Archive for the Category » Information «

Tuesday, August 24th, 2010 | Author: Ujie

Bulan-bulan puasa ni, beberapa orang rakan saya terkena penyakit gastrik. Sakit di ulu hati sampai demam-demam. Makan ubat klinik pon tak jalan.

Kakak saya pun penghidap gastrik yang agak teruk beberapa tahun dahulu. Dia seorang yang jenis tak bangun sahur. So, lagilah parah. Puas dia makan ubat klinik, cecair kaler putih tu tapi masih tak sembuh juga. Entah macamana, dia cuba minum air gamat dan Alhamdulillah, penyakit gastriknya dah hampir tak de. So, sebagai ganti makan sahur, dia hanya minum air gamat sahaja dan boleh tahan berpuasa macam orang lain juga.

Terdapat beberapa jenis air gamat yang boleh diminum. Kalau dulu, kakak saya selalu pesan kat orang-orang yang pergi ke Langkawi dan dia beli beberapa botol sebagai stok. Sekarang, dah banyak dijual di toko-toko jamu. Kat Mydin pun ada kalau tak silap.

Rasa air gamat ni masin sedikit tapi taklah berbau busuk macam minyak gamat tu. Kalau berbau macam tu, saya pun tak lalu minum. Oh ya! Saya pun pernah minum air gamat tu sebab perut masuk angin sampai nak berdiri tegak pun tak boleh sebab sakitnya sampai menarik-narik perut saya. So, lepas minum air gamat tu, kita akan terkentut-kentut sebab air gamat tu boleh keluarkan angin. Lepas dah minum, lega!

So, sesiapa yang ada masalah gastrik dan telah mencuba ubat doktor tapi tak berkesan, mungkin ini masanya anda boleh mencuba air gamat. Ni salah satu contoh air gamat yang dapat saya Google :-


Air Gamat Cap Petani

Kalo tak silap, botol kecik RM5 dan botol besar tu RM12. Cubalah!

Tuesday, August 10th, 2010 | Author: Ujie

Dicopy dari entry ini. Semoga kita sama-sama mendapat manfaatnya.

—————————————————————–

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Bersempena dengan kedatangan Ramadhan tidak lama lagi, ingin saya berkongsi dengan anda semua tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Solat Tarawih ini.

Pertama sekali, mari kita lihat antara dalil-dalil Sahih mengenai solat Tarawih ini:

1. Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.”

“Sesiapa mengerjakan sembahyang malam dalam bulan Ramadhan,  sedang ia beriman serta mengharapkan rahmat Allah Taala, maka ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu”
(Hadith Sahih,  riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a. (Sahih Muslim – bi Syarh al-Nawawi, 6:39))
Dan mari kita lihat bagaimana asal mulanya sembahyang Tarawih ini melalui hadith Sahih di bawah:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلَاتِهِ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلَاتِهِ فَلَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلَاةِ الصُّبْحِ فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ. (رواه البخاري)

“Dari `Aisyah r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. – pada suatu malam (dalam bulan Ramadhan) ketika jauh malam telah keluar (1) lalu sembahyang di masjid dengan diikuti oleh beberapa orang lelaki sebagai makmum.  Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu mereka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua) serta mereka bersembahyanglah bersama-sama Baginda.

Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu bertambah ramai orang-orang hadir di masjid pada malam yang ketiga. Rasulullah s.a.w. pun keluar ke masjid lalu sembahyang dengan diikuti oleh sidang jamaah.

Setelah sampai malam yang keempat, penuh sesaklah masjid dengan sidang jamaah (tetapi Baginda tidak datang) sehinggalah Baginda keluar ke masjid untuk mengerjakan sembahyang subuh.  Setelah selesai sembahyang, Baginda mengadap orang ramai lalu (memulakan ucapannya dengan memuji Allah Taala dan) mengucap syahadah, kemudian Baginda (menerangkan sebabnya Baginda tidak datang ke masjid untuk mengerjakan sembahyang tarawih bersama), sabdanya:

“Amma Ba’du, sebenarnya tidak terlindung kepada Aku tentang kedudukan kamu (sebagai orang-orang yang taat dan suka berbuat kebajikan), tetapi Aku bimbang bahawa (sembahyang tarawih) itu

akan difardhukan atas kamu(2), maka dengan itu kamu tidak terdaya mengerjakannya.”

