Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

4 hari lepas punye cerita, baru sibuk nak blog.  Hehe, ape nak buat. Busy memanjang..Seperti tahun-tahun lepas, saya dapat lagi tiket ke AJL untuk tahun ni. 2 tiket VIP. Tahun ni saya ke AJL berdua dengan Nadia.

ajl-2010-048

ajl-2010-056
Cantik kad jemputan yang berkonsepkan Origami

Kami bergerak dari rumah lebih kurang pukul 6 petang dan sampai ke Bukit Jalil hampir waktu Maghrib. Oleh kerana hikmat menahan kentut telah mencapai tahap dewa (sebab dah siap-siap amik wudhuk dan siap bermekap kat rumah), masuk je waktu Maghrib, kami solat dulu. Duniawi-duniawi, jugak. Akhirat jangan dilupa. At least kalo stadium kena bom, kami mati dalam iman. Ahaks..

ajl-2010-042
Dalam keta sambil menahan kentut

Lepas solat, kami berjalan kaki ke Stadium Putra. Jauh gak nak kena jalan sebab kami park kereta di Stadium Nasional. Sampai sahaja di hadapan Stadium Putra, punyelah ramai umat manusia tengah berebut nak masuk. Dengan para artis tengah sibuk berjalan dan diinterview di red carpet. Peminat-peminat pulak sibuk nak amik gambar artis. Setelah berkepam ketiak dan bergesel-gesel antara satu sama lain, saya dan Nadia berjaya meloloskan diri ke dalam stadium.

ajl-2010-061
Punyelah ramai umat manusia

ajl-2010-059
Bersedia untuk bergasak-gasak masuk stadium

Tiket VIP kami bukanlah tiket VIP di kawasan ARENA (tempat para artis duduk) tetapi VIP Aras 3. Agak selesa dan betul-betul menghadap pentas. Mujur juga tak duduk di ARENA sebab punyelah padat sampai krew-krew TV3 terpaksa tambah kerusi untuk mereka. Tak pasti sama ada, ada mereka-mereka yg mengelat masuk ke ARENA walaupun takde tiket.

ajl-2010-079
Macam ulat. Kalau seramai inilah yang tengok Akademi Al-Quran kan bagus (termasuklah saye..huhu)

Kalau nak diikutkan logik, sepatutnya pihak TV3 tak bolehlah cetak tiket VIP ARENA lebih daripada kapasiti dewan. Serupa jugak dengan tiket VIP untuk Aras 3. Sudahnya tangga di sebelah tempat duduk saya pun penuh dengan pemegang-pemegang tiket VIP (kononnya) tapi terpaksa duduk atas tangga je. Kesian..

ajl-2010-068
Sementara tunggu acara start, wajibla kita bercam-whore dulu

Tepat jam 9 malam, macam yang korang tengok kat TV, persembahan pembukaan oleh Siti dan Lan & The Typewriter memangla power nak nampos. Kalau dengar live kat dalam dewan, lagilah malatop. Meremang bulu roma. Begegar-gegar kerusi. Seterusnya persembahan daripada artis-artis yang bertanding hingga ke artis penutup iaitu Jeffrey Din & The Siglap Five, Jay Jay & Carefree, Search dan MUH. Masa kesilapan teknikal berlaku waktu Jay Jay membuat persembahan tu, cuak jugak. Ingatkan takde elektrik sebab keadaan dalam dewan jadi gelap. Maybe masa dorang menari-nari tu terpijak kabel kot.

ajl-2010-090
Siti dan Lan yang malatop

Sementara penonton di rumah menonton siaran iklan, kami di dalam stadium dihiburkan oleh Nabil (Raja Lawak), Sharifah Shahirah dan seorang lagi yang dipanggil Angah (tak kenal). Topik dorang ialah memperkatakan kategori-kategori lagu yang dipertandingkan (tahun ni kan takde kategori-kategori macam tahun-tahun lepas. So, semua bertanding sekali harung je..) Boleh tahanlah kelakar tapi Nabil tu laser gakla mulut dia. Kesian Sharifah Shahirah kena buli.

Camnila lebih kurang lawak dorang..

Segmen Pertama

Lepas persembahan pembukaan oleh Siti dan Lan & The Typewriter

Nabil : Ya, kategori lagu selepas ini ialah LAGU YANG ADA HURUF JAWI.

Angah : Cemana lagu tu?

Nabil : Mengapa bah kau berubah, mengapa bah?

Sharifah Shahirah : Mana huruf jawinya?

Nabil : Tu, mengapa bah (huruf “ba”)

Angah : Cuba ko tukar huruf “ya”

Nabil : Mengapa ya, kau beruya (suka-suka hati je “beruya”). mengapa ya..

