Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Ini kisah pada 27 September, Isnin lepas.

Haha…Nak tergelak saya bila ada rakan yang beritahu “Eh, ko ke dalam Kosmo hari ni?” Saya pun tanya semula, “Dah kuar ke?“. Ketika itu, saya sedang mengikuti training. Saya tak tahu pun artikel tersebut akan keluar pada hari tersebut sebab wartawan Kosmo! yang mewawancara saya itu pernah cakap yang beliau akan beritahu saya sekiranya artikel tersebut disiarkan. Takpelah, mungkin dia sibuk.


Poyo! Haha

Yes uolsssss!! Muka mak terpampang di Kosmo! itteww di ruangan Rencana Utama. Walaupun gambar kecik, tapi tetap vangga! Haha..Terus saya SMS sanak saudara, kawan-kawan dan kakak saya soh dorang beli Kosmo! Ada yang tanya, “Kenapa, kisah kejayaan ko ke?“. Haha, takde maknanya. Bukan kisah kejayaan tapi semuanya gara-gara obsesi saya terhadap kopi! Saya pernah menulis entry tentang obsesi saya terhadap kopi di sini.


Rencana Utama Kosmo! pada 27 September 2010 – OBSESI KOPI

Bagaimana  semua ini bermula ya.. Sebab ada yang tanya macamana pulak saya boleh diinterview oleh Kosmo! ni? Hmm..Pada hari ketiga kita berpuasa (hari Ahad), saya mendapat satu panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Saya angkat dan beginilah lebih kurang perbualan kami:-

Pemanggil : Assalamualaikum, boleh bercakap dengan Cik Suzilah?

Saya : Ye, saya bercakap.

Pemanggil : Saya Faten, wartawan dari akhbar Kosmo! Saya nak interview Cik Suzilah la.

Saya : Ha? Pasal ape?

Pemanggil : Saya ada jumpa blog Cik Suzilah. Cik Suzilah pernah tulis entry tentang obses terhadap kopi.

Saya : Ooo..hahaha. Ok je, bila tu?

Pemanggil : Hari Selasa depan, di rumah Cik Suzilah.

Saya : Ok, nanti saya bagi alamat.

Begitulah lebih kurang. Selepas meletak telefon, baru saya terfikir. Ahh! Sudah, rumah saya tak ada kerusi meja. Maklumlah, rumah bujang. Lalu dengan cargasnya saya meminta pertolongan dari rakan saya, Roslyna untuk menumpang kasih di rumahnya. Jadi, pada hari Selasa tu, wartawan Kosmo!, Faten bersama seorang jurugambar datang mewawancara saya di rumah Roslyna. Tak pasal-pasal tuan rumah pon enterframe sekali. Hiks! Saya siap bawak kopi Hang Tuah dari rumah untuk dibancuh di rumah Roslyna. Walaupun penggambaran dijalankan ketika bulan puasa, lakonan kena mantap beb.

So, selepas bergambar-gambar, saya ditanya dengan macam-macam soalan bagaimana bermulanya obsesi saya terhadap kopi ini. Sesekali Faten bertanya juga kepada Roslyna yang bertentangan dengan saya iaitu tidak menyukai kopi. Akan tatapi, apa pasal sekeping je muka haku masuk sokkabar, sedangkan berposing bagai nak rak?? Ini boleh menimbulkan marah!! Haha, takdelah. Rencana Obsesi Kopi ni pun bukannya pasal saya sebenarnya. Intipati utamanya ialah tentang pengusaha syarikat DinKopi yang menceritakan jerih payah keluarga beliau dalam menghasilkan kopi. Saya pelakon tambahan je. Jadilah..Huhu

So, ada yang dah baca? Takpelah, saya tepek lagi sekali..

———————————————————-

RENCANA UTAMA

Jerih payah demi rasa hebat

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA



SETELAH lengkap mengenakan pakaian kemeja berlengan panjang yang dibutang pada hujung lengan dan lehernya, Baharudin Arshad mencapai pula cermin mata, topi, sarung tangan dan penutup hidung.

Pakaiannya sudah nampak segak untuk urusan pejabat. Namun, kesudahannya berbeza pula apabila penampilannya itu dipadankan dengan topi, penutup hidung dan sarung tangan.

