Archive for the Category » Education «

Jimat RM300 Dalam 30 Hari

Nak baki wang dalam bank kekal empat angka atau lebih? Rahsianya : Kurangkan perbelanjaan. Jom laksanakan seruan pepatah Melayu : “Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit!

Oleh Aisyah Wahid & Aini Liyana Abdul Hadi

- Dipetik dari Cosmo Cash, Cosmopolitan, Oktober 2011

Jimat RM5 ke RM10

Jangan beli sayur atau buah-buahan yang sudah dipotong siap, sebaliknya pilih yang belum dibungkus. Kamu mungkin ambil masa lebih lama untuk memotong dan mendadu, tapi kamu juga yang untung sebab dapat berjimat.

Jimat RM15 ke RM20

Kalau nak tahu, harga satu sesi potong rambut di salun akan termasuk sekali dengan bayaran keringkan rambut. Jika kamu minta rambut dibiarkan basah, jurudandan akan kurangkan bayaran. Atau kamu boleh pergi ke salun dengan rambut masih basah, jadi kamu tidak akan dikenakan caj mencuci rambut.

Jimat RM20

Kongsi “pustaka” iTunes kamu – pergi ke preferences dan pilih share – dengan teman-teman serta rakan sepejabat dan minta mereka lakukan yang sama. Jadi kamu tak perlu keluar duit lebih untuk beli CD sbb kamu dapat akses kepada banyak lagu yang dimiliki mereka.

Jimat RM40 ke RM100

Minta tukang kasut “cantikkan” semula kasut lama milikmu. Kamu hanya perlu keluarkan kira-kira RM5 hingga RM20 untuk menggantikan tapak atau tumit kasut – jauh lebih murah dari beli yang baru, betul tak?

Jimat RM60

Ambil giliran untuk anjurkan parti makan malam seminggu sekali dengan teman-teman baikmu. Kos beli barang dapur lebih murah dari keluar makan di restoran. Hanya sekali saja dalam beberapa minggu kamu perlu masak dan jamu mereka makan di rumah, hujung minggu yang lain kamu dapat makan secara percuma di rumah mereka.

Jimat RM15 ke RM50

Kamu “gilakan” aksesori? Dari beli baru, lebih baik tunjukkan kreativiti dengan menggubah stail baru dari aksesori yg lama dan suaikan dgn personalitimu. Anting-anting tinggal sebelah? Gayakannya sebagai loket. Ada rantai yang sudah lama tak pakai? Berikannya sentuhan segar dengan menggantikan talinya dengan reben mengikut warna kesukaanmu.

Aku Pencinta Wanita

Akulah pencinta wanita yang tidak pernah kenal usia

Akulah pencinta wanita yang tagihkan payudara gebu lagi menawan

Akulah pencinta wanita yang sentiasa ingin mendampingi mangsa setiap waktu dan ketika

Akulah pencinta wanita yang gemar merasai hembusan nafas si anak yang tidak mengerti tujuan aku mencintai ibunya

Akulah pencinta wanita yang suka melihat mangsaku lalai dan jahil tentang kewujudan aku dalam hidupnya

Akulah pencinta wanita yang akan mengawal diri mangsa dan akan terus bermaharajalela

Akulah pencinta wanita yang akan gembira bila melihat tangisan mangsaku bila tahu aku mencintainya

Dan akulah pencinta wanita yang paling digeruni dalam dunia

Aku bangga jika anda mengenali aku

Tapi aku lebih bangga jika anda mengabaikan aku

Selama setahun yang lalu aku telah mengambil nyawa jutaan wanita

Esok, aku akan mula mengambil satu daripada jutaan wanita lagi

Bagaimana dengan anda?