Sabo jela..

Lagi satu segmen last sebelum keputusan diumumkan

SEGMEN TERAKHIR

Nabil : Tahun ni kita ada kategori LAGU KONTROVERSI

Sharifah Shahirah : Cuba nyanyi

Lagu ni dinyanyikan ikut rentak Wassini – Waheeda

Angah : Lu mana…..

Nabil : Wassini…

Angah : Lu dengan sapa…

Nabil : Wa dengan Akhil Hayy…

Lawak ok. Satu dewan gelak besar. Pastu terus dorang lari gi belakang pentas.

Siti antara yang menjadi juri malam tu tapi lepas Faizal Tahir habis buat persembahan je, Siti pun balik. Saya tau sebab nampak dia melintas kat bawah kitorang. Maybe dia nak celebrate birthday kot. Yelah, tepat pukul 12 kan dah masuk 11 Januari – tarikh lahir dia. Saya agak je. Huhu

ajl-2010-339
Sebelum blah, kenalah amik gamba dulu

Secara keseluruhan, saya sangat terhibur dengan persembahan AJL kali ni. Lepas je penyampaian hadiah, saya dan Nadia cepat-cepat keluar sebab takut jem. Bila sampai kat parking lot, tak jumpa kereta sebab tak ingat letak kat mana. Maklumlah, masa siang bila sampai, kereta tak banyak lagi. Bila dah malam, punyelah penuh kereta. Dekat setengah jam jugakla baru jumpa kereta. Mujur juga jammed tak lama. Akhirnya kami sampai ke rumah pukul 1 pagi. Ape punye anak dara daa…

Artikel ini dipetik daripada Utusan Online.

BICARA AGAMA

Kelebihan perlindungan Takaful

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Kelahiran banyak penyedia Sistem Kewangan Islam sejak kebelakangan ini memberi nafas baru kepada masyarakat Malaysia terutamanya kepada umat Islam untuk menikmati sistem yang berteraskan wahyu yang telah lama diidamkan.

Inisiatif pihak Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan lesen-lesen penubuhan Perbankan Islam dan Takaful kepada beberapa institusi kewangan yang layak seharusnya dipuji dan dihargai kerana ia telah memudahkan masyarakat membuat pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan yang adil, telus dan efisien.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi ‘Amru Jarir bin Abdullah r.a. yang memuji tindakan sedemikian rupa di mana mafhumnya berbunyi: Barang siapa yang menunjukkan (mempermudahkan sesuatu urusan) perkara kebaikan, maka baginya pahala dan pahala sesiapa yang beramal dengannya selepas itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya. (riwayat Muslim)

Jika sebelum ini, umat Islam tidak mempunyai pilihan malah terpaksa menerima sistem yang bercampur-baur dengan sistem yang tidak senada dengan Islam.

Keadaan ini mewujudkan kegelisahan dan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam. Namun kini, alhamdulillah, kemunculan Sistem Kewangan Islam dengan pelbagai inovasi seolah-olah menjadi ‘penyelamat’ kepada umat manusia daripada terus-menerus dibelenggu oleh sistem yang hanya meletakkan keuntungan duniawi semata-mata.

Malangnya, ada juga sesetengah pihak yang masih berat hati untuk turut serta menyokong dan melibatkan diri dalam memajukan sistem Islam ini dengan mencipta seribu satu alasan.

Malah, ada juga suatu golongan yang cuba untuk memburukkan imej Sistem Kewangan Islam ini dengan cubaan-cubaan halus bagi melumpuhkan usaha murni ini.

Kepada golongan tersebut, diperingatkan satu firman Allah yang bermaksud: Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. (Ibrahim: 3)

Sebagaimana yang dimaklumi, institusi Takaful sebagai contohnya, adalah merupakan Institusi Perlindungan (Insurans) yang berteraskan prinsip Islam.

Institusi ini selayaknya disokong dengan bersungguh-sungguh kerana ia merupakan suatu sistem yang menjamin keadilan dan kesejahteraan kepada ummah.

Perlindungan menerusi sistem takaful mempunyai kelebihan yang tidak boleh disangkal lagi berbanding dengan sistem perlindungan konvensional. Di bawah sistem perlindungan takaful para peserta yang menyertai mana-mana-mana pelan perlindungan diprogramkan untuk sama-sama mempraktikkan konsep tolong-menolong yang diredai Allah untuk sama-sama meringankan beban rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan.

Semangat ini akan melahirkan masyarakat yang tidak mementingkan diri sendiri, tidak sombong malah mereka akan sentiasa prihatin kepada persekitaran mereka.

