Archive for the Category » Education «

Takaful @ Utusan

Artikel ini dipetik daripada Utusan Online.

BICARA AGAMA

Kelebihan perlindungan Takaful

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Kelahiran banyak penyedia Sistem Kewangan Islam sejak kebelakangan ini memberi nafas baru kepada masyarakat Malaysia terutamanya kepada umat Islam untuk menikmati sistem yang berteraskan wahyu yang telah lama diidamkan.

Inisiatif pihak Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan lesen-lesen penubuhan Perbankan Islam dan Takaful kepada beberapa institusi kewangan yang layak seharusnya dipuji dan dihargai kerana ia telah memudahkan masyarakat membuat pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan yang adil, telus dan efisien.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi ‘Amru Jarir bin Abdullah r.a. yang memuji tindakan sedemikian rupa di mana mafhumnya berbunyi: Barang siapa yang menunjukkan (mempermudahkan sesuatu urusan) perkara kebaikan, maka baginya pahala dan pahala sesiapa yang beramal dengannya selepas itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya. (riwayat Muslim)

Jika sebelum ini, umat Islam tidak mempunyai pilihan malah terpaksa menerima sistem yang bercampur-baur dengan sistem yang tidak senada dengan Islam.

Keadaan ini mewujudkan kegelisahan dan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam. Namun kini, alhamdulillah, kemunculan Sistem Kewangan Islam dengan pelbagai inovasi seolah-olah menjadi ‘penyelamat’ kepada umat manusia daripada terus-menerus dibelenggu oleh sistem yang hanya meletakkan keuntungan duniawi semata-mata.

Malangnya, ada juga sesetengah pihak yang masih berat hati untuk turut serta menyokong dan melibatkan diri dalam memajukan sistem Islam ini dengan mencipta seribu satu alasan.

Malah, ada juga suatu golongan yang cuba untuk memburukkan imej Sistem Kewangan Islam ini dengan cubaan-cubaan halus bagi melumpuhkan usaha murni ini.

Kepada golongan tersebut, diperingatkan satu firman Allah yang bermaksud: Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. (Ibrahim: 3)

Sebagaimana yang dimaklumi, institusi Takaful sebagai contohnya, adalah merupakan Institusi Perlindungan (Insurans) yang berteraskan prinsip Islam.

Institusi ini selayaknya disokong dengan bersungguh-sungguh kerana ia merupakan suatu sistem yang menjamin keadilan dan kesejahteraan kepada ummah.

Perlindungan menerusi sistem takaful mempunyai kelebihan yang tidak boleh disangkal lagi berbanding dengan sistem perlindungan konvensional. Di bawah sistem perlindungan takaful para peserta yang menyertai mana-mana-mana pelan perlindungan diprogramkan untuk sama-sama mempraktikkan konsep tolong-menolong yang diredai Allah untuk sama-sama meringankan beban rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan.

Semangat ini akan melahirkan masyarakat yang tidak mementingkan diri sendiri, tidak sombong malah mereka akan sentiasa prihatin kepada persekitaran mereka.

Islam sangat menggalakkan umatnya agar tolong menolong dalam perkara kebaikan seperti yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat 2 surah al-Maidah, maksudnya: … hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan

Sistem takaful juga bebas dari unsur-unsur gharar (syubhat), riba dan juga maisir (judi). Tiadanya unsur gharar secara mudahnya memberi maksud bahawa sistem takaful adalah satu sistem yang telus , tidak menyembunyikan fakta dan tidak mengamalkan seperti pepatah Melayu “ada udang di sebalik batu”.

Di antara nilai negatif di sebalik unsur riba adalah mengambil kesempatan, menindas golongan yang dalam kesusahan dan mengeksploitasi untuk kepentingan sendiri. Oleh itu, tidak hairan apabila kita melihat pengamal sistem yang berteraskan riba ini mereka hanya mementingkan diri mereka sendiri, sanggup menindas orang lain , sentiasa mencari jalan untuk mengumpulkan kekayaan sendiri dan lebih dahsyat lagi tiada perasaan belas kasihan dalam diri mereka.

Hal ini sebaliknya berlaku, dalam sistem Takaful yang tidak mengamalkan riba, nilai-nilai tanggungjawab bersama, tolong menolong dan menjaga kemaslahatan umum menjadi keutamaan.

