa yang terdaya, kita pertahankanlah ye.

Berbalik kepada rumah terbuka Dekda, hidangannya semua best-best. Sate rusa, nasi ayam, nasi tomato, puding apetah namanya.  Saya dah siap amik resipi dengan Dekda. Huhu. Apa lagi ya, ermm..Ha, nasi impit kuah kacang. Macam-macam lagilah. Santak perut dibuatnya. Tapi yang best, mestilah sebab dapat bergosip dengan kawan-kawan. Dan acara yang tak asing lagi, amik gambar le..


Ammal dan Okoi


Isteri Aril dan Dekda bersama anaknya Nurin


Aril dan heronya


Saya dan Dekda


Saya dan Jaja si Mak Buyung


Jaja dan Dekda


2 Dara dan 2 Mak Dara Pingitan


Meh kita berlonggok

Category: Friend |  Tags: | Leave a Comment
Thursday, October 09th, 2008 | Author: Ujie

Masih ingat cerita saya tersilap kenduri kahwin kawan saya yang bernama Azizul 4 bulan yang lepas? Rakan saya tu sudah kembali ke rahmatullah pukul 6.30 pagi tadi akibat kebocoran urat di kepala. Menurut cerita kawan saya yang melawat Azizul di hospital, Azizul pada mulanya hanya muntah-muntah dan isterinya membawa beliau ke hospital di Klang dan kemudiannya dirujuk ke hospital Sungai Buloh. Selepas beliau menjalani pembedahan akibat kebocoran urat tu, beliau terus koma. Menurut doktor, kalau dia hidup pun, sama ada akan lumpuh atau menjadi tidak siuman. Kesian kan…

Kesian juga pada isterinya. Baru 4 bulan bahagia menjadi suami isteri. Hmm..dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Saya agak terkilan kerana tak sempat melawat dia di hospital. Hanya Al-Fatihah yang mampu saya titipkan untuk rohnya. Al-Fatihah untuk Azizul bin Dahlan. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan bertaqwa..

Category: Friend, Life |  Tags: | 3 Comments
Thursday, October 09th, 2008 | Author: Ujie

Hari Raya Ketiga

Pagi-pagi lagi saya, Kak Kiah, Olin dan Didi berjalan ke Tanjung Karang. Tujuan pertama, nak servis kereta Olin dan kemudian nak temankan Didi ke klinik gigi. Dua-dua hampa. EON Service Centre tutup lagi daa…Yelah, rayalah pulak kan. Klinik gigi pulak bukan main penuh. Haii, raya-raya ni semua pakat gigi sakit, gigi berlubang ke. Last-last mohle kita balik. Kami singgah ke Bagan Pasir, kot-kot ada ikan segar baru sampai dari laut.


Kapal belum sampai daaa…

Tak ada rezeki, kami balik. Tapi singgahlah jugak beli ikan. Mungkin ikan semalam. Belasah ajelah..


Kak Kiah sedang memilih ikan

Lepas dah pilih-pilih ikan, kami pun balik. Tension betul, air pulak tak ada sebab ada paip pecah di simpang jalan. Saya siang ikan menggunakan air yang sangat minimum. Apa nak buat, terkesip-kesiplah jadinya. Bopren Azlyna dan mak boprennya pulak nak datang. Menggagaulah kami nak masak, nak sediakan makan tengahari. Susah betullah kalau air tak ada ni. Tapi Alhamdulillah, setel semua. Adalah orang tu berbunga-bunga hatinya. Maklumlah bakal mak mertua datang beraya. Hiks!

Petang tu, kami ke Permatang dan Raja Musa pulak untuk beraya di sana. Makcik saya nak melawat besannya. Lepas tu balik, tak ke mana sangat pun. Kami sampai rumah lebih kurang 7.30 malam.


Mak saya sempat bergambar dengan pokok anggur di depan rumah besan kakaknya (makcik saya le)

Sebiji je pun anggur yang berbuah..

Category: Family, Life |  One Comment