Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Aritu saya pernah buat entry pasal PruBSN Takaful lancarkan takaful dan medical card untuk warga emas (berumur 60-70 tahun) kan?  So, dua minggu lepas saya hantar permohonan takaful dan medical card untuk mak saya. Mak saya dah berusia 68 tahun so bayaran yang perlu saya bayar untuk mak saya ialah RM500/sebulan. Mahalkan? Yelah, sebab dah berusia. Kalau masa muda ni amik takaful, RM500/sebulan tu silap-silap boleh dapat setengah juta sum assured kot. Lepas tu pulak, untuk pelanggan yang berusia 55 tahun ke atas, biasanya PruBSN Takaful akan meminta pelanggan membuat pemeriksaan perubatan di klinik panel kami dengan kos yang ditanggung sepenuhnya oleh PruBSN. So, saya pun bawak mak saya buat medical check up di Klinik Amar Bukit Sentosa, Rawang.

Macam biasa, beberapa ujian perlu dilakukan seperti ujian air kencing dan tekanan darah. Alhamdulillah, selama ni mak saya tak pernah ada sakit yang orang selalu kata penyakit 3 serangkai ke ape. Kencing manis takde, walaupun bila minum kopi dia, mak datuk macam letak gula satu senduk! Penyakit jantung pun Alhamdulillah takde. So, tahap konfidensi saya yang mak saya akan lepas ujian-ujian medical check up tu memangla tinggi.

Masa nama mak saya dipanggil oleh doktor untuk cek tekanan darah, saya tak ikut masuk dalam bilik doktor. Saya duduk luar je. Tetiba nurse panggil saya masuk sekali. Doktor tanya, saya ni agent ke. Saya cakap ye, saya agent dan jugak anak. Tetiba doktor cakap..

Tekanan darah mak awak ni terlalu tinggi. Bacaan atas 180, bacaan bawah 120. Bila-bila masa saja saraf di otaknya akan putus dan boleh menyebabkan stroke. Ramai orang kita tak sedar yang dia ada darah tinggi. Sebab tu banyak kes-kes yang jatuh dalam bilik air, lumpuh dan sebagainya. Saya nak masukkan mak awak ke wad.

Mak saya toleh ke arah saya dengan menggeleng kepala. Pastu buat muka kesian. Tanda dia memang tak nak masuk wad la tu kan. So, saya tanya doktor takde cara lain ke. Doktor kata, mak saya kena start ambil ubat darah tinggi. So, doktor bagi ubat darah tinggi yang perlu dimakan waktu siang sebiji sehari dan dua hari berikutnya mak saya kena pegi lagi sekali ke klinik untuk cek lagi tekanan darah dia. Dua hari lepas tu, mak saya pegi lagi klinik dan doktor bagitau bacaan tekanan darahnya masih tinggi. Kali ni doktor bagi pulak ubat yang kena makan sebelah malam. So, sekarang mak saya dah kena start makan ubat darah tinggi. Sebiji siang, sebiji malam. Di samping tu, saya belikan jugak dia supplement yang dikatakan boleh mengurangkan tekanan darah. So, baru-baru ni bila mak saya cek kat klinik, tekanan darah dia dah jadi normal balik. 120/80. Saya tataula disebabkan ubat doktor tu ke, atau sebab supplement tu. Yang penting, ubat doktor tetap kena makan.

Berbalik kepada permohonan takaful dan medical card mak saya tu. Sorry Makcik Saati.. Permohonan anda telah ditolak! PruBSN memang reject case mak saya tu. So, redha jelah. Dah ada penyakit kan? Nak buat cemana. Tapi good side dia, walaupun permohonan tu ditolak, tetapi sekurang-kurangnya saya dapat tau awal yang mak saya ada salah satu penyakit berbahaya iaitu darah tinggi. Nampak macam takde apa-apa sebab mak saya tak pernah pening teruk, tak pernah ada simptom-simptom darah tinggi macam orang lain tapi rupa-rupanya dah hampir menyebabkan dia kena stroke dan lumpuh kalau tak dirawat dari awal.

Alhamdulillah, bagi saya semua ni Allah dah tentukan jalan ceritanya macam ni. Bermula dengan PruBSN lancarkan takaful untuk warga emas, pastu saya tergerak hati nak amikkan takaful dan medical card untuk mak saya. Pastu kena pulak buat medical check up. Dan akhirnya saya tau yang mak saya ada penyakit darah tinggi dan InsyaAllah sempat untuk dirawat dari awal. Sebelum nasi menjadi bubur kata orang. Terima kasih Allah..

So, renung-renungkanlah..

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sedikit bacaan tambahan..

Darah Tinggi & Puncanya

Tekanan darah adalah tekanan yang dikenakan terhadap pembuluh arteri semasa peredaran darah yang disebabkan oleh denyutan jantung. Darah tinggi atau Hipertensi (Inggeris = Hypertension) merujuk kepada Tahap tekanan darah yang meningkat lebih tinggi dari tahap biasa secara kronik. Pesakit yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90 mmHg semasa berehat dijangka mempunyai keadaan darah tinggi.

Kadar tekanan darah tidak sama sepanjang masa. Ia sering berubah-ubah mengikut keperluan badan anda. Jika tekanan darah anda tinggi, doktor anda akan memeriksa semula tekanan darah anda untuk beberapa kali bagi menentukan kadar tekanan darah anda yang sebenar.

Tekanan darah ada dua ukuran dan biasanya diukur seperti berikut – 120 /80 mmHg. Nombor atas (120) menunjukkan tekanan ke atas pembuluh arteri akibat denyutan jantung. Ia dipanggil tekanan sistolik. Nombor bawah (80) menunjukkan tekanan semasa jantung berehat di antara pengepaman. Ia dipanggil tekanan diastolik. Masa yang paling baik untuk mengukur tekanan darah adalah semasa anda rehat dan dalam keadaan duduk atau baring.

Punca

Menurut kertas penyelidikan April 2007 yang dihasilkan oleh pakar sains British, penyakit vaskular otak adalah punca tekanan darah tinggi, bukannya penyakit vaskular pada jantung seperti yang dipercayai sebelum ini. Protein yang terdapat pada otak yang dikenali sebagai JAM-1 didapati bertanggungjawab bagi memerangkap sel darah putih yang kemudian menyebabkan keradangan dan menghalang aliran darah, mendorong kepada kekurangan bekalan darah pada otak yang kemudian mengawal tekanan darah dalam badan.

No Comments :(