Begitu juga dengan unsur maisir. Unsur ini menjadikan pengamalnya tamak dan rakus tanpa memikirkan hak dan kepentingan orang lain. Sistem Takaful yang tiada unsur ini sebaliknya mementingkan semangat persaudaraan dan kepentingan bersama sebagai satu teras yang menunjangi aktivitinya.

Menerusi sistem Takaful seseorang peserta itu juga dapat melakukan amalan yang sangat terpuji dalam Islam iaitu dapat menunaikan tanggungjawab sosialnya menerusi amalan tabarru’ (derma).

Dalam sistem takaful setiap peserta akan memperuntukkan sebahagian atau semua daripada sumbangannya untuk didermakan bagi membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah.

Derma dalam sistem takaful ini adalah derma kelas pertama. Ini kerana menerusi sistem ini seseorang peserta dapat melakukan derma dengan ikhlas sebagaimana derma yang dituntut oleh Islam.

Ia seperti yang digambarkan dalam sabda baginda daripada Abi Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w baginda bersabda, Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada sebarang naungan melainkan naungan Allah, pemimpin yang adil, pemuda yang hidup dalam ibadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang digoda oleh wanita yang berkedudukan dan cantik lalu dia berkata sesungguhnya aku takut kepada Allaah dan seorang lelaki yang melakukan sedekah secara tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanannya dan seorang lelaki yang mengingati Allah secara bersendirian lalu bergelinangan air matanya. (Muttafaqun ‘alaih)

Namun perlu ditegaskan keistimewaan konsep ini adalah ia tidak hanya bermanfaat kepada orang Islam semata-mata. Sebaliknya, ia turut memberi kebaikan kepada semua peserta tanpa mengira pegangan agama.

Sistem takaful juga menyediakan peluang kepada masyarakat untuk memainkan peranan sebagai pendakwah yang berusaha mengembangkan produk muamalat Islam dengan menyertai dan menyokong sistem ini.

Ini kerana takaful adalah alternatif kepada sistem insurans konvensional sebagaimana yang disimpulkan oleh Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Islam Di Malaysia 1983.

Malah masyarakat juga berpeluang melakukan jihad menentang sistem jahiliah (sistem perlindungan konvensional) yang telah difatwakan haram menurut Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1972.

Pada masa yang sama apabila menyertai sistem yang berteraskan sistem Islam ini sebenarnya ia memberi peluang untuk beribadat yang merupakan satu menifestasi pengabdian, kepatuhan dan ketundukan kepada perintah Allah yang memerintahkannya supaya melakukan makruf dan meninggalkan mungkar sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 25.

Kesimpulannya, sudah tiba masanya untuk kita melibatkan diri dan bekerjasama untuk memartabatkan sistem takaful ini.

Sokongan padu diperlukan dari semua pihak agar hasrat murni untuk memerdekakan umat manusia daripada terus berada di bawah cengkaman sistem yang bersifat duniawi semata-mata kepada sistem yang boleh membawa kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.

Kini dengan adanya kemudahan kewangan Islam seperti perbankan dan takaful di pasaran yang ternyata lebih baik dan lebih menjamin kemaslahatan, maka ianya bukan lagi menjadi pilihan yang lebih baik malah, ia telah menjadi satu tuntutan atau kewajipan untuk memilih kemudahan kewangan Islam ini.

Memilih Insurans Dengan Betul

Sesetengah orang membeli insurans secara melulu, tanpa menilai dahulu apakah faedah insurans yang mereka perlukan. Adakalanya faedah insurans yang dibeli, bertindih dengan faedah kewangan sedia ada. Dan adakalanya , mereka membeli insurans tanpa memahami apakah faedah kewangan yang terkandung di dalam polisinya. Pada mereka, asalkan ada insurans, cukuplah.

Sesungguhnya, jika kita ambil mudah dan tidak berusaha untuk memahami kandungan polisi insurans yang dimiliki, kita mungkin akan menghadapi masalah kewangan di kemudian hari.

Semak faedah kewangan sedia ada sebelum membeli insurans hayat. Buatlah penilaian terlebih dahulu. Kita perlu menyelidik apakah faedah kewangan yang sudah diperoleh sedia ada daripada majikan atau majikan pasangan.