Islam sangat menggalakkan umatnya agar tolong menolong dalam perkara kebaikan seperti yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat 2 surah al-Maidah, maksudnya: … hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan

Sistem takaful juga bebas dari unsur-unsur gharar (syubhat), riba dan juga maisir (judi). Tiadanya unsur gharar secara mudahnya memberi maksud bahawa sistem takaful adalah satu sistem yang telus , tidak menyembunyikan fakta dan tidak mengamalkan seperti pepatah Melayu “ada udang di sebalik batu”.

Di antara nilai negatif di sebalik unsur riba adalah mengambil kesempatan, menindas golongan yang dalam kesusahan dan mengeksploitasi untuk kepentingan sendiri. Oleh itu, tidak hairan apabila kita melihat pengamal sistem yang berteraskan riba ini mereka hanya mementingkan diri mereka sendiri, sanggup menindas orang lain , sentiasa mencari jalan untuk mengumpulkan kekayaan sendiri dan lebih dahsyat lagi tiada perasaan belas kasihan dalam diri mereka.

Hal ini sebaliknya berlaku, dalam sistem Takaful yang tidak mengamalkan riba, nilai-nilai tanggungjawab bersama, tolong menolong dan menjaga kemaslahatan umum menjadi keutamaan.

Begitu juga dengan unsur maisir. Unsur ini menjadikan pengamalnya tamak dan rakus tanpa memikirkan hak dan kepentingan orang lain. Sistem Takaful yang tiada unsur ini sebaliknya mementingkan semangat persaudaraan dan kepentingan bersama sebagai satu teras yang menunjangi aktivitinya.

Menerusi sistem Takaful seseorang peserta itu juga dapat melakukan amalan yang sangat terpuji dalam Islam iaitu dapat menunaikan tanggungjawab sosialnya menerusi amalan tabarru’ (derma).

Dalam sistem takaful setiap peserta akan memperuntukkan sebahagian atau semua daripada sumbangannya untuk didermakan bagi membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah.

Derma dalam sistem takaful ini adalah derma kelas pertama. Ini kerana menerusi sistem ini seseorang peserta dapat melakukan derma dengan ikhlas sebagaimana derma yang dituntut oleh Islam.

Ia seperti yang digambarkan dalam sabda baginda daripada Abi Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w baginda bersabda, Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada sebarang naungan melainkan naungan Allah, pemimpin yang adil, pemuda yang hidup dalam ibadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang digoda oleh wanita yang berkedudukan dan cantik lalu dia berkata sesungguhnya aku takut kepada Allaah dan seorang lelaki yang melakukan sedekah secara tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanannya dan seorang lelaki yang mengingati Allah secara bersendirian lalu bergelinangan air matanya. (Muttafaqun ‘alaih)

Namun perlu ditegaskan keistimewaan konsep ini adalah ia tidak hanya bermanfaat kepada orang Islam semata-mata. Sebaliknya, ia turut memberi kebaikan kepada semua peserta tanpa mengira pegangan agama.

Sistem takaful juga menyediakan peluang kepada masyarakat untuk memainkan peranan sebagai pendakwah yang berusaha mengembangkan produk muamalat Islam dengan menyertai dan menyokong sistem ini.

Ini kerana takaful adalah alternatif kepada sistem insurans konvensional sebagaimana yang disimpulkan oleh Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Islam Di Malaysia 1983.

Malah masyarakat juga berpeluang melakukan jihad menentang sistem jahiliah (sistem perlindungan konvensional) yang telah difatwakan haram menurut Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1972.

Pada masa yang sama apabila menyertai sistem yang berteraskan sistem Islam ini sebenarnya ia memberi peluang untuk beribadat yang merupakan satu menifestasi pengabdian, kepatuhan dan ketundukan kepada perintah Allah yang memerintahkannya supaya melakukan makruf dan meninggalkan mungkar sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 25.

Kesimpulannya, sudah tiba masanya untuk kita melibatkan diri dan bekerjasama untuk memartabatkan sistem takaful ini.

Sokongan padu diperlukan dari semua pihak agar hasrat murni untuk memerdekakan umat manusia daripada terus berada di bawah cengkaman sistem yang bersifat duniawi semata-mata kepada sistem yang boleh membawa kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.

Kini dengan adanya kemudahan kewangan Islam seperti perbankan dan takaful di pasaran yang ternyata lebih baik dan lebih menjamin kemaslahatan, maka ianya bukan lagi menjadi pilihan yang lebih baik malah, ia telah menjadi satu tuntutan atau kewajipan untuk memilih kemudahan kewangan Islam ini.