(Imam al-Zuhri, salah seorang rawi hadith ini berkata): “Maka wafatlah Rasulullah S.A.W sedang perkara (sembahyang tarawih) itu berkeadaan demikian” (tidak dikerjakan dengan berjamaah).(3)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Semenjak itu sembahyang tarawih tidak dikerjakan dengan berjamaah di masjid tetapi masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian, sama ada di rumah atau di masjid.

Rujukan:
(1) Rumah Baginda s.a.w. berdekatan dengan masjid.
(2) Yakni Baginda bimbang akan turunnya wahyu yang mewajibkannya. Dalam sebuah hadith yang lain Baginda menyuruh orang ramai supaya mengerjakan sembahyang sunat pada waktu malam di rumah masing-masing.
(3) Fath al-Bari (5:158)

Kemudian, situasi ini berjalan terus sehinggalah ke zaman Saidina Umar R.A, barulah sembahyang tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah di masjid menurut seorang imam yang telah dilantik oleh Saidina Umar sendiri seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ. (رواه البخاري)

“Dari Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan,  saya mengiringi Umar bin al-Khattab ke masjid,  tiba-tiba (kami) dapati orang ramai (di situ) berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan yang berasingan, ada orang yang sembahyang seorang diri, ada pula yang sembahyang lalu diikuti oleh beberapa orang.

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata:  “Aku fikir, kalau aku kumpulkan mereka ini semuanya berimamkan seorang imam,  tentulah amalan itu amatlah baiknya.”

Kemudian ia mengambil keputusan lalu mengumpulkan mereka semuanya berimamkan Ubai bin Kaab.

Setelah itu, saya mengiringi Saidina Umar pada suatu malam yang lain (pergi ke masjid), (pada ketika itu) orang ramai sedang sembahyang berimamkan imam mereka (yang tersebut).

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata:  “Amalan ini satu perbuatan bid’ah yang baik …”(1)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Menurut huraian ulama’ rahimahullah, bahawa kalimah “bid’ah yang baik” yang disebutkan oleh Saidina Umar r.a., ialah arahannya mengenai “sembahyang tarawih dengan berjamaah” setelah ia menjadi khalifah Islam.

Dalam hadith ini diterangkan: Pada suatu malam Saidina Umar bersama-sama dengan seorang pengiringnya telah pergi ke masjid Nabi s.a.w. di Madinah,  lalu dilihatnya orang ramai sedang mengerjakan sembahyang tarawih dengan berpecah-pecah kepada beberapa kelompok di sana-sini. Ada yang sembahyang seorang diri, ada dua tiga orang yang menurut seorang imam dan ada pula yang lebih daripada itu menurut imam yang lain.

Melihatkan yang demikian, Saidina Umar pun mengarahkan mereka semuanya supaya menurut seorang imam yang dilantik olehnya mulai malam itu dan supaya mereka meneruskannya di sepanjang-panjang bulan Ramadhan.

Menurut huraian ulama’ Saidina Umar R.A,(2) bertindak demikian setelah ia berijtihad dan beristinbat berdasarkan amalan Rasulullah s.a.w.

Pertama – Rasulullah s.a.w. pernah mengerjakan sembahyang tarawih dengan berjamaah di masjid.

Kedua – Sungguhpun Baginda mengerjakannya dengan berjamaah selama tiga malam sahaja lalu memberitahu kepada orang ramai supaya masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian di rumah dan Baginda sendiri juga mengerjakannya di rumah sehingga akhir hayatnya – tetapi Baginda telah menerangkan sebabnya kepada umum iaitu Baginda “bimbang akan turun wahyu yang mewajibkan sembahyang tarawih itu” jika Baginda terus menerus mengerjakannya dengan berjamaah di masjid bersama sama dengan mereka.