PERLINDUNGAN INSURANS SEDIA ADA

jadual1

FAEDAH KEWANGAN DARIPADA MAJIKAN

jadual2

Dengan membuat penyata faedah kewangan, kita dapat melihat sendiri sejauh mana kewangan kita sudah dilindungi, dan mengenalpasti kelemahan lain yang terdapat dalam perancangan kewangan kita.

Bagaimana untuk memilih?

Secara umumnya, faedah-faedah insurans yang terdapat di pasaran sekarang adalah seperti berikut:-

1. Faedah sara hidup jika meninggal dunia
2. Faedah sara hidup jika mengalami hilang upaya kekal
3. Faedah sara hidup jika menghidapi penyakit kritikal
4. Faedah kemalangan jika meninggal atau hilang upaya
5. Faedah kemalangan jika hilang anggota
6. Faedah elaun mingguan akibat kemalangan
7. Faedah elaun harian hospital
8. Faedah perubatan dan pembedahan hospital

Faedah insurans perlu dibuat berdasarkan jenis keadaan yang bagaimana boleh menyebabkan kita mengalami kerugian kewangan yang paling kritikal? Dalam erti kata lain, jenis musibah yang bagaimana boleh menyebabkan anda ditimpa bencana kewangan yang paling teruk, hingga menggugat kehidupan seharian.

Tips untuk memilih

1. Lindungi keperluan asas terlebih dahulu. Satu cara paling efektif untuk melindungi keperluan asas adalah dengan melindungi sumber pendapatan, iaitu gaji bulanan atau hasil perniagaan. Dengan melindungi sumber pendapatan anda, keperluan asas seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan dapat disediakan berterusan. Jika tidak dilindungi secukupnya, kehidupan boleh bertukar sengsara.

2. Jangan bazirkan wang melindungi perkara kecil yang boleh ditanggung sendiri atau sudah ditanggung oleh majikan. Gunakan insurans untk melindungi perkara-perkara besar yang boleh menyebabkan kita mengalami bencana kewangan. Sebagai contoh, melindungi kewangan kita daripada kos perubatan hospital lebih penting daripada kos perubatan klinik. Ini kerana bil klinik biasanya kecil sahaja dan sudah ditanggung majikan atau mampu ditanggung sendiri

Jantung Hatiku

Jom kita tengok, apakebenda serangan jantung dan punca-puncanya. Seperti biasa, sumber adalah daripada wikipedia dan web-web kesihatan yang lain..

———————————————————————————–

Menurut wikipedia, jantung atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai heart (Latin, cor) merupakan organ berongga yang berfungsi mengepam darah melalui saluran darah dengan denyutan yang sekata yang berulang-ulang. Istilah kardium bermaksud berkaitan dengan jantung, berasal dari perkataan Greek kardia untuk “jantung”.

Penyakit jantung koronari tersenarai sebagai penyakit pembunuh nombor satu di dunia, dan dianggap ‘musuh nombor satu’ dalam kehidupan yang paling ditakuti. Menduduki tempat teratas, penyakit jantung bukan lagi menjadi pembunuh misteri. Paras kolesterol yang tinggi, diabetes, hipertensi, kegemukan, merokok (khas untuk Bakal Roomate), kurang melakukan senaman (untuk Bakal Roomate juga), faktor jantina, dan proses penuaan adalah antara faktor penyumbang kepada penyakit ini.

Justeru, isu-isu yang dikaitkan dengan penyakit ini lebih banyak berkisar kepada aspek pencegahan yang merangkumi gaya hidup sihat, pemakanan seimbang, senaman dan sebagainya. Namun, statistik kematian mengenai penyakit jantung tetap mencatatkan peningkatan yang membimbangkan.

Punca penyakit

Pakar Perunding Kardiologi, Hospital Pakar Puteri Johor Bahru, Dr. Yap Sau Peng, berkata pembentukan kolesterol dalam pembuluh darah jantung adalah penyumbang utama penyakit jantung koronari. Menurut beliau, proses pembentukan ini mengambil masa bertahun-tahun lamanya sehinggalah ‘gejalanya’ dialami. “Pembentukan kolesterol ini bermula sejak muda lagi, bukan apabila seseorang telah berusia”, katanya. Jantung terdiri daripada otot-otot jantung dan empat injap jantung. Organ ini memerlukan bekalan oksigen yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik.