Baiklah, kita mempunyai 1 dalam 20 peluang utk bertemu

Mungkin kita sudah pun bertemu

Hentikan kanser payudara

- Dipetik dari Majalah Cosmopolitan Oktober 2011

Unplugged Bersama Najib Tun Razak Versi Budak Mara

Haii korang.. Korang wat ape arini? Saya jumpe PM arini. Tak percaya? Sebenarnya petang tadi saya menghadiri majlis hi-tea bersama PM di PWTC atau lebih tepatnya majlis PM Unplugged Versi Budak Mara. Majlis ini dianjurkan oleh ANSARA iaitu Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia dan ia merupakan program dialog bersama YAB Dato Seri Najib Tun Razak dalam suasana santai. Banyak jugaklah soalan-soalan panas yang dikemukakan oleh bekas pelajar MRSM kepada PM. Tapi takdelah sampai isu cincin RM24 juta Rosmah tu.. Hiks..

Sampai-sampai je terus pose dulu kat backdrop dia

Nampak tak senarai penaja tu? Maybank, Celcom, Air Asia, Shell, Kencana Petroleum, Tabung Haji, Bank Pembangunan. Haa.. Tu semua sebab CEO atau orang-orang besar dalam syarikat tu adalah bekas pelajar-pelajar MRSM.

Sebelum masuk ke dalam Dewan Tun Ismail tempat berlangsungnya majlis tersebut, kena register dulu dan diberi sticker nama yang dilekatkan di baju masing-masing..

Tulis sendiri nama dan MSRM batch mana

Majlis bermula pada jam 2.30 petang tapi biasalah, sebagai VVVVVIP saya datang lambat. Pukul 3.30 petang baru saya tehegeh-hegeh masuk dewan. Masuk-masuk je, Dato’ Mukhriz Mahathir tengah berucap. Dato’ Mukhriz merupakan produk MRSM Pengkalan Chepa (1977-1981). Selain dia, ramai gaklah tokoh-tokoh korporat Malaysia yang merupakan bekas pelajar MRSM. Di antara yang disebut oleh Dato’ Mukhriz ialah Datuk Seri Kamaruddin Meranun – Air Asia – MRSM Kuantan, Datuk Seri Shazly -CEO CELCOM – MRSM Seremban, Dato’ Dr. Sheikh Muzafar – Angkasawan Negara – MRSM Muar dan lain-lain.

Dato’ Mukhriz sedang memberi ucapan

Apsal Tun Mahathir lagi banyak rambut dari anak dia?

Sebenarnya agenda pertama sebelum Dato Mukhriz berucap ialah menyanyikan lagu MRSM tapi disebabkan saya lambat masuk, tak dapatlah nyanyi lagu tu. Rindu nak nyanyi lagu MRSM.. :-( Takpela, saya tepek lirik lagu tu..

Lagu MRSM

Wahai putera-puteri bangsaku
Ayuh segera menuju
Mengikut gerak langkah maju
Bersatu mencari ilmu

Di zaman sains dan teknologi
Negara perlukan jasamu
Janganlah rasa malas lagi
Bersama memegang teraju

Di Maktab Rendah Sains MARA
Tuntut ilmu jangan jemu
Ikrar taat setia pada guru
Berdisplin selalu

Hari ini hari mulanya
Hari esok berjaya
Lengkapkan segala yang ada
Ke kuliah kita segera

Selepas Dato’ Mukhriz berucap, tibalah masa YAB Dato’ Seri Najib pula menyampaikan ucapannya. Rasa macam tengah dengar pembentangan belanjawan pulak. Hihi. Tapi ada gaklah dia buat lawak tadi. So, takdelah boring sangat. Mujur dia tak selit-selit cerita pasal politik. Oh ya, untuk sape-sape yang tatau (saya pun baru tau), PM Najib bekas pelajar MCKK St. John, Kuala Lumpur. Yang sekolah MCKK tu ayah dia, Tun Razak. (TQ Sherrina sebab tolong betulkan fakta :-) )

PM tengah berucap

Kasi close-up sket

Lepas PM bagi ucapan, dewan dibuka dengan forum dialog di antara kami, bekas pelajar dengan PM sendiri. Masa ni lah soalan-soalan panas timbul. Ada yang tanya pasal pendidikan di Malaysia, pasal toilet kat sekolah, pasal sosio-ekonomi dan soalan akhir sekali yang paling panas (tapi bagi saya agak kurang hajar bahasa yang digunakan) ialah soalan yang menyentuh sedikit pasal politik. Rilekla bro. Ni kan majlis santai. Tak yahla nak merempan. Tapi PM rileks je. Jawab pun gelak-gelak. Saya nak gak bagi soalan, tapi takut orang lain ‘booooo’ kan saya. Soalan yang saya nak tanye tapi tak tertanya ialah “Dato Seri suka karok lagu apa?“. Hahaha.. Agak-agak kena baling kerusi tak?