Berdasarkan hakikat inilah Saidina Umar r.a., berijtihad mengarahkan supaya sembahyang tarawih dikerjakan semula dengan berjamaah, kerana perkara yang dibimbangkan oleh Rasulullah s.a.w. dahulu tidak akan berlaku. Kerana setelah Baginda wafat, tidak akan turun wahyu lagi – yang mewajibkannya.

Saidina Umar mengaku bahawa arahannya itu “bid’ah” tetapi ia “bid’ah yang baik” (bid’ah hasanah) kerana dapat menyatupadukan umat Islam dan kerana itulah ia diterima dengan ijma’ oleh sahabat-sahabat Nabi yang ada pada zamannya serta diwarisi oleh umat Islam turun temurun.”

Rujukan:
(1) Fath al-Bari (5:155) dan Nail al-A utar (4:56).
(2) Fath al-Bari (5:156).

Salam.

Thursday, August 05th, 2010 | Author: Ujie

Kalau perasan, zaman sekarang ni, budak-budak remaja suka menggunakan bahasa mengarut (bahasa rempit). Kenapa saya katakan bahasa mengarut ialah, masih berbahasa Melayu, tetapi tulisan di‘shortform’kan atau diubah sampai nak kena baca berulang-ulang kali baru boleh faham.

Biasanya ia digunakan di dalam SMS, komen entry blog dan kadang-kadang pernah juga saya jumpa di entry blog. Alamatnya, sekali jelah aku bukak blog ngko adik oii..

Saya terpanggil nak buat entry ni sebab saya baru je dapat komen dari seorang adik ni. No offense ye dik. Akak (ke makcik dah pangkat saya ni? Heehee) nak tegur je..

aq tadew side bengkulu tp pena dok kt sg.choh n skool kt ctou..
frst2 mang ta twu lngsng pew yg org2 ckp..
dew mkcik neyh pene ar tgur tp aq spatah hram pown ta twu.. aq blz lam base mlayu dye lak mawa aq…
lme2 cm bez lak dega org2 ctouu ckp bngkulu..
n aq pown mle ar blaja kit2..
sonok dpt blaja byk bhase neyh…

Korang paham tak? Lepas dah juling-juling bijik mata saya, barulah saya paham apebenda budak ni tulis.

aku takde side bengkulu tp pernah dok kt sg.choh n sekolah kat situ..
first2 memang tak tau langsung ape yg org2 ckp..
ade makcik nih pernah la tegur tp aku sepatah haram pon ta tau.. aku balas dalam bahase mlayu dia lak marah aku…
lame2 cm best lak dengar org2 situ ckp bngkulu..
n aku ponn mule la blaja sikit2..
seronok dpt blaja byk bhase nih…

Hilang akal nak memahamkannya. Mungkin sesetengah orang dah biasa. Tapi orang yang dah tua-tua macam saya ni, amik masa sikit.

Aq = Aku

Adew = Ada

Mawa = Marah (Omaigod! rosak bahasa budak-budak sekarang nih)

Pown = Pun

Ctou = Situ (Woii!! Aku sekeh kepala ko kang!)

Bez = Best (ni omputeh tengok pon menanges)

Kenapa eh, nak kena tukar tulisan macam nih? Nak kata huruf makin pendek, tak jugak. “Pun” jadi “Pown”. Sapelah dalang dalam kes nih ye. Nak sekel kepala dia! Pernah jugak saya dengar cerita seorang rakan yang menerima SMS – “Jom B1 ngan aku”. B1? B-One? Ohhh, salah, sebenarnya budak tu nak ajak pegi “Breakfast”. Bajet kiutlah tu kononnya. Saya pun pernah mengalami perkara serupa. Salah seorang anak buah saya SMS – “Cik Ujie chat?”. Saya pun reply- “Tak boleh nak chatting, tengah drive”. Hahaha, padahal dia tanye, Cik Ujie sihat. WTH (What the heaven!) sihat jadi chat. Herrgghh!! Tensen palotak aku.

Macamana agaknya mereka menulis karangan kat sekolah? Jangan terbabas guna bahasa rempit ni sudah! Pening cikgu-cikgu nak tanda kertas.

Ya Allah ya tuhanku, janganlah anak-anakku nanti berbahasa rempit sebegini. Amin..

Category: Information, Knowledge |  Tags: | 2 Comments
Saturday, July 31st, 2010 | Author: Ujie

Saya tak pernah lagi sampai ke Indonesia, jadi saya tidak tahu keadaan sebenar lalulintas di sana. Cuma pernah lah juga mendengar rakan-rakan yang pernah ke Indonesia memberitahu keadaan jalanraya yang begitu sesak dan terpaksa terperangkap selama berjam-jam. Artikel di bawah dipetik daripada Utusan Online hari ini.

—————————————————————————

ISU kesesakan lalu lintas atau disebut ‘macet’ di Jakarta, seolah-olah tidak pernah selesai. Sehingga baru-baru ini ada pihak yang menyalahkan Presiden Indonesia menjadi punca kesesakan yang semakin parah.

Melalui surat seorang pembaca sebuah akhbar, jalan utama dan lebuh raya menjadi sesak kerana kegiatan Susilo Bambang Yudhoyono yang pulang atau datang ke Istana Presiden yang terletak di Jakarta dari rumah peribadinya di Cikeas, dekat Bogor.

Ini adalah kerana 30 minit sebelum kenderaan presiden dan belasan buah kenderaan pengiring bergerak, jalan akan ditutup sepenuhnya termasuk kepada pejalan kaki.

Situasi itu menyebabkan mereka yang tinggal di laluan berkenaan sering lewat ke pejabat kerana terperangkap dalam kesesakan yang sangat parah.

Pembaca berkenaan menyarankan supaya Susilo supaya tidak terlalu kerap pulang ke kediaman peribadinya di Cikeas, kerana ia menyusahkan rakyat.

Surat pembaca itu akhirnya mendapat perhatian Susilo sendiri yang kemudiannya mengarahkan supaya tempoh penutupan lalu-lintas untuk tujuan keselamatan presiden dipendekkan.

Sebenarnya tanpa kegiatan ulang alik presiden itu Jakarta memang telah sedia sesak, tetapi penutupan jalan utama hanya menambah kepada masalah tersebut.

Penulis sendiri ketika menceritakan pengalaman terperangkap di dalam kesesakan selama empat jam hanya diketawakan oleh rakan, kerana mereka pernah terperangkap sehingga 10 jam.

Menurut data yang dikeluarkan oleh polis, dalam tempoh tujuh tahun ini kelajuan kenderaan bergerak pada waktu puncak di Jakarta telah menurun daripada 26 kilometer sejam, menjadi 20 kilometer sejam dan pada masa yang sama jumlah motosikal pula meningkat tiga kali ganda.

Daripada jumlah jam perjalanan di jalan raya, hanya 40 peratus digunakan untuk bergerak, selebihnya statik di dalam kesesakan.

Situasi itu menyebabkan pencemaran udara yang teruk dengan catatan dalam tempoh 365 hari, hanya 60 hari sahaja udara direkodkan bersih.

Kira-kira 63 peratus penduduk pula menghabiskan 20 hingga 30 peratus pendapatan mereka untuk belanja pengangkutan.

Kerugian ekonomi akibat ketidakcekapan sistem pengangkutan dianggarkan kira-kira Rp5.5 trilion atau kira-kira RM2 bilion setahun dan kerugian akibat kualiti udara adalah sebesar Rp2.8 trilion setahun (kira-kira RM1 bilion).

Pertumbuhan jumlah kenderaan bermotor pula meningkat 9 peratus setahun, manakala pertambahan jumlah jalan meningkat 0.01 peratus sahaja setahun.

