Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Arini saya nak cerita kenangan saya dengan radio. Entry pasal radio ni saya tulis hasil meniru idea daripada entry Encik Iwan : Hanya Di Radio Ku Terdengar Suaramu. Entry Encik Iwan yang menarik tentang rancangan-rancangan kesukaan beliau di radio, membuatkan saya mengimbau semula kenangan lama, masa saya kecik-kecik dulu dengan radio.

Dulu-dulu, rancangan TV mana ada yang disiarkan 24 jam. Pukul 12 malam je dah abes siaran. Pukul 9 pagi besoknya baru ada siaran semula kan? So, memang radio la yang akan menjadi peneman mak saya membuat kerja-kerja rumah di kala Subuh. Kiranya kalau kat rumah tu, radio tu memang sentiasa on 24 jam la.

Seawal 6 pagi, akan berkumandang lagu Negaraku. Diikuti dengan berita jam 6. Masa tu saya biasanya akan terjaga dan mengeliat sambil terguling-guling lagi atas tilam. Sejukkkk, nak mandi pegi sekolah. Lepas berita jam 6, dorang akan siarkan senaman pagi. Bagai terngiang-ngiang lagi lagu tema Senaman Pagi tu di telinga saya. Nanti instructor senaman tu akan bagi instruction senaman apa yang nak kena buat. Kalau saya faham masa tu, saya ikutlah senaman dorang. Kalau tak, saya dengar aje. Huhu.. “Satu, dua, tiga empat, lima, enam, tujuh, lapan. Lapan lagi!” dan seterusnya. Hahaha.. Masa ni saya sibuk mandi dan bersiap-siap nak pergi sekolah kebangsaan.

Masa kecik-kecik, rancangan yang paling ditunggu-tunggu mestilah rancangan Permintaan Apa Itu? yang dikendalikan oleh Kak Yong. Ingat tak? Apa lah khabar Kak Yong sekarang ye. Saya ada terbaca di artikel yang dia dah berumur 50an sekarang. Eemm.. Sebenarnya saya ada kenangan tersendiri dengan rancangan Kak Yong ni.

Kak Yong yang manis

Seperti biasa dalam rancangan Kak Yong tu, ada segmen teka tajuk buku tajaan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). So, Kak Yong akan bacakan sinopsis satu buku cerita, dan kita (kanak-kanak) sebagai pendengar hendaklah menelefon untuk meneka tajuk buku cerita tersebut. So, satu hari dalam tahun 1988 (ketika itu saya darjah 4), apabila saya mendengar Kak Yong membacakan sinopsis satu buku cerita, terus saya tau tajuk bukunya sebab seminggu sebelum itu saya baru mengikuti rombongan sekolah ke DBP dan ketika di DBP, kebetulan pula saya ada membaca buku cerita tersebut. Saya apa lagi, terus excited nak call Kak Yong.

Saya pun dail nombor telefon Radio 1.

Trooooo troooot.. Trooooot trooottt….

(Masa ni belum on air, baru cakap dengan penerbit)
Penerbit Rancangan : Hello, siapa di talian?

Saya : Suzilah

Penerbit Rancangan : Ya adik, apa jawapannya?

Saya : Jawapannya ialah Siapa Dulu? (ni tajuk buku cerita yang Kak Yong bacakan sinopsis tu)

Penerbit Rancangan : Ya, betul. Ok, sekarang boleh bercakap dengan Kak Yong ye.

Talian pun dipasskan kepada Kak Yong.

Kak Yong : Ya, kita ada pemanggil.. Siapa nama adik?

Saya : Suzilah (bangga gile masa ni suara kuar kat radio)

Kak Yong : Ok adik, apa jawapannya? Apa tajuk buku tadi?

Saya : Jawapannya Siapa Dulu?

Kak Yong : Ya.. Betul jawapan tu.. Ok, kita ada satu lagi soalan ye (masa ni saya dah cuak, apahal plak tetiba ada soalan lain nihhh?? Mana aci!!!)