PM tengah berpeluh menjawab soklan budak-budak MSRM

Lepas selesai forum, tibalah masa pelancaran laman web Ansara yang baru iaitu www.ansara.org.my dan juga kad keahlian Ansara oleh YAB PM. Pemegang kad keahlian dengan nombor pertama ialah Presiden Ansara sendiri iaitu Dato Mukhriz Mahathir. Lepas perasmian tu, majlis bersurai dan kami disediakan dengan jamuan ringan di luar dewan.

Macam-macam ada…

Pinggan iols

Sambil makan tu, saya jenguk-jenguklah jugak kalau ada batch saya MRSM Jasin 1994-1995 tapi haram sorang pun tak nampak batang idung. Takpelah, biar saya je yang jadi wakil. Tapi batch lain MRSM Jasin adalah jugak saya nampak. Ada yang batch 1988, ada yang 2007 (ko umo 4 tahun, akak dah form 5 dik.. Huhu..).

Orang lama, orang baru..

Makanan ruji budak asrama. Maggi ni disponsor oleh salah sorang orang kuat Maggi yang jugak ex-student MRSM

Oh lupa pulak, setiap kami diberi goodies bag yang berisi buku JAWAPAN NAJIB. Saya tak sempat baca lagi..

JAWAPAN NAJIB : Merungkai persoalan semalam, konflik hari ini dan cabaran masa depan

Sebelum blah, sempatla bergambar sekeping dua kat dalam PWTC tu…

Ada tak macam Dato’ Suzilah? Kah kah kah muntah!

Saya berangan-angan, anak-anak saya nanti mesti kena masuk MRSM jugak. Poyo tak? Anak pun takde, kawen pun tak lagi, nak berangan sampai ke situ plak. Hihi. Ade aku kesah?

Okla, bai..

Bacaan lain pasal PM Unplugged – klik sini.

Trivia

1. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang pertama ditubuhkan ialah MRSM Seremban yang telah dibuka pada tahun 1972

2. Jumlah keseluruhan MRSM yang ada sekarang ialah 46 buah

3. Antara Anak MARA Yang Dibanggakan:

1. Datuk Dr Sheikh Muzaffar – MRSM Muar
2. Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir – MRSM Kota Bharu
3. Datuk Razali Ibrahim – MRSM Terendak
4. Anuar Taib – Chairman Shell Malaysia – MRSM Muar
5. Esmady Esa – DHL UK – MRSM Muar
6. Asmadi Mohd Bakri – CEO Hospital KPJ PERDANA Kota Bahru – MRSM Muar
7. Mohd Azha Abdul Jalil – CFO Malaysia Airlines – MRSM Muar
8. Datuk Seri Kamaruddin Meranun – Air Asia – MRSM Kuantan
9. Datuk Seri Shazly – CELCOM – MRSM Seremban

 

 

Wo Ai Ni..

Yeay!! Saya dah lulus Bahasa Mandarin peringkat asas. Bolehlah cakap sikit-sikit. Saya ambil kelas Bahasa Mandarin di ICLS (Inter Cultural Language School) – Damansara School, Damansara Utama. Malam tadi examnye. Alhamdulillah, saya dapat 92 markah. Markah penuh untuk ujian oral (30 markah) dan 62/70 untuk ujian bertulis.

Sijil. Dapat A okeh…haha

Saya register kelas Mandarin ni bulan 6 aritu. Tapi ICLS akan tunggu sampai ada sekurang-kurangnya 5 orang yang register, baru dia buat kelas. So, lebih kurang dua minggu tunggu, barulah kelas kitorang start. Kelas pertama kami bermula 1 hb Julai dan berakhir malam tadi (11 kelas termasuk exam). Kelas kitorang start pukul 7 malam – 9 malam. Yuran pulak RM390 termasuk pendaftaran dan buku.

