Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Oleh Habsah Dinin

WASIAT adalah satu deklarasi oleh seseorang semasa hayatnya ke atas harta dan manfaat untuk kebajikan atau untuk tujuan lain yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam, selepas kematiannya.

Pentingnya menyediakan wasiat adalah seperti pentingnya mengadakan perancangan kewangan semasa hidup untuk ditinggalkan kepada orang yang disayangi di dunia ini, selepas kita meninggal.

Ketua Pegawai Eksekutif As-Salihin Trustee Berhad (as-Salihin), Abdul Aziz Peru Mohamad, berkata menyediakan wasiat mengikut syariat Islam menjadi tanggungjawab kepada setiap umat Islam.

As-Salihin, katanya, adalah sebuah syarikat amanah yang ditubuhkan khusus memenuhi keperluan umat Islam untuk memelihara, melindungi dan mengagihkan harta hasil titik peluh mereka untuk manfaat orang tersayang apabila mereka meninggal dunia kelak.

Kita banyak mendengar nasib balu dan isteri kedua yang terabai berikutan kegagalan suami menyediakan wasiat untuk menjaga kepentingan hak mereka dari segi pembahagian harta.

Apabila seorang suami itu meninggal dan meninggalkan harta yang tidak diwasiatkan, harta peninggalannya akan difaraidkan mengikut hukum syarak.

Dalam kes seperti ini, mengikut hukum Islam, balu hanya mendapat 1/8 harta peninggalan berbanding ibu bapa si mati yang mendapat 1/3 daripada jumlah keseluruhannya. Hak isteri boleh ditambah jika suami menulis wasiat dengan menyatakan sejumlah harta ditinggalkan khusus kepada isteri yang disayangi, ini juga dibenarkan Islam,” katanya ketika ditemui.

Berbeza menulis wasiat sendiri dengan menggunakan khidmat yang disediakan as-Salihin adalah dari segi profesionalisme, di mana as-Salihin menyediakan khidmat yang menyeluruh daripada penulisan wasiat, pengiraan harta pusaka, pembayaran hutang dunia dan akhirat, faraid dan sebagainya.

Secara khususnya, perkhidmatan yang disediakan syarikat ini ialah penulisan wasiat profesional, pelantikan wasi, pentadbiran harta pusaka yang tidak mempunyai wasiat, hibah, pemegang amanah, wakaf, harta sepencarian, penjagaan kanak-kanak dan penyimpanan dokumen.

Abdul Aziz berkata, as-Salihin menyediakan perkhidmatan penyimpanan berkomputer untuk penyimpanan yang selamat bagi semua dokumen yang disediakan.

Tidak kira di mana atau bila anda meninggal dunia, jika benefisiari dan peguam anda menghubungi as-Salihin untuk mendapatkan wasiat anda, kami pasti menghantar salinan wasiat berkenaan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya.

Tidak berguna kita menulis wasiat jika tidak boleh mengesannya kelak. Di kalangan masyarakat Islam masa kini, banyak harta pusaka dibekukan kerana wasiat terakhir tidak dapat dikesan berikutan mereka tidak membuat wasiat dengan cara yang betul,” katanya dan menambah lebih kurang 95 peratus umat Islam di negara ini tidak dapat diagihkan kepada penerima kerana tidak ada wasiat.

Umat Islam, katanya, tidak perlu bimbang kerana semua khidmat di as-Salihin adalah berlandaskan syariah Islam sepenuhnya selepas mengambil kira kos pengebumian, penyelesaian hutang, harta sepencarian sebelum bakinya diagih mengikut faraid. Semua urusan ini dipantau oleh panel syariah khas.

Biarpun tahap kesedaran mengenai penulisan wasiat masih rendah, keprihatinan ke arah itu dilihat semakin meningkat saban tahun hasil pendedahan oleh media cetak dan elektronik yang dilakukan secara berterusan.

Orang ramai boleh mendapatkan khidmat yang disediakan oleh as-Salihin dengan kadar serendah RM380 mengikut syarat dan jenis khidmat yang diperlukan, katanya.

———————————————————-

Untuk info lanjut, hubungi Ujie, agen Wasiat anda πŸ˜‰

Soalan : JIKA seorang lelaki dan wanita berzina, kemudian wanita itu mengandung dan mereka berkahwin, adakah sah nikah mereka ketika wanita itu mengandung anak zina? Adakah bayi itu menjadi anak susuan jika ibu menyusukannya dengan cukup syarat? Kemudian pasangan itu mendapat beberapa orang anak lagi, apakah mereka anak sah? Bagaimana hukum penamaan anak, pewarisan harta kepada semua anak itu.

Insan Prihatin

Jawapan : Sebelum menjawab persoalan, wajar jika dijelaskan terlebih dulu maksud anak tak sah taraf. Menurut Islam, anak tak sah taraf adalah anak yang lahir daripada hasil persetubuhan sebelum pernikahan dan bukan anak daripada persetubuhan salah sangka (wati syubhah).

Peruntukkan berkaitan anak tak sah taraf ini ada dalam undang-undang, contohnya Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 di bawah Seksyen 110 yang menetapkan: Jika seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan itu atau dalam tempoh empat bulan qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara lian atau kutukan menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah.

Perzinaan adalah antara dosa besar yang dijanjikan Allah dengan balasan azab seksa pada hari kiamat melainkan bagi mereka yang benar-benar bertaubat.

Firman Allah yang bermaksud, Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain daripada Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan jalan yang hak, dan tidak berzina; dan sesiapa yang melakukannya akan mendapat balasan dosanya; akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan; kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal baik maka orang itu akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah Al-Fuqan, ayat 68-70)

Oleh demikian, mereka yang melakukan zina adalah tidak layak mendapat nikmat nasab hasil daripada perzinaan yang dilakukan kerana Islam tidak memperakui perbuatan zina yang diharamkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, anak yang lahir daripada hamparan (yang sah) berhak disabitkan nasab keturunan dan penzina berhak dilontar batu.

Justeru, anak yang terhasil daripada perhubungan sebelum nikah adalah tergolong dalam anak yang tidak sah taraf walaupun ibu anak itu berkahwin dengan bapa anak itu dan anak berkenaan tidak boleh dibin atau dibinti dengan bapanya.

Nafkah bagi anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ibu kepada anak itu. Begitu juga dengan nasab keturunan bagi anak tak sah taraf adalah di sebelah ibu. Hak penjagaan anak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.

Ini juga sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 80 Akta Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 yang memperuntukkan Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tak sah taraf, jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, mahkamah boleh apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

Dan selanjutnya dalam peruntukkan Seksyen 85, akta yang sama memperuntukkan mengenai penjagaan anak tidak sah taraf adalah kepada ibu dan saudara mara ibu seperti berikut, penjagaan anak tidak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu .

Oleh demikian, isu berkaitan dengan anak susuan tidak wujud kerana anak tak sah taraf sememangnya nasab keturunan hanya di sebelah ibu. Anak tadi berhak kepada harta pusaka ibunya.

Justeru, amatlah dituntut supaya kita menjauhkan zina kerana ia akan membawa keruntuhan institusi kekeluargaan Islam sebagaimana ayat Al-Quran yang bermaksud: Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang jelek.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah.