Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Pagi Khamis lepas, sedang saya memberi penerangan kepada client saya, tetiba masuk satu SMS yang bertulis – “Glamer u!” yang dikirim oleh Encik Ahmad, salah seorang client saya juga. Saya pun membalas “Nape?” lalu dijawab oleh beliau “Sinar.. Muka u suku page“. Hahah! Tergelak saya dibuatnya dan tahulah saya yang artikel mengenai saya gilakan novel Ramlee Awang Murshid tu dah keluar.

Sebenarnya, temuramah saya dengan wartawan akhbar Sinar Harian itu berlaku pada bulan Ramadhan lagi. Tapi yelah, ko hengat ko star ke, arini interview besok dah kuar sokkabar?? Haruslah kena tunggu sebulan dua jugak kan. Akak redha, dik..

Muka mak dalam sokkabar, uols! Kah kah!

Wartawan Sinar Harian yang saya panggil Eyyra tu menghubungi saya lebih kurang puasa ke-5 kot. Macam biasa, dia dapat contact saya melalui nombor telefon yang saya letak di blog ni. Dia sebenarnya nak tulis artikel pasal pengumpul koleksi setem. Kan macam yang saya letak kat sebelah kanan ni – Hobi : mengumpul setem dan mengarang puisi. Haha, ni lawak je. Mana ada saya kumpul setem. Kalau ada pun, masa zaman kecik-kecik dulu. Adalah dua tiga album setem. Tah mane lah pulak peginya setem-setem tu. Akhirnya Eyyra cakap, pengumpul koleksi novel pun bolehlah. So, tu yang akhirnya dia temuramah saya pasal minat saya membaca novel tu.

Seperti tahun sudah yang mana akhbar Kosmo! menemuramah saya tentang obses saya terhadap kopi (untuk imbas kembali, klik sini), tahun ni bila Eyyra call saya untuk menemuramah saya, saya jadi kalut lagi sekali. Maklumlah, rumah mak ni takde sofa, nyah! Takkan nak dok bersila atas lantai? So, sekali lagi yang menjadi mangsa ialah rumah kawan saya Ina dan Jinggo. Haha.. Ina siap cakap “Ko soh wartawan tu datang lagi 2 minggulah weii.. Sebab sofa raya aku sampai lagi 2 minggu. Sofa sekarang tak cantek..“. Motip sangat! Ko hengat wartawan tu nak interview pasal ruangan Dekorasi ke? Ko jangan nak mencaras aku! Hahaa…Sudah! Jangan nak enterframe okeh. Hiks.. So, akhirnya, tumpanglah jugak rumah dorang. Tengkiu beb!

Pada hari yang dijanjikan, Eyyra dan seorang lagi rakannya datang. Hujan lebat pulak tu. Lepas tu dorang tersesat sikit sebab saya salah bagi direction. Patutnya masuk kanan, saya soh masuk kiri. Ampun ye.. Huhu.. Selesai temuramah dan bergambar, Eyyra minta saya nombor telefon kawan-kawan yang lain yang boleh dia temuramah tentang minat mereka mengumpul barang-barang. Saya pun bagi nombor dua orang rakan saya yang minat mengumpul mug dan fridge magnet. Nantikan pula kemunculan mereka di dada akhbar kelak.

Oh, ya! Artikel saya kali ini, takde dalam Sinar Harian online macam dalam Kosmo! aritu. So, saya dengan gigihnya dah menaip balik artikel tersebut untuk dibaca oleh rakan saya yang berada di Sabah (ke kat Sarawak sekarang ko nyah?) sebab kat sana dia kata sokkabar Sinar Harian ni takde. Oke, cekidaut. Ha, lagi satu, dalam artikel ni ada beberapa perkara yang salah fakta. Mungkin Eyyra tersilap, tapi takpe dik.. Akak ampunkan..

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Napela muka aku yang berdagu lapis ni dorang letak.. *Pasrah

RUANGAN FANATIK

BERKACA MATA AKIBAT Gila Buku! (tajuk dia tak boleh belah!! Haha)

TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN
tuan.buqhairah@sinarharian.com.my

Ketika kaki melangkah masuk ke kediaman teres dua tingkat (Haha, harap maklum, ini bukan umah saya. Umah tumpang je..heehee) di Kota Damansara ini, tuan empunya badan terus memperkenalkan diri. “Masuklah, saya Ujie”, katanya mesra sambil mempelawa penulis ke ruang tamu. Bersila di lantai sambil ‘ditemani’ empat beg yang mengandungi puluhan novel koleksinya.

Ujie atau nama sebenarnya Suzilah Zainuddin, 30, (Ini tetiba umur akak dapat diskaun dik. Akak dah 33, bukan 30) amat meminati aktiviti membaca buku apatah lagi jika buku tersebut berunsur triler.

“Mana tidaknya, sejak pandai membaca seawal usia empat tahun (Ye ke empat tahun? Terer betul aku, rasanya 5 tahun lah), jadi apa sahaja yang boleh baca, saya baca. Masa dulu, saya suka membaca novel kanak-kanak seperti kisah penyiasatan”, katanya juga sering meminjam novel penyiasatan di perpustakaan sekolah untuk mengisi masa lapang.

Ujie memberitahu bahawa tahun 2000 merupakan titik tolak minatnya kepada novel berunsur triler apabila saya membaca novel Ranggau karya Ramlee Awang Murshid.

“Selesai membaca novel tersebut, keinginan saya membuak-buak untuk membaca ‘air tangan’ penulis itu. Ranggau mengisahkan satu pembunuhan bersiri gadis yang sedang berlaku di Sabah dan kebanyakan mayat yang ditemui polis telah hilang mata dan buah pinggang.