Laoshi (cikgu) saya memang berasal dari Beijing. Eva nama dia, lawa plak tu. Dia dah 3 tahun berkahwin dengan orang Cina Malaysia. So, nak berkomunikasi dengan dia memang kena dalam Bahasa Inggeris atau Mandarin je sebab dia tak reti cakap Melayu. Ada sekali tu, saya tanya dia, “How to say – FREE in Mandarin?“  Pastu dia tanye saya semula “Ohh.. PERKUMA?“. Kitorang tergelak je sebab dia sebut PERCUMA sebagai PERKUMA. Hihi..

So, lepas dah berhempas pulas belajar, malam tadi kami exam. Boleh tahan la susah. Ada 6 bahagian. Terjemahan, susun ayat, buat ayat, pilih ayat yang betul dan macam-macamlah. Lepas dah selesai ujian bertulis, kena pulak ujian oral. Dia tanya, kita jawab. Mostly soalan-soalan tu memang selalu dah cakap dalam kelas tapi ada jugakla yang terkehel sikit. Sebab nak susun ayat “Wo shi.. Wo jia.. Wo de bi… Wo bla bla bla..“.

Kertas ujian

Lepas tu, ada masa lebih sikit, dia ajar kitorang lagu Mandarin pulak. Memang terkenal gak lagu tu dia cakap, tapi yelah, dah kita tak reti cakap Cina, manelah nak dengar lagu-lagu Cina sebelum ni kan.. Lepas dah abes tu, kitorang pun bergamba dengan laoshi.

Wo de laoshi hai ye wo. Sama tak mata kami? Kih kih..

Ingat nanti nak sambung peringkat intermediate punya tapi nak tunggu dululah. Saya nak setelkan hal keje dulu.

Untuk mengakhiri entry ni, saya trylah tulis dalam Bahasa Mandarin sikit ye..

“Wo xing Zainuddin, jiao Suzilah, shi san-shi-san sui. Wo jia you san kou ren. Mama jie jie hai ye wo. Wo shi bao xian gu wen zai PruBSN gongsi gongzuo.”

Harta Ini Siapa Yang Punya?

Petang semalam, saya bertemu dengan seorang client di Pelita Nasi Kandar dekat dengan KLCC. Tujuan pertemuan kami itu adalah kerana, client ini mahukan penerangan yang lebih mendalam tentang wasiat dan perancangan harta pusakanya.

Biarlah saya namakan beliau sebagai Encik N. Encik N baru kematian isteri beberapa hari sebelum kita menyambut Ramadhan iaitu pada 7 Ogos 2010. Setelah menanyakan beberapa soalan, tahulah saya bahawa isteri Encik N :-

1) Baru berumur 50 tahun

2) Mempunyai aset melebihi RM1,000,000 (termasuk EPF, Unit Trust, Simpanan dan sebagainya)

3) Meninggal mengejut (masalah saluran darah di otak) dan tidak pernah mengalami apa-apa penyakit kritikal sebelum ini dan menurut doktor, penyakit ini amat jarang berlaku

4) Meninggalkan 4 orang anak lelaki

5) Yang paling sedih, tidak mempunyai sebarang WASIAT!

Sekarang, menjadi tugas suaminya iaitu Encik N untuk menguruskan aset isterinya. Perlu memohon Surat Tadbir Harta dari pihak mahkamah untuk mencairkan aset si isteri dan seterusnya mengagihkan mengikut hukum Faraid (kerana isterinya tidak sempat menulis wasiat).

Hal ini mungkin mengambil masa 3-5 tahun atau mungkin lebih sekiranya terdapat aset tidak alih seperti tanah dan rumah untuk diagihkan. Bukankah ini memerlukan tuntutan masa dan wang ringgit? Turun naik mahkamah. Turun naik pejabat tanah.

