Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Assalamualaikum. Wah! Meriah hari raya uols kan? Saya sekarang kat Kg. Kuantan Kuala Selangor. Macam biasalah, lepas solat hari raya kat Sungai Choh, ziarah kubur abah, terus je balik Kuala Selangor. Selalunya bila balik Kuala Selangor saya akan ikut jalan Rawang – Batang Berjuntai – Kuala Selangor tapi tahun ni saje saya bawak mak jalan-jalan ikut lebuhraya baru LATAR yang bermula dari Templer Park dan keluar di exit Kuala Selangor.

Perjalanan lancar je, tambahan pula tak payah bayar lagi. Masih percuma. Start bayar mulai hari ini 1 September. Tataula pulak bape hengget. Perjalanan yang lancar tadi mula tersekat-sekat bila dah keluar dari lebuhraya. Silap saya tak ikut simpang ke Ijok/Bestari Jaya. Saya pegi ikut simpang ke Kuala Selangor. Sudahnya perjalanan yang sepatutnya dalam 30-40 minit menjadi sejam lebih. Sabo jela.. Dengar cerita, sampai hari ni Kuala Selangor masih jem. So, kitorang duduk kat umah ajelah tak pegi mane-mane pun.

Sekadar gambar hiasan : Raya pertama dalam perjalanan gi masjid nak solat raya

Eh, saya ni nak cerita pasal wasiat dah melalut cerita pasal raya pulak. Sebenarnya cerita dia macam ni. Dalam pertengahan bulan 7 aritu, kawan mak saya (saya dah anggap macam makcik sendiri) meninggal dunia akibat penyakit kencing manis. Selama ni dia makan ubat yang doktor bagi tetapi bila ada orang promotekan jus Monavie kat dia, dia cakap kat mak saya yang dia tak nak makan ubat doktor dah. Nak minum jus tu aje. Sudahnya, bacaan kencing manis dia naik sampai 19!

Saya ada tulis dalam status Facebook saya pasal ni dan dapat banyak respon jugak daripada kawan- kawan. So, saya tak cakap jus Monavie tu sebagai penyebab dia meninggal sebab mungkin memang dah sampai ajal dia. Tapi lepas ni kalau mak ayah kita nak minum air yang bukan- bukan, better cek dulu. Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Gambar hiasan lagi : Raya kedua. Belakang saya tu sungai Kuala Selangor. Mujur buaya tak naik masa ni

Eh, melalut lagi. Ok, sambung balik. Selalunya lepas solat raya, rumah makcik tu memang jadi first pit stop saya dan mak untuk beraya. Saya ingatkan tahun ni tak dapatlah nak beraya rumah dia sebab dia dah takde, rupanya Alhamdulillah adik dia balik beraya kat rumah arwah tu. So, bila nampak ade orang kat rumah makcik tu, saya dan mak pun pegilah beraya. Adik makcik tu pun ceritalah macamana dia menguruskan aset-aset yang makcik tu tinggalkan. Bukanlah aset berjuta-juta, cuma duit dalam akaun ASBnya aje. Itupun bukannya banyak, dalam sepuluh ribu lebih aje.

Ok, perhatian penting!!! Tahukah anda bahawa sekiranya duit dalam ASB kita ada lebih daripada 10 ribu dan kita tidak mempunyai wasiat, apabila kita meninggal dunia, urusan duit ASB tersebut akan diserahkan kepada Amanah Raya Berhad (ARB). Untuk membolehkan duit tersebut diserahkan kepada waris yang berhak, waris kita dikehendaki menuntutnya melalui mahkamah syariah, angkat sumpah, lantik pentadbir dan pelbagai lagi urusan yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun. Oh, please..10 ribu je kot. Ye, memang 10 ribu tapi itulah proses yang perlu dilalui.