Bekalan oksigen ini diperoleh dari pembuluh darah jantung yang juga dikenali sebagai arteri. Pembuluh darah jantung ini terletak pada permukaan jantung. Setiap individu mempunyai tiga pembuluh darah utama.

Penyakit jantung koronari juga dikenali sebagai “penyakit arteri koronari”. Perkataan koronari bermakna ‘mahkota’. Nama ini diambil sempena arteri yang mengelilingi jantung seperti mahkota. Pembuluh darah ini berfungsi membekalkan otot-otot jantung dengan oksigen dan zat makanan.

Seseorang boleh mendapat penyakit jantung koronari apabila satu atau lebih pembuluh darah ini menjadi sempit. Ini berlaku kerana pemendapan kolesterol dan pembentukan plak yang terdiri daripada kolesterol dan parut-parut tisu. Sel-sel yang meliputi kolesterol pada dinding pembuluh darah ini menjejaskan aliran darah ke jantung.

Tahukah Anda? Bekalan darah ke otot jantung tidak cukup kerana….

heart-attack

Dinding sebelah dalam saluran darah telah dipenuhi lemak. Akibatnya saluran darah menjadi sempit dan menyekat pengaliran darah ke jantung.

Gejala

Sakit dada atau dikenali sebagai angina pektoris. Sakit ini dialami pada bahagian tengah dada atau sebelah kiri dada. Kesakitan ini dialami dengan:

a. Seolah-olah ada cengkaman yang kuat pada dada
b. Berat pada dada
c. Senak dada
d. Sukar bernafas: sakit ini akan merebak ke leher dan bahagian lengan kiri. Ia selalu berlaku semasa aktiviti fizikal atau tekanan emosi. Tekanan emosi atau sebarang aktiviti boleh menyumbangkan masalah ini.

Sakit dada ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu:

  1. Stabil: mengalami sakit dada apabila melakukan aktiviti.
  2. Tidak stabil: mengalami sakit dada yang berulang-ulang dan berpanjangan. Sakit ini dialami sekalipun dengan melakukan aktiviti yang ringan atau semasa rehat.

Bagaimanapun, sesetengah pesakit diabetes atau warga tua tidak mengalami gejala ini. Sebaliknya, mereka mungkin mengalami:

a. Berpeluh-peluh
b. Rasa lemah badan
c. Sakit pada hulu hati
d. Pening kepala
e. Pengsan

Sekiranya gejala-gejala angina tidak stabil dibiarkan tanpa rawatan, pesakit boleh mendapat serangan jantung (penginfarkan miokardium).

Menurut Dr. Yap, 30 peratus pesakit yang mendapat serangan jantung meninggal dunia secara mengejut. Ini kerana berlaku penyumbatan 100 peratus pada pembuluh darah. Keadaan ini mengakibatkan elektrik jantung tidak stabil. Ketidakstabilan ini turut menghentikan denyutan jantung. Jantung yang bergetar ini tidak dapat berfungsinya dengan baik. Ini mengakibatkan seluruh badan tidak mendapat oksigen yang mencukupi. Sekiranya pesakit tidak mendapat rawatan dalam tempoh empat minit, risiko kematian adalah tinggi.

Bagaimanapun, keadaan yang dikenali sebagai pemfibrilan ventrikel ini boleh dibantu dengan mesin kejutan AT.

Diagnosis

Sehubungan antara kaedah yang digunakan untuk mendiagnos penyakit jantung ialah:

  • Ujian ECG: ujian ini untuk mereka yang diserang sakit jantung dan sesetengah pesakit yang mengalami angina tidak stabil
  • Ujian darah seperti enzim kardium dan troponin
  • Ujian tekanan pengisar injakan
  • Angiogram koronari.

Tiub kateter dimasukkan ke dalam sistem pembuluh darah jantung sama ada melalui di celah pangkal paha atau salur darah pada lengan. Prosedur ini biasanya mengambil masa selama setengah jam. Pewarna akan disuntik melalui kateter ini dan imej pembuluh darah jantung diambil bagi mendapatkan gambaran yang jelas untuk bahagian yang tersumbat. Namun, prosedur ini mempunyai risiko tersendiri seperti alahan pada pewarna, pembedahan kecemasan, angin ahmar, serangan jantung dan denyutan jantung tidak stabil.