Pelbagai langkah telah diambil termasuk memperkenalkan sistem 3 dalam 1 iaitu hanya kenderaan yang mempunyai tiga penumpang yang dibenarkan masuk ke pusat bandar pada masa puncak dan menyediakan laluan khusus untuk bas yang dikenali sebagai Busway, tetapi ia tidak membantu menyurai kesesakan lalu lintas di Jakarta.

Projek monorel pula terbengkalai hanya tinggal tiang-tiang di sekitar Jakarta kerana ditinggalkan begitu sahaja oleh pemaju.

Kini ramai pula mahu kembali kepada idea yang dilontar semasa pemerintahan Presiden Suharto, supaya pusat pemerintah dipindah Indonesia dipindah dari Jakarta ke kawasan lain seperti ke Kalimantan. Jakarta pula hanya dijadikan kota khusus untuk urusan perniagaan sahaja.

Mungkin ada logik idea sedemikian kerana kesesakan lalu lintas di Jakarta hanya dapat diselesaikan dengan tindakan drastik oleh pemerintah.

Persoalannya kini apakah pemerintahan Susilo cukup berani untuk melaksanakan tindakan drastik sedemikian?

Category: Information |  Tags: , | 5 Comments
Saturday, July 17th, 2010 | Author: Ujie

Saja nak share artikel lama dalam Kosmo Online sebab baru terbaca.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Firaun kaya penyakit

AHLI arkeologi Mesir terkenal, Zahi Hawass  berpengalaman  selama lebih dua dekad dalam bidang kajian
cari gali, sejarah dan  budaya Mesir.

 

 

IMAGINASI kita mungkin membayangkan raja Mesir purbakala itu sempurna fizikal, gagah dan memiliki wajah yang tampan.

Namun, gambaran itu sangat berbeza pada salah seorang firaun paling terkenal, Tutankhamun yang lebih dikenali dengan gelaran Raja Tut.

Itulah yang berjaya dibongkar oleh sekumpulan saintis baru-baru ini.

Berasaskan kajian asid deoksiribonukleik (DNA) dan imbasan tomografi berkomputer (CT) selama dua tahun, nyatalah imej remaja lelaki yang menawan pada artifak Raja Tut jauh berbeza daripada jasad sebenar yang tersemadi.

Raja Tut terpaksa berdiri menggunakan tongkat kerana kakinya bengkok manakala bibirnya didapati sumbing.

Penemuan 130 batang tongkat di tempat persemadiannya membuktikan masalah kakinya itu.

Kaki bengkok

Bahkan cerita dia mati dibunuh kerana terdapat lubang pada tengkoraknya adalah tidak tepat. Dia sebenarnya mati akibat penyakit malaria yang telah melumpuhkan sistem imunisasi tubuhnya.

Raja Tut mula popular selepas mumia berusia 3,300 tahun itu ditemui pada tahun 1922 dengan limpahan barang kemas dan artifak, termasuk topeng emas di sisinya.

Raja Tut menjadi firaun ketika berusia 10 tahun pada 1333 Sebelum Masihi dan hanya sempat memerintah selama sembilan tahun sebelum meninggal dunia pada usia 19 tahun.

Lebih memeranjatkan, saintis mendapati sebahagian penyakit yang dihidapi Raja Tut merupakan penyakit keturunan.

Bapanya, Akhenaten sumbing bibir manakala datuknya, Amenhotep III mempunyai kaki yang bengkok dan menghidap penyakit pemberhentian darah ke kaki iaitu Kohler.

Penyakit genetik lain seperti skoliosis dan tulang belakang melengkung turut ditemui pada mumia-mumia lain daripada Dinasti ke-18 firaun.

Kalau sudah namanya penyakit genetik, tidak mustahil jika keturunan firaun terdahulu juga kaya penyakit seperti mereka.

Ujian DNA ke atas ratusan mumia itu juga mendapati beberapa mumia mempunyai persamaan penyakit iaitu diserang parasit malaria.

