Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

[youtube]http://www.youtube.com/watch?v=wuSOv7mRkyc[/youtube]

Artikel ini dipetik daripada Utusan Online.

BICARA AGAMA

Kelebihan perlindungan Takaful

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Kelahiran banyak penyedia Sistem Kewangan Islam sejak kebelakangan ini memberi nafas baru kepada masyarakat Malaysia terutamanya kepada umat Islam untuk menikmati sistem yang berteraskan wahyu yang telah lama diidamkan.

Inisiatif pihak Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan lesen-lesen penubuhan Perbankan Islam dan Takaful kepada beberapa institusi kewangan yang layak seharusnya dipuji dan dihargai kerana ia telah memudahkan masyarakat membuat pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan yang adil, telus dan efisien.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi ‘Amru Jarir bin Abdullah r.a. yang memuji tindakan sedemikian rupa di mana mafhumnya berbunyi: Barang siapa yang menunjukkan (mempermudahkan sesuatu urusan) perkara kebaikan, maka baginya pahala dan pahala sesiapa yang beramal dengannya selepas itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya. (riwayat Muslim)

Jika sebelum ini, umat Islam tidak mempunyai pilihan malah terpaksa menerima sistem yang bercampur-baur dengan sistem yang tidak senada dengan Islam.

Keadaan ini mewujudkan kegelisahan dan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam. Namun kini, alhamdulillah, kemunculan Sistem Kewangan Islam dengan pelbagai inovasi seolah-olah menjadi ‘penyelamat’ kepada umat manusia daripada terus-menerus dibelenggu oleh sistem yang hanya meletakkan keuntungan duniawi semata-mata.

Malangnya, ada juga sesetengah pihak yang masih berat hati untuk turut serta menyokong dan melibatkan diri dalam memajukan sistem Islam ini dengan mencipta seribu satu alasan.

Malah, ada juga suatu golongan yang cuba untuk memburukkan imej Sistem Kewangan Islam ini dengan cubaan-cubaan halus bagi melumpuhkan usaha murni ini.

Kepada golongan tersebut, diperingatkan satu firman Allah yang bermaksud: Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. (Ibrahim: 3)

Sebagaimana yang dimaklumi, institusi Takaful sebagai contohnya, adalah merupakan Institusi Perlindungan (Insurans) yang berteraskan prinsip Islam.

Institusi ini selayaknya disokong dengan bersungguh-sungguh kerana ia merupakan suatu sistem yang menjamin keadilan dan kesejahteraan kepada ummah.

Perlindungan menerusi sistem takaful mempunyai kelebihan yang tidak boleh disangkal lagi berbanding dengan sistem perlindungan konvensional. Di bawah sistem perlindungan takaful para peserta yang menyertai mana-mana-mana pelan perlindungan diprogramkan untuk sama-sama mempraktikkan konsep tolong-menolong yang diredai Allah untuk sama-sama meringankan beban rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan.

Semangat ini akan melahirkan masyarakat yang tidak mementingkan diri sendiri, tidak sombong malah mereka akan sentiasa prihatin kepada persekitaran mereka.

Islam sangat menggalakkan umatnya agar tolong menolong dalam perkara kebaikan seperti yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat 2 surah al-Maidah, maksudnya: … hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan

Sistem takaful juga bebas dari unsur-unsur gharar (syubhat), riba dan juga maisir (judi). Tiadanya unsur gharar secara mudahnya memberi maksud bahawa sistem takaful adalah satu sistem yang telus , tidak menyembunyikan fakta dan tidak mengamalkan seperti pepatah Melayu “ada udang di sebalik batu”.

Di antara nilai negatif di sebalik unsur riba adalah mengambil kesempatan, menindas golongan yang dalam kesusahan dan mengeksploitasi untuk kepentingan sendiri. Oleh itu, tidak hairan apabila kita melihat pengamal sistem yang berteraskan riba ini mereka hanya mementingkan diri mereka sendiri, sanggup menindas orang lain , sentiasa mencari jalan untuk mengumpulkan kekayaan sendiri dan lebih dahsyat lagi tiada perasaan belas kasihan dalam diri mereka.

Hal ini sebaliknya berlaku, dalam sistem Takaful yang tidak mengamalkan riba, nilai-nilai tanggungjawab bersama, tolong menolong dan menjaga kemaslahatan umum menjadi keutamaan.

Begitu juga dengan unsur maisir. Unsur ini menjadikan pengamalnya tamak dan rakus tanpa memikirkan hak dan kepentingan orang lain. Sistem Takaful yang tiada unsur ini sebaliknya mementingkan semangat persaudaraan dan kepentingan bersama sebagai satu teras yang menunjangi aktivitinya.

Menerusi sistem Takaful seseorang peserta itu juga dapat melakukan amalan yang sangat terpuji dalam Islam iaitu dapat menunaikan tanggungjawab sosialnya menerusi amalan tabarru’ (derma).

Dalam sistem takaful setiap peserta akan memperuntukkan sebahagian atau semua daripada sumbangannya untuk didermakan bagi membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah.

Derma dalam sistem takaful ini adalah derma kelas pertama. Ini kerana menerusi sistem ini seseorang peserta dapat melakukan derma dengan ikhlas sebagaimana derma yang dituntut oleh Islam.

Ia seperti yang digambarkan dalam sabda baginda daripada Abi Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w baginda bersabda, Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada sebarang naungan melainkan naungan Allah, pemimpin yang adil, pemuda yang hidup dalam ibadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang digoda oleh wanita yang berkedudukan dan cantik lalu dia berkata sesungguhnya aku takut kepada Allaah dan seorang lelaki yang melakukan sedekah secara tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanannya dan seorang lelaki yang mengingati Allah secara bersendirian lalu bergelinangan air matanya. (Muttafaqun ‘alaih)

Namun perlu ditegaskan keistimewaan konsep ini adalah ia tidak hanya bermanfaat kepada orang Islam semata-mata. Sebaliknya, ia turut memberi kebaikan kepada semua peserta tanpa mengira pegangan agama.

Sistem takaful juga menyediakan peluang kepada masyarakat untuk memainkan peranan sebagai pendakwah yang berusaha mengembangkan produk muamalat Islam dengan menyertai dan menyokong sistem ini.

Ini kerana takaful adalah alternatif kepada sistem insurans konvensional sebagaimana yang disimpulkan oleh Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Islam Di Malaysia 1983.

Malah masyarakat juga berpeluang melakukan jihad menentang sistem jahiliah (sistem perlindungan konvensional) yang telah difatwakan haram menurut Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1972.

Pada masa yang sama apabila menyertai sistem yang berteraskan sistem Islam ini sebenarnya ia memberi peluang untuk beribadat yang merupakan satu menifestasi pengabdian, kepatuhan dan ketundukan kepada perintah Allah yang memerintahkannya supaya melakukan makruf dan meninggalkan mungkar sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 25.

Kesimpulannya, sudah tiba masanya untuk kita melibatkan diri dan bekerjasama untuk memartabatkan sistem takaful ini.

Sokongan padu diperlukan dari semua pihak agar hasrat murni untuk memerdekakan umat manusia daripada terus berada di bawah cengkaman sistem yang bersifat duniawi semata-mata kepada sistem yang boleh membawa kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.

Kini dengan adanya kemudahan kewangan Islam seperti perbankan dan takaful di pasaran yang ternyata lebih baik dan lebih menjamin kemaslahatan, maka ianya bukan lagi menjadi pilihan yang lebih baik malah, ia telah menjadi satu tuntutan atau kewajipan untuk memilih kemudahan kewangan Islam ini.