Saya : Haa, oke..

Kak Yong : Berapa harga buku tersebut?

Saya : (Ahhh sudah, mana saya tau!!) Aaaaa… Errrmmm… RM3.50 (Sumpah!! Masa ni saya bantai je teka. Main agak-agak ikut buku lain yang pernah saya  beli)

Kak Yong : Yaaa, betullllllll!!!! (tepukan bergemuruh!!). Ok, sila beri nama dan alamat adik kepada penerbit untuk penghantaran hadiah ye.

Saya : Oke.. (happy nak mamposss masa ni!)

Saya pun bagila nama dan alamat saya kat penerbit. Rasa macam terawangan-awangan masa tu. Dah la first time berjaya menembusi talian, dapat bercakap dengan Kak Yong yang bersuara serak-serak basah dan lemak merdu, pastu betul pulak jawapan yang saya bagi tu. Dapat hadiah pulak lagi. Budak mana yang tak happy kan? Saya terus kuar, carik mak saya kat kebun sebab nak mengkhabarkan berita kemenangan saya.

Saya : Mak, mak!!! Adik menang rancangan Kak Yong! Adik teka soalan tu betul, mak… Yeayy!!!

Mak : Ye ke? Haaa.. Bagusla tu..

Bila pegi sekolah hari Isnin tu, saya dok bergebang pulak dengan kawan-kawan sekolah pasal saya kemenangan saya tu. Hahaha memang dasar! Kecik-kecik dah keji riak sana sini. Yelah, theyols mampoooo?? Hhahha…

So, beberapa hari lepas tu, saya pun penuh debaran menanti hadiah daripada RTM/DBP seperti yang dijanjikan. Hari berganti hari… Minggu berganti minggu, hadiah untukku tidak kunjung tiba. Beberapa minggu berlalu, bulan pun berganti bulan. Saya sedapkan hati sendiri, “Agaknya memang lama kot proses penghantaran hadiah ni“. Tak pun kadang-kadang bila suara syaitan berbisik “Agaknye posmen salah hantar kat rumah jiran sebelah. Lepas tu makcik tu tanak bagi aku balik hadiah tu“. Sebab alamat saya dengan alamat rumah jiran, dekat-dekat nak sama. Alamat jiran saya 903 Kg Sg Choh, saya 903-A Kg Sg Choh. Jiran sebelah lagi pulak 903-B..

Akhirnya tahun berganti tahun.. Dekad berganti dekad. Sudahnya.. Uwaaaaaaaaaa!!!! 🙁 Dah 23 tahun ni, mana hadiah aku woiiiiiiiii!!!!!????? Keji kau RTM/DBP!!! Sanggup kau mempermainkan hati seorang budak kecil dan comel (nak jugaakkkk….perasan!) dengan kata-kata manismu. Dahla bil telefon rumah aku naik. Kena marah dengan kakak plak tu sebab guna telefon. Dulu-dulu kan telefon ada bekas dia, lepas tu siap ada mangga tanak bagi adik dia guna tepon. Tepon rumah korang ada bermangga-mangga tak? Hahaha… Ok, sambung balik marah RTM/DBP/Kak Yong. Haha tetiba Kak Yong pun jadi mangsa. Yela, mana tak hangen, 23 tahun kot! Tak boleh aku nak meriak-riak kat sekolah dapat hadiah buku daripada radio. Huh! I hate you!!

Sudahnya, memang sampai sekaranglah hadiah kemenangan tu saya tak terima. Hahaha..Tapi saya tak marah pun sebenarnya sekarang. Halalkan ajelah. Cuma memori tu boleh jadi kenanganlah untuk diceritakan kat anak cucu nanti. Ceh!! Tetap jugak nak riak dengan anak cucu tu! Memang dasar betul! Kah kah..

