Kepada peminat-peminat Ramlee Awang Murshid…nah, baca ni..Dipetik dari Kosmo! Online
—————————————————————-
Azimat Hidup Ramlee
Bergelar isteri Ramlee Awang, Dayang Aminah menjadi saksi kepada jatuh dan bangun penulis novelis negara ini.
DALAM himpunan karya suaminya seperti Adam, Tombiruo, Ranggau, Rahsia Perindu, Mandatori, Satu Janji, Semangat Hutan, Bagaikan Puteri, Hatiku Di Harajuku, Cinta Sang Ratu, Ungu Karmila, Hijab Sang Pencipta serta karya-karya terdahulu, Dayang Aminah Datuk Aliudin, 44, memilih Mandatori dan Satu Janji sebagai karya yang paling mengesankan jiwanya.
Tiada alasan konkrit kenapa dia memilih karya-karya itu. Tetapi kata Dayang: “Karya-karya ini ada nilai tersendiri. Saya sukakