Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Selepas memburu di kedai buku yang ke-7 (MPH, Popular, Borders dan lain-lain kedai buku), barulah saya berjaya mendapatkan novel 9 Nyawa ni..Tensen betul. Asal tanye je, mesti dorang kata dah abes. Hebat betul penangan Abang RAM ni..

Yang kelakar, bila saya tanye budak cina kaunter MPH One Utama, novel 9 Nyawa ade tak..Sebab saya tengok di rak, semua buku RAM yang lain ada tapi buku 9 Nyawa takde..Ape kesss?

Pemburu Novel : Dik, boleh cek dalam sistem tak novel ni ada ke tidak?

Amoi MPH : Apa tajuk? (sambil berjalan ke kaunter info)

Pemburu Novel : 9 Nyawa

Amoi MPH : Sudah habis (tak sempat cek lagi dia dah tau novel tu dah habis. Ni kes ramai yang tanyela kot)

Saya tak puas hati, saya minta untuk tengok dalam sistem sendiri.

Pemburu Novel : One Utama MPH order berapa buah? (sambil menyibuk tengok sistem dorang)

Dia login ke sistem dan saya dapat lihat, hanya 90 buah buku 9 Nyawa je yang outlet OU ni order..Semua out of stock!

Amoi MPH : Kakak pergi MPH Midvalley la. Sana ada banyak (200 buah)

Finally, lepas jumpa client di KLCC tadi, saya merayau ke Kinokuniya. Yess!! Dapat pun. Tak sabar nak baca ni…

Daaa….

Artikel ini dipetik dari web Kelab RAM (Kelab Ramlee Awang Murshid), novelis idola saya ;). Tak sabar rasanya menantikan novel terbaru beliau – 9 Nyawa

——————————————————————–

NUKILAN RAMLEE AWANG MURSHID – 9 NYAWA AKAN DATANG….


Oleh Ramlee Awang Murshid

Angka 9 mempunyai makna yang berbeza pada persepsi setiap orang. Sewaktu zaman persekolahan dahulu, saya paling takut kalau mendapat angka 9 pada setiap subjek peperiksaan. Angka 9 sebagai tanda kekalahan atau gagal. Ia paling mendukacitakan. Mujurlah saya mendapat angka 2 untuk sastera dan angka 4 untuk Bahasa Malaysia.

Manakala nyawa pula adalah ‘takungan kehidupan’ pada setiap makhluk yang bernyawa di muka bumi ini atau mana-mana makhluk yang tidak terlihat oleh mata kasar. Walhal hakikatnya…pada akhirnya nanti…hanya ALLAH sahaja yang akan kekal abadi apabila sangkakala pertama ditiupkan Malaikat Israfil. Hatta…Malaikat Izrail yang ditugaskan mengambil nyawa juga akan turut mati.

Semakin dewasa…kerap terdengar mengenai kucing yang dikatakan memiliki 9 nyawa. Saya mendengarnya sekian lama namun langsung tidak singgah di benak untuk difikirkan. Sehinggalah satu hari…anak saya Muhammad Aizuddin mengatakan bahawa kucing mempunyai 9 nyawa. Bertitik tolak daripada itu, saya mula memikirkannya untuk dijadikan sebuah novel.

Alhamdulilah…novel 9 Nyawa telah selesai dan saya serahkan kepada editor Alaf 21 pada minggu pertama bulan Syawal. Sebenarnya cerita itu boleh ditamatkan pada akhir penghujung ramadan. Bagaimana pun…saya melengah-lengahkannya untuk mencari satu penamat yang tragik. Ia dinoktahkan dengan hukuman mati di Penjara Cipinang Jakarta yang dilaksanakan sepasukan regu penembak.

9 nyawa berkonsepkan drama. Ia mengisahkan cerita dua keluarga yang berada di Kuala Lumpur dan Geylang Singapura. Kehidupan mereka berbeza. Watak utamanya adalah Intan Suryani dan Hakim – seorang lelaki cacat penglihatan. Intan Suryani yang menghidap sakit jantung dipercayai ibunya Azizah memiliki 9 nyawa. Kerap kali menghadapi maut namun ajalnya masih bertahan menunjang jasad. Intan Suryani tetap bernyawa sehinggalah suatu ketika dia terperangkap dalam kehidupan antara hidup dan mati iaitu koma.

Hakim pula dapat mendengar suara Intan Suryani yang bernyawa dalam keadaan halimunan. Tragedi ini berlaku di Singapura. Antara dua kehidupan tidak menghalang untuk Hakim membantu Intan Suryani. Hanya berdasarkan suara sahaja tidak menghalang ‘mata hati’ itu untuk melihat kebenaran. Hakim yang cacat penglihatan juga menggunakan ‘mata hati’ untuk melakukan kebaikan.

9 nyawa saya sifatkan tidak terlalu ganas dari aspek tindakan watak-wataknya. Ia berkonsepkan drama yang mementingkan ‘cara penceritaan’ berbanding ‘tindakan’. Apa pun…9 nyawa masih dalam bentuk thriller. Menumpukan aspek pengorbanan yang seharusnya dilakukan secara tulus ikhlas. Percayalah…kebaikan itu pasti akan dibalas dengan kebaikan juga. Kejahatan pula pasti akan menerima hukuman. Ia dasar biasa dalam aspek penceritaan tradisional mahu pun masa kini. Yang ingin saya tekanan di sini adalah…’Mata Hati Tidak Pernah Berdusta’. Salam hormat…insya-ALLAH…jumpa lagi dalam CINTA SUFI.

Antara dialog yang dikekalkan dalam CINTA SUFI nanti adalah seperti – ‘Maukah kamu mendengar tawaranku?’ dan ‘Sebagai manusia…aku sayang padamu’.