Rawatan

Selepas angiogram dilakukan, doktor akan berbincang dengan pesakit dan keluarga mengenai pilihan rawatan terbaik berdasarkan keadaan pembuluh darah jantung seperti:

  • Ubat-ubatan
  • Pembedahan pintasan pembuluh darah jantung
  • Angioplasti koronari: kaedahnya sama seperti angiogram di mana kateter akan dimasukkan melalui saluran darah pangkal paha atau saluran darah di lengan.

Melalui kateter, satu dawai halus dimasukkan ke bahagian pembuluh darah yang tersumbat. Pada hujung kateter ini, terdapat belon. Belon akan dikembangkan untuk menolak plak yang menyumbat pembuluh darah. Rawatan ini semakin popular kerana ia tidak membabitkan pembedahan yang besar. Bagaimanapun, 30 peratus pesakit boleh mengalami penyempitan pembuluh darah semula. Bagi menangani masalah ini, besi gegelung (stent) yang dilapisi ubat-ubatan diperkenalkan. Bagaimanapun, kos rawatannya tiga kali lebih tinggi.

Sakit dada boleh disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit lain seperti pedih hulu hati, akibat pembalikan asid ke saluran pemakanan, sakit pada otot-otot dada dan pneumonia. Selain itu, ia mungkin ada kaitan dengan sakit tulang rusuk, pelbagai masalah jantung seperti radang selaput jantung, retak bahagian dalam permukaan pembuluh besar aorta dan sebagainya. Tekanan, penyakit batu karang atau batu di pundi hempedu dan kayap juga boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit dada.

————————————————————————————-

Oleh itu, sayangilah jantung anda!

Vandalisme @ Laku Musnah

Pernahkah anda hangen apabila melihat contengan-contengan di dinding dan tembok yang entah apa-apa atau tampalan-tampalan kertas di dinding yang menyemakkan mata memandang? Saya memanglah cukup tak berkenan. Macam orang yang tak ada tamadun. Kalau suka sangat nak menyonteng (ke menconteng?), pegilah masuk pertandingan melukis ke, pertandingan mewarna ke..Tu lah, masa kecik-kecik dulu, bila cikgu soh melukis, malas! Dah besar-besar, baru gatal tangan tu. Biasa nihh!!

Contoh-contoh vandalisme yang biasa kita tengok, macam gambar kat bawah ni..

vandalism

graffiti

atau pun yang ni..ermm..kira vandalisme gak la kan..

ilfracombe_loos3_2007
Eeeyeekk…

Menurut Wikipedia, Vandalisme atau dalam Bahasa Melayunya Laku musnah, merujuk kepada tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah, Vandal, yang telah membinasakan kota Rome pada tahun 445. Pada lazimnya, laku musnah ditanggap sebagai satu bentuk jenayah, tetapi pada keadaan tertentu, vandalisme merupakan satu bentuk ritual yang dilakukan oleh golongan manusia yang tidak puas hati terhadap kondisi mayarakat.

Semalam (punyelah panjang mukaddimah, baru masuk cerita sebenar yang saya nak bebel dalam entry ni..hiks!), saya nampak seorang lelaki Cina dok sapu-sapu dinding dengan berus cat. Mula-mula saya tak perasan apa yang dibuatnya. Rupa-rupanya, dia sibuk menampal poster Kami Along, Kami Cuma Nak Tolong (Poster pinjaman segera) di dinding-dinding dan tiang lampu kat tepi jalan.

Selama ni, saya ingat, along-along ni buat kerja menampal tu, malam-malam. Sangkaan saya silap. Dorang lagi berani. Selamba je buat keje tu siang-siang hari, tak kisah orang lalu lalang. Yang MPPJ pulak satu, selalunya bukan main ramai korang berkeliaran nak menyaman orang yang salah parking. Semalam, sorang pegawai MPPJ pun takda. Tapi yelah, mamat Cina tu pun mestilah pandai. Time MPPJ round, takdelah pulak dia buat keje tu kan..Tapi takpe, saya sempat men’snap‘ gamba mamat Cina tu buat keje…Rasain..

photo2338
Buat ape tu bang?

Cemana kita nak buat supaya tak berlaku lagi benda-benda macam ni ek? Mungkin kita perlukan satu alat, bila ada je orang yang nak menconteng ke, menampal ke atau ada ciri-ciri vandalisme, keluar satu tangan dari dinding tu, tampar muka orang tu. Huhu..Padan muka!