“Inilah pakaian saya setiap hari ke kilang,” tutur pemilik dan pengusaha syarikat DinKopi Sdn. Bhd. itu kepada krew Kosmo! sambil menguntumkan senyuman. Sambutan mesra lelaki berusia 63 tahun itu belum menjawab mengenai gaya pemakaiannya itu setiap kali dia melangkah ke kilang kopi syarikatnya.

“Saya bukan ke kilang untuk duduk di pejabat tetapi bersama-sama dengan pekerja lain memproses kopi. Malah, saya sendiri yang akan melakukan kerja membancuh dan memasak kopi. Jika orang lain buat, saya takut rasa dan kualitinya jadi berbeza.

PROSES memasak kopi dilakukan sendiri oleh Baharudin bagi mengekalkan kualiti dan rasa kopi jenamanya.


“Pentingnya saya berpenampilan sebegini adalah kerana semasa proses membancuh dan memasak, air gula yang menggelegak akan terpercik. Jika terkena pada kulit, tentu akan melecur.

“Cabarannya bukan itu sahaja. Jika terlebih panggang pun, kopi boleh terbakar dan menyemburkan api berwarna hijau. Dalam keadaan tertentu, ada kebarangkalian insiden itu mengancam nyawa,” katanya mengenai kesukaran yang pernah dihadapi selama melibatkan diri dengan bijian gelap tersebut.

Anak sulung daripada 13 orang adik beradik itu menambah, api gas juga perlu sentiasa dijaga supaya tidak marak jika berlaku sebarang kerosakan pada perkakasan memanggang bijian kopi di kilang tersebut.

Sememangnya bagi peminat minuman itu, detik menikmati dan menghirup kopi yang pekat dan panas sememangnya begitu mengasyikkan. Meskipun menghargai aroma dan rasanya, masih ramai yang tidak tahu mengenai kepayahan cara pembuatan sebelum bijian kopi itu melalui proses pembungkusan.

Kepayahan proses


KOPI yang terlebih panggang akan menyebabkan ia terbakar dan menyemburkan api.

Tidak cukup dengan ‘set’ pakaian bertutup penuh sedemikian, Baharudin terpaksa berdepan dengan bahang kawah kopi ketika ia dipanggang dan dimasak. Bukan sahaja suhu tersebut merimaskan, dia dan para pekerjanya perlu pula membiasakan diri dengan bau pekat kopi yang meresap sehingga ke kerongkong.

Selepas kopi dimasak, asap yang berkepul-kepul memenuhi ruang kilang juga mungkin boleh menyebabkan seseorang yang tidak biasa kesesakan nafas lalu berasa pening atau mahu pitam.

“Saya sudah biasa dengan situasi macam ini. Iyalah, sejak berumur 13 tahun saya sudah membantu ayah memproses kopi. Kalau dulu lagi sukar kerana kopi diproses bukan menggunakan mesin tetapi dengan menggunakan bakaran kayu api.


BIJI kopi yang telah dimasak dan disejukkan perlu dileraikan sebelum dimasukkan ke dalam mesin pemecah kopi.

“Bayangkan kalau begitu caranya, asap lebih banyak dan bahang yang dirasai juga jauh lebih kuat. Kayu juga sukar didapati ketika itu,” ceritanya.

Perniagaan kopi mula diusahakan ayahnya sejak tahun 1959 itu dengan dikenali sebagai ArshadKopi Sdn. Bhd.. Kini, Baharudin menyambung kepakaran warisan keluarga itu dengan nama DinKopi Sdn. Bhd..

Mengenai rutin pembuatannya, Baharudin memberitahu, biji kopi mentah perlu terlebih dahulu dipanggang selama 40 hingga 45 minit.

“Kita boleh tahu kopi itu masak apabila ia bertukar daripada warna coklat muda ke coklat kehitaman. Kopi yang masak juga akan mengeluarkan bunyi ‘klik-klik’ seakan-akan bunyi bertih jagung yang masak.

“Selepas dipanggang, kopi akan dimasukkan ke dalam mesin bancuh dan dimasak. Kemudian, bijirin gandum yang dipanggang bersama marjerin dan gula dicampurkan ke dalam kopi tersebut untuk menjadikan rasanya bertambah enak.


BAHARUDIN (kanan) dan isterinya, Maimon, banyak menghabiskan masa bersama menguruskan bisnes mereka.

“Proses memasaknya sama dengan proses memanggang iaitu selama 40 sehingga 45 minit. Saya kena pastikan kopi betul-betul masak dan sebati jika tidak ia akan melekat-lekat dan menyukarkan proses yang seterusnya,” katanya.