“Persoalan mula timbul, adakah pembunuhan tersebut dilakukan manusia atau makhluk halus yang dikenali sebagai Ranggau? Di situlah timbulnya pelbagai persoalan yang lain”, katanya sambil tersenyum.

Menurutnya, dek terpukau kisah Ranggau, dia mula mencari semula novel-novel lama yang dihasilkan Ramlee Awang Murshid.

“Saya mencari novel Ramlee di toko buku serata tempat. Saya turut berkongsi minat dengan rakan sekerja untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai novel triler.

“Jika terdapat novel triler yang baru keluar di pasaran, kami akan mengingati satu sama lain agar tidak terlepas memiliknya”, katanya.

BERMATA EMPAT

Anak bongsu daripada empat beradik (Ini lagi satu salah fakta. I bongsu dua beradik u..bukannya empat) ini berkata, matanya rabun juga disebabkan aktiviti membaca. Ketika zaman persekolahannya, sebaik tamat kelas agama, dia tidak pernah lekang (Poyo! Bukannya hari-hari baca buku pun. Ada gak hari-hari yang main getah ngan baling selipar.. Heehee) daripada membaca buku walaupun di dalam bilik yang suram cahayanya. Ini mengakibatkan dia terpaksa “bermata empat” sehingga kini. (Yang ni betul! Memang kegemaran saya dok baca buku kat tempat gelap waktu senja-senja. Amik ko rabun sekarang!)

Pernah suatu ketika Ujie terserempak dengan novelis kegemarannya, Ramlee di sebuah pusat membeli-belah.

“Dalam hati punyalah menjerit sebab tergamam melihatnya, namun saya segan untuk bergambar dengan beliau. Sempat melemparkan senyuman sahaja”, katanya tersipu malu. (Ptuiii!! Geli geleman aku tersipu malu.. terbahak-bahak adalah..hak hak)

Ujie mengagumi teknik penulisan dan penyampaian novelis itu sehingga membuatkannya ternanti-nanti kehadiran ‘buah tangan’ terbaru.

“Kalau anda pembaca novel Ramlee Awang Murshid, timbul satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata dalam diri pembaca itu.

“Selain itu, Ramlee juga tidak lupa menyelitkan perihal agama seperti tafsir al-Quran dan hadis serta sebagainya sekaligus memberi nilai tambah kepada setiap pembaca novelnya”, katanya.

Sehingga kini, Ujie memiliki lebih 50 novel berada dalam simpanan dan sekaligus menjadi koleksi kesayangannya.

“Kalau hendak dihitung, saya telah berhabis lebih RM1,000 untuk membeli novel tersebut. Hampir setiap novel yang dibeli berharga lebih kurang RM20 setiap satu, malah ada yang lebih daripada itu”, katanya yang menganggap novel yang dimilikinya menjadi ‘harta’ kesayangannya.

Ujie memastikan setiap koleksi buku yang ada dalam simpanannya akan dijaga dengan baik. Pernah terjadi, dia kehilangan novel kesayangannya yang dipinjam rakan, tetapi gagal dipulangkan.

Menurutnya, selepas daripada tragedi kehilangan novel yang dipinjam, beliau kini lebih berhati-hati untuk memberi pinjam novelnya.

“Jika ada yang ingin meminjam novel, saya mungkin gunakan sistem pinjaman di perpustakaan supaya mereka ingat tarikh yang perlu dihantar”, katanya.

GENG BORAK NOVEL

Peminat tegar novel triler itu akui terdapat ramai dalam kalangan rakannya di pejabat, meminati novel Ramlee Awang Murshid.

“Kami ada ‘geng’ di pejabat. Aktiviti biasa selepas membaca, kami akan berbincang dan masing-masing akan membuat ulasan tersendiri. (Ini aku musykil, bila masa aku cakap cenggini eh? Ermmm)

“Di situlah ada rasa tidak puas hati, komen mahupun pujian dikongsi. Ia menjadi aktiviti yang menyeronokkan untuk melarikan diri seketika daripada beban kerja di pejabat”, katanya.

Menurut Ujie, ada juga rakan yang menghadiahkan kepada saya novel triler dan ia merupakan hadiah begitu berharga baginya. Dia juga berhasrat untuk mempunyai perpustakaan mini apabila memiliki rumah sendiri pada masa akan datang.

“Saya ada menyimpan hasrat untuk menjadi seorang novelis (Haha.. Berangan dulu). Untuk permulaan mungkin saya perlu mengumpulkan material untuk dikembangkannya menjadi jalan cerita yang menarik”, katanya yang mula berjinak dalam bidang penulisan melalui blognya.

Menurutnya, blog Ujie Situ Sana Sini dicoret kisah kehidupannya dan cabaran yang diharunginya. Dia hanya berkongsi cerita di dalam blog jika ada sesuatu cerita yang menarik untuk dikongsi.

Ditanya budaya membaca di kalangan masyarakat, beliau berkata, alangkah ruginya jika seseorang itu tidak suka membaca.

“Dengan membaca, pengetahuan kita akan berkembang dan bertambah sekaligus memberi maklumat yang tidak terdapat di tempat lain”, katanya.

INFO

1. Untuk menjaga kualiti novel, jangan sesekali melipat helaian muka surat. Seeloknya tandakan dengan penanda buku.

2. Catat tarikh dan tempat pembelian untuk mengimbau kembali pada masa akan datang.

3. Keseluruhan novel karya Ramlee Awang Murshid terdapat dalam koleksinya.

4. Pernah ke Putrajaya semata-mata untuk mendapatkan novel triler.

5. Pernah memaksa beberapa kali saudaranya membaca novel triler, akhirnya saudaranya itu turut terjebak dengan novel genre itu.