Sejarahwan perubatan dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Dr. Howard Markel berkata, sesetengah penyakit Raja Tut termasuk penyakit tulang terjadi akibat perkahwinan sumbang mahram.

“Kanak-kanak yang dilahirkan hasil perkahwinan sesama adik-beradik cenderung untuk menghadapi masalah genetik,” lapor beliau dalam Journal of the American Medical Association (JAMA).

Sebenarnya, Raja Tut merupakan anak kepada firaun Akhenaten dengan adik kandung Akhenaten sendiri yang belum dikenal pasti. Wanita itu bukan isteri utama Akhenaten iaitu Permaisuri Nefertiti.

Sebelum ini juga terdapat spekulasi bahawa bapa Raja Tut ialah firaun Smenkhkare yang kurang dikenali.

WAJAH Raja Tut yang dibina semula menggunakan mesin pengimbas CT oleh sekumpulan saintis pada 2005.

Smenkhkare merupakan firaun yang memaksa seluruh rakyat Mesir menyembah tuhan matahari, Aten.

“Terdapat banyak kekeliruan tentang pewarisan takhta firaun dan mengetahui Tutankhamun merupakan pewaris langsung kini telah mengubah segalanya,” kata Salina Ikram, seorang pakar mumia Universiti Amerika di Kaherah.

Mirip perempuan

Kajian terbaru itu turut mendedahkan bahawa dua janin yang bersemadi bersama Raja Tut mungkin merupakan anak-anaknya.

Ahli arkeologi Mesir, Zahi Hawass yang terlibat dalam kajian itu mengakui dia telah melakukan kesilapan selama ini apabila menentang ujian DNA dilakukan ke atas mumia-mumia.

“Saya tidak pernah terfikir yang kita akan memperoleh penemuan yang begitu hebat seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, kajian tersebut menyangkal kenyataan sebelum ini yang mengatakan keluarga firaun mengalami penyakit pelik yang menyebabkannya berfizikal mirip perempuan.

Teori itu timbul daripada gaya artistik yang digambarkan pada patung-patung firaun yang mempunyai dada dan punggung yang menonjol serta wajah yang membujur.

“Nampaknya, Tutankhamun atau Akhenaten tidak mempunyai bentuk fizikal yang signifikan dengan teori itu,” lapor saintis.

Projek DNA

Kini, pakar-pakar sedang berusaha untuk mengenal pasti siapakah adik Akhenaten yang merupakan ibu Raja Tut serta siapa pula isteri Raja Tut.

Projek DNA itu juga mahu mengenal pasti yang mana satukah mumia yang bernama Nefertiti, seorang permaisuri yang masyhur dengan kecantikannya.

“Belum terbongkar sepenuhnya, banyak lagi kajian yang perlu dilakukan,” kata Hawass.

Pada masa ini, satu pameran firaun, Tutankhamun and the Golden Age of Pharaohs sedang berlangsung di San Francisco, California, Amerika Syarikat.

Di situ, mumia Raja Tut, mumia yang dipercayai ibunya dan neneknya, Permaisuri Tiye turut dipamerkan.


RAJA Tut  menghadapi masalah kaki bengkok. 

Dr. Howard Markel, sejarahwan perubatan dari Universiti Michigan berkata: “Walaupun penemuan itu akan mencacatkan kisah kehebatan Raja Tut selama ini, ia tidak akan mengubah gambaran orang ramai terhadapnya.

“Dia jauh lebih terkenal kerana apa yang dimiliki dan yang dipakainya berbanding apa yang pernah dilakukan sepanjang hayatnya.”

Makam Raja Tut yang terletak di Lembah Raja-Raja di Luxor itu sendiri merupakan satu tarikan yang kuat di Mesir.

Ekonomi Mesir amat bergantung kepada perlancongan. Ia menyumbang kira-kira AS$10 bilion (RM35 bilion) kepada pendapatan tahunan negara itu.