So, cerita kenangan pasal Kak Yong pun dah habis. Saya nak cerita pulak pasal Rancangan Rrrrrrrreeeentak (Rentak) yang dikelolakan oleh DJ Isma Halil Hamzah bermula setiap 12 tengah malam. Memang DJ tu akan sebut Rentak tu dengan hurup R yang diidghamkan. Haha.. Rancangan Rentak ni biasanya akan menyiarkan lagu-lagu jiwang karat dan mutiara kata untuk dibacakan kepada pendengar. Nanti DJ tu akan mintak pendengar hantarkan email atau call dia untuk bagi mutiara kata.

So, kenangan ni berlaku semasa saya masih menuntut di UTM, Skudai. Tak salah saya, tahun 2000. Masa tu saya dan kawan-kawan duduk menyewa di Taman Universiti. Satu malam, masa tengah ulangkaji, saya pun dengar rancangan Rentak ni melalui walkman. Entah macamana masa DJ Isma Halil Hamzah mintak pendengar hantar mutiara kata tu, so saya pun emailkan satu mutiara kata kat rancangan tu. Tak lama kemudian, email itu dibacakan oleh DJ Isma Halil Hamzah.

Ya, email pertama yang kita terima ialah daripada Ujie, Taman Universiti Skudai. Mutiara katanya berbunyi “Malam itu panjang, jangan engkau pendekkannya dengan banyak tidur. Siang itu terang, jangan engkau gelapkannya dengan dosa”.

Hellamaaaakkkkk!!! Sedapp tuh mutiara kata tu. Pandai kan saya mengarang? Hahaha.. Jangan harap! Tu bukan saya karang. Saya cilok je daripada Diari Islam yang kebetulan memang ada atas meja study saya masa tu. Kah kah.. Siap Isma Halil puji-puji la saya masa tu. Poyo! Dia tatau saya cilok je. Hiks..

Ohh, dah dua kenangan saya dengan radio. Ye, ada last sekali. Dengan radio Sinar.fm pulak. Saya kan memang peminat tegar Sinar.fm. Maklumlah, dah tua. Huhu. Satu hari masa bulan raya 3-4 tahun lepas, petang Sabtu, saya berjalan-jalan pegi beraya dengan Illa Sabry (penyanyi Keranamu Kekasih tu) dan anak buah saya dua orang Salyna dan Azlyna. Dalam kereta masa tu, tengah ke udara rancangan yang dikendalikan oleh Jamal Jamaluddin. Saya cakap dengan Illa, call la Abang Jamal, buat permintaan lagu ke, buat ucapan ke. So, Illa pun call handphone Abang Jamal. Bila Illa dapat bercakap dengan dia, Abang Jamal bagitau bahawa rancangan yang sedang ke udara tu sebenarnya rakaman je. Ceh!! Baru saya tau. Patutlah dorang putar lagu je. Takde pun pendengar lain yang call. Abang Jamal cakap, kalau nak buat ucapan, malam Isnin berikutnya dia memang ke udara siaran langsung. So, nanti dia bacakan ucapan yang kitorang bagi, malam Isnin nanti.

So, malam Isnin tu, Illa call saya soh bukak Sinar.fm sebab Abang Jamal dah bagitau dia. Aahh, sudah! Kat rumah mana ada radio. Mujur ada Astro. So, saya bukak channel Astro 857 kat TV. Dapatlah dengar Sinar.

Ok, kita ada pendengar istimewa yang nak nama mereka disebut iaitu Illa Sabry, Salyna, Azlyna dan Ujie Mapia.

Hahaa, yes! Memang saya soh Illa bagi nama saya Ujie Mapia kat Abang Jamal. Keh keh keh.. Tergelak-gelak dan tersenyum sumbing saya dengar nama Ujie Mapia dikeudarakan. Nasib baik Abang Jamal tak bagi Ganda 23! Pommmm!!! (Ini pendengar Cetusan Hati Dan Dedikasi kat Sinar.fm je yang tau apa dia Ganda 23 ni.. Hiks!)

So, setakat ni, inilah saja kenangan saya bersama radio. Korang pun mesti ada kenangan yang best-best kan? Sharela!