Jelasnya, selepas kopi dimasak ia akan disejukkan menggunakan kipas besar. Tujuannya untuk menjadikan kopi ringan, rangup dan senang dileraikan. Selepas itu, kopi yang dimasak akan dimasukkan ke dalam mesin pemecah kopi. Jadi bongkah-bongkah kopi yang sebesar bola itu akan menjadi kecil seperti bertih jagung.


WARISAN unggul ArshadKopi kini diteruskan menggunakan jenama DinKopi di tangan Baharudin.

“Seterusnya, kopi akan dimasukkan ke dalam mesin pengisar. Di situ, kita boleh selaraskan sama ada untuk menghasilkan kopi kasar atau halus,” katanya.

Isteri Baharudin, Maimon Mijan, 56, selaku pengurus DinKopi Sdn. Bhd. memberitahu, suaminya paling gemar minum kopi ketika cuaca sejuk terutamanya pada waktu pagi dan malam.

Menurutnya, jika suaminya tidak minum secawan kopi sebelum bekerja, dia akan berasa lemah dan tidak bersemangat.

“Ramai yang kata kalau minum kopi hari-hari dalam jumlah yang banyak akan memberi kesan yang tidak baik tetapi sebenarnya tidak. Suami saya minum kopi setiap hari semenjak kecil sehinggalah sekarang.

“Walaupun begitu, dia tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis. Ini kerana, adunan membuat kopi ini adalah tradisional. Ia tidak dicampur dengan bahan-bahan lain seperti kopi 3 dalam 1,” kata Maimon yang turut membantu Baharudin di kilang setiap hari.


MAIMON (berdiri) sering memantau tugas para pekerja kilangnya.

Penggemar kopi

Sementara itu, bagi Suzilah Zainuddin, 32, harinya tidak akan sempurna tanpa menikmati secawan kopi O panas. Paling kurang pun anak bongsu daripada dua beradik itu akan minum dua hingga tiga cawan kopi setiap hari.

“Semuanya disebabkan pengaruh emak yang suka minum kopi dibuat dibancuh pekat dan manis. Bukan itu sahaja, emak saya juga melatih saya minum kopi sejak saya berusia tiga tahun.

“Saya juga dibekalkan minuman kopi setiap kali ke sekolah. Mungkin disebabkan itu saya jadi ketagih. Malah, saya akan bawa bekalan kopi apabila masuk asrama dan jika pergi bercuti.

“Kalau tidak minum jadi lemah dan tidak bermaya. Tetapi apabila minum serta-merta saya menjadi bertenaga dan kurang mengantuk. Kopi juga membantu saya berfikir dengan cepat,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu mengenai obsesnya terhadap kopi.

Jelas Suzilah, dia hanya menggemari kopi buatan ibunya dan air tangannya sendiri.

“Mak dan saya kalau buat kopi mesti pekat dan manis. Pernah kawan saya minum beritahu kopi yang saya buat untuk satu cawan boleh dibahagikan pada dua cawan,” katanya yang boleh minum pelbagai jenis kopi sama ada kopi ubat mahupun kopi campuran.

SUZILAH (berdiri) cuba ‘mempengaruhi’ rakan baiknya, Roslyna, untuk meminati minuman kopi.


Berlainan pula dengan rakan Suzilah, Roslyna Ahmad Radzuan, 32. Menurutnya, dia akan menolak terus jika diberi minuman berkafein seperti kopi.

“Saya akan pening jika minum minuman berkafein. Pernah dulu masa mula bekerja dan balik lewat, rakan-rakan mengajak saya minum di gerai dan membuat pesanan air kopi. Saya yang cuba minum ketika itu terus merasa pening,” imbasnya.

Tetapi Roslyna mengakui, minuman kopi juga memberi kesan yang baik.

“Suami saya ada asma tetapi tidak terlalu teruk. Pernah terjadi, ubat asma dia habis. Kebetulan pula ketika itu dia mandi pada waktu malam. Akibatnya, dia mengalami sesak nafas.

“Kebetulan ketika itu saya tengah membancuh kopi untuk suami. Selepas dia minum, sesak nafasnya semakin berkurangan,” kata Roslyna.

One Comment

  1. pzah
    11:02 pm on October 21st, 2010

    eh3 ptot la sy mcm penah nmpk. wlaupun pic tu kecik tp msih bleh knal that is ur face..n kebetulan plak terjumpa ur blog arini. hehe.