Sebenarnya orang kita (Muslim) sangat berkira tentang duit (kos menulis wasiat) daripada terpaksa membiarkan waris yang tinggal bersusah payah turun naik mahkamah untuk menguruskan hartanya apabila mereka sudah tidak ada kelak. Kalau harta tu berjuta, rasanya berbaloi jugak untuk turun naik mahkamah. Kalau setakat RM20,000, ditambah pula waris tu duduk di kampung, terpaksa pula turun naik ke bandar (misalnya) untuk menguruskan aset si mati, tidakkah ini menyusahkan? Silap-silap, kos ke hulu-ke hilir tu lagi banyak daripada harta yang ditinggalkan.

Satu lagi, tahukah anda bahawa apabila kita meninggal dan tidak mempunyai wasiat, segala aset kita seperti kereta, motor dan sebagainya akan terbeku sama? Jadi, waris yang tinggal tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan insurans kerana aset tersebut masih atas nama si mati. Sekiranya terdapat wang tunai di akaun bank, pon turun dibekukan. Kasihan sekiranya si mati masih mempunyai anak kecil yang memerlukan sejumlah wang yang besar untuk tujuan persekolahan anak-anak itu dan belanja sara hidup yang lain. Mereka terpaksa menunggu aset tersebut dicairkan sebelum dapat digunakan. Dan proses untuk mencairkan aset ini adalah bahagian yang paling rumit dan banyak mengambil masa berbanding proses pengagihan.

Encik N sangat berminat untuk membuat wasiat bagi aset-asetnya kerana menyedari, urusan untuk mencairkan aset arwah isterinya serta urusan pengagihan aset tersebut amat memenatkan. Anda pula bagaimana?

Jangan tunggu lagi. Lakukan sekarang ya!

———————————————————-

Artikel ini dipetik dari Harian Metro 2 Oktober 2010

RM40 bilion aset umat Islam dibekukan

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my
2010/10/02

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila sebanyak RM40 bilion aset umat Islam dibekukan berikutan pelbagai sebab, termasuk kegagalan si mati menulis wasiat ketika hidupnya

Ketua Pegawai Eksekutif ED Al Kausar Resources, Mohammad Adry Radzali berkata, jumlah itu berdasarkan laporan dikeluarkan Amanah Raya Berhad tahun lalu.

Menurutnya, aset yang dibekukan itu merangkumi tanah, rumah, bangunan kedai, saham, wang simpanan dan sebagainya.

Katanya, jika tidak dituntut dalam tempoh tujuh tahun, wang tunai yang disimpan di dalam bank akan diselenggarakan mengikut Akta Wang Tak Dituntut, Jabatan Akauntan Negara.

“Namun keadaan itu berbeza bagi harta tidak boleh dialih seperti tanah dan rumah kerana jika tidak dituntut, ia terpaksa dibekukan.

“Pemilikan harta berkenaan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya tanpa persetujuan waris yang sah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, penulisan wasiat dilihat sebagai satu langkah untuk mengurangkan masalah itu, namun tidak semua umat Islam di negara ini jelas mengenainya.

Katanya, wasiat adalah satu deklarasi oleh seseorang ketika hidup ke atas hartanya atau tujuan lain yang dibenarkan oleh undang-undang Islam yang berkuat kuasa selepas kematiannya.

Mengulas kes kematian jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, yang dibunuh kejam awal bulan ini, Mohammad Adry berkata, jika mengikut hukum, harta berkenaan mesti dibahagikan secara faraid.

Katanya, Sosilawati tidak membuat wasiat bagi membahagikan semua hartanya walaupun difahamkan dia ada membuat kenyataan secara lisan mahu menyerahkan harta itu kepada anaknya.

“Kenyataan secara lisan tidak boleh dikira sebagai wasiat yang sah kerana ia tidak ada hitam putih dan boleh dipertikaikan.

“Bagaimanapun, itu semua bergantung kepada persefahaman dan persetujuan antara anaknya untuk menggunakan cara yang dirasakan sesuai untuk membahagikan harta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, perbincangan dan kata sepakat perlu dicapai jika mereka mahu membahagikan harta itu secara adil dan mengelak timbulnya masalah.