Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Hari ini 8 Ogos 2008 atau lebih cantik ditulis sebagai 08.08.08. Pasti ramai yang menanti tarikh ini untuk bernikah atau bertunang dan sebagainya. Atau mungkin juga pada hari ini akan lahir ramai bayi-bayi comel di seluruh dunia.

Saya pun pernah berangan-angan nak berkahwin pada tarikh ini. Apakan daya, jodoh lambat sikit. 🙂 Takpe, kita tunggu pulak tarikh 09.09.09 tahun depan. Ahhlammakk…dah tua la pulak…

Pendek kata, kita sangat suka dengan nombor yang cantik-cantik. Saya kira, dari dulu lagi ramai yang menanti tarikh 02.02.02 atau 03.03.03 dan seterusnya untuk mencipta kenangan terindah dalam hidup mereka. Bagi kita, dengan nombor yang cantik, tarikh itu mudah diingat. Mungkin tarikh ulangtahun perkahwinan misalnya. Kalau suami terlupa juga, memang nak kenalah kan..

Nombor yang cantik juga dipilih untuk plat kenderaan. Ada yang pilih tarikh lahir, nombor kegemaran dan sebagainya. Macam saya sendiri, nombor plat kereta saya, saya ambil tahun kelahiran saya, 1978. Kalau orang tengok, mesti mereka tahu umur saya dah 30 tahun. Tak pasal-pasal mendedahkan umur pulak, kan?

Sempena 08.08.08 ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada kawan saya, Syahrul yang akan bernikah pada hari ini. Alhamdulillah, setelah banyak rintangan yang beliau hadapi, akhirnya ikatan cinta mereka berjaya juga disatukan. Tahniah bebeh! Semoga perjalanan hidup ko yang baru, bertambah sukses dan bahagia selalu (walaupun ada hati yang telah terluka. Huhu, ko tau sape…Syyy..)

Syahrul @ Ahmad Dhani Malaysia. Huhu. Kredit to Wawa

Semoga pada tarikh yang cantik ini juga berserta berkat hari Jumaat yang mulia, kita semua akan beroleh rezeki yang banyak dan hidup dalam keberkatan dan rahmat Ilahi. InsyaAllah…

Saya mula mendapat jerawat agak lambat. Kalau gadis-gadis lain mula berjerawat semasa mula akil baligh (yang tak berjerawat langsung tak yah citer ek. Hiks!), saya pula mula berjerawat ketika nak masuk umur 20an. Seingat saya puncanya sebab memakai krim pelindung matahari. Kononnya nak memutihkan kulit muka dan mengelakkan kulit menjadi gelap. Maklumlah, kadang-kadang pergi ke kuliah berjalan kaki di bawah terik mentari.

Ketika itu, jerawat mula tumbuh satu-persatu. Kat dahi jangan cakap lah. Besar-besar dan keras. Eeeyekkk…Masa tu, macam-macam ubat saya guna. Hampeh, tak berkesan langsung. Kat bahagian pipi takde sangat. Salah satu punca jugak jerawat tak hilang, mungkin disebabkan saya selalu picit dan korek-korek pakai jari. Huhu..

Lepas dah start kerja, jerawat di bahagian dahi dah agak kurang, tapi berjangkit pula di bahagian pipi. Pipi saya dah jadi macam track jalan untuk suspension test, bak kata kawan saya mengutuk muka saya. Seorang rakan lagi cakap muka saya macam ladybird. Sebab ada tompok-tompok hitam sambil dia tergelak-gelak. Hehe..Sabo jelah..

Bila dah masuk umur 30 tahun ni, jerawat masih ada seketul dua. Ala-ala manja gitu. Parut-parut lama pun masih ada sikit-sikit lagi. Kadang-kadang hangen jugak menengoknya.

Menurut artikel yang saya baca, dan anda juga sudah pasti sedia maklum, golongan yang paling mudah mengalami jerawat adalah remaja iaitu sekitar 80-90 peratus. Malah lebih teruk, kira-kira 30 peratus remaja yang berjerawat akan terus mempunyai masalah itu sehingga mereka dewasa.

——————————————————

Menurut Profesor Perubatan Mikrobiologi dari Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU), Prof. Ong Kok Hai berkata, untuk mengatasi masalah jerawat, seseorang terlebih dahulu perlu mengetahui punca yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku.

Secara umum katanya, jerawat adalah keadaan abnormal pada kulit akibat gangguan rembesan berlebihan kelenjar minyak (sebaceous gland) hingga menyebabkan saluran folikel rambut atau liang roma tersumbat.

Ini menyebabkan radang (bengkak) yang biasanya terjadi pada dada, belakang badan dan muka – bahagian paling kerap dijangkiti.

“Kita perlu faham bahawa kulit mempunyai banyak lapisan. Lapisan paling atas akan bertukar setiap 28 hari dan mengelupas sebagai sel mati. Dalam keadaan tertentu sel mati ini termasuk ke dalam liang-liang roma.

“Apabila liang-liang roma ini mengeluarkan minyak ia bercampur dengan sel-sel mati lalu membentuk gumpalan yang menyekat liang-liang roma,” katanya.

Menurut Kok Hai, jika tidak dikeluarkan, gumpalan ini memerangkap bakteria P. acnes di dalam liang roma tersebut sehingga menyebabkan radang dan seterusnya timbul jerawat.

Menurut Kok Hai, kebiasaannya jerawat bermula dengan kelihatan seperti bisul atau benjolan kecil pada kulit berwarna keputihan atau kemerahan.

Menurutnya lagi, punca sebenar terbentuknya jerawat tidak diketahui, bagaimanapun para doktor telah menyatakan beberapa faktor yang mungkin boleh dikaitkan sebagai penyebab masalah kulit itu.

Antaranya, peningkatan hormon di peringkat remaja menyebabkan kelenjar minyak menghasilkan lebih banyak minyak sebum, oleh itu liang roma tersumbat dengan lebih kerap.

Menurutnya, hasil penelitian menunjukkan sebanyak 85 peratus mengalami jerawat pada usia 12-25 tahun, 15 peratus mengalaminya hingga usia 25 tahun.

“Jika tidak diatasi dengan baik, gangguan jerawat boleh berlarutan sehingga usia seseorang mencecah 40 tahun,” katanya.

Jerawat juga kerap berlaku ketika wanita hamil berikutan perubahan hormon atau ketika permulaan dan pemberhentian penggunaan pil perancang kehamilan.

“Jerawat juga dikaitkan dengan keturunan di mana biasanya jika ibu bapa mempunyai masalah tersebut anaknya juga mungkin menghadapi masalah yang sama,” katanya.

Keyakinan

Kok Hai berkata, selain menimbulkan bekas yang menjejaskan penampilan, kesan utamanya adalah pada jiwa seseorang, seperti krisis keyakinan diri yang rendah dan kemurungan.
Justeru menurutnya masalah tersebut tidak harus dipandang remeh khususnya oleh golongan remaja dengan mengharapkan ia hilang sendiri apabila meningkat usia.

Rawatan biasa bagi jerawat adalah dengan menyapu krim yang mengandungi bahan-bahan kimia aktif seperti antiseptik atau antibakteria yang berfungsi untuk membunuh bakteria.

Namun katanya, krim hanya bertindak membunuh bakteria dari luar dan ia jarang menyelesaikan masalah jerawat hingga ke akar umbi.

“Sebab itu kita akan lihat dalam jangka masa singkat bengkak jerawat kering tetapi jerawat baru tumbuh lagi,” katanya.

Bagi yang mengalami masalah jerawat yang lebih serius biasanya mereka akan berjumpa doktor di mana akan diberi oral antibiotik (untuk dimakan).

Ia akan bertindak melawan jerawat dari dalam ke luar dan cara ini lebih berkesan berbanding sapuan krim.

Begitupun pengambilan antibiotik yang berlarutan akan menimbul kesan sampingan pada tubuh badan.

Jenis jerawat

* Whiteheads – jenis jerawat yang kekal tinggal di bawah permukaan kulit.

* Blackheads – jerawat ini timbul ke permukaan kulit dan kehitaman.

* Papul – bonjolan kecil berwarna merah jambu yang mungkin berasa sakit jika disentuh.

* Pustul – jerawat ini berwarna kemerahan di pangkal dan bernanah di bahagian atas.

* Nodul – jerawat yang besar, menyakitkan dan padu yang terdapat di dalam kulit.

* Sista – jerawat bernanah yang dalam dan menyakitkan dan boleh meninggalkan parut.

——————————————————

Oh! Jerawat, bila kau nak hilang??