Menurut adik makcik tu, duit ASB yang ada dalam akaun kakaknya cuma RM10,091. Tetapi 91 hengget itulah yang menyebabkan duit tersebut stuck di Amanah Raya dan tidak dapat diuruskan selagi semua waris faraid makcik tersebut tidak bersetuju untuk melantik pentadbir. Mereka iaitu waris faraid yang berhak juga dikehendaki menyerahkan dokumen-dokumen seperti salinan kad pengenalan, salinan surat mati (sekiranya terdapat waris yang telah meninggal dunia) dan banyak lagilah dokumen yang bila saya dengar pun rasa macam sesak napas!

Menurut adik makcik tu lagi, surat mati mak ayah dorang dah lama takde. Dah lama hilang. Hah! Yang tu pun satu hal. Kena pulak buat surat akuan lepas tu kena angkat sumpah yang menyatakan salinan surat mati tu dah hilang. Lepas tu, semua waris faraid kena pegi pulak mahkamah syariah bersama-sama untuk settlekan benda tu. Hello! Lagi sekali ye.. 10 ribu je kot.. Tapi tulah, undang-undang. Adik makcik tu cerita, orang ASB tu ada bagitau, kalau duit dalam akaun makcik tu tak lebih daripada RM10,000, memang dorang boleh tolong settlekan dan serahkan terus duit tu kepada waris terdekat tetapi disebabkan ada lebihan 91 hengget tu, semua benda jadi susah. Apa pon tak boleh! Bak kata Kumpulan Jambu.. Saya rasa korang yang baca ni pun mesti rasa penat kan?

Gambar hiasan last.. Jangan marah arrr :  Raya ketiga. Bawak warga emas iaitu mak dan makcik saya beraya ke rumah sepupu sepapat dorang

So, please..please..please… Saya menyeru lagi sekali, TOLONGLAH TULIS WASIAT! Bukannya mahal sangat. Penat tau saya sebagai ejen Perancang Harta Pusaka As-Salihin ni nak mendidik orang Melayu kita ni soh buat wasiat. Bila saya bagitau client pasal wasiat ni, dorang jawab “Eh awak ni. Doakan saya mati ye?”. Boleh? Ke situ pulak dia.

Bukannya kita tak pernah baca pasal Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin, Allayarham Tan Sri Syed Kechik, Allayarham Datuk Sosilawati dan berbagai-bagai lagi kes yang masih belum selesai akibat takde perancangan harta pusaka yang betul dan betapa susahnya kalau takde wasiat ni. Sampai sekarang banyak lagi harta dorang yang terbeku. Lepas tu pulak bergaduh-gaduh sesama sendiri. Kan dah merugikan orang Islam tu. Kalau waris yang ditinggalkan tu ada duit sendiri, ada harta sendiri takpela jugak. Dibuatnya kalau jenis yang memang bergantung 100% kepada suami, suami meninggal, ternganga.. Apa nak dikata? Anak-anak masih nak dihantar ke sekolah. Kain baju nak jugak diganti. Dapur nak juga berasap. Hmm, malaslah nak cakap banyak. Kita boleh pikir sendiri la kan..

Ok, penat dah membebel. Jumpa lagi di lain siaran. Adios abestos… Daaa…

Suzilah Zainuddin
Perancang Harta Pusaka As-Salihin
019-388 9306
ujie [at] ujie [dot] com

 

Artikel ini dipetik dari laman web DDFK

1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.

2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.

3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.

4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.

6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

16. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.

18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.

20. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.

21. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.

22. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.

23. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.

24. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

25. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.

27. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.

28. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.

29. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.

30. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.

31. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.

32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.

33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.

34. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.

35. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.

36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.

37. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.

38. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.

39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

40. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

41. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.

42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

43. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.

44. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

45. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

46. Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.

47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.

48. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

49. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

50. Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

51. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.

52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.

53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.

54. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

55. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

56. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

57. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.

58. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya Kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.

59. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya Kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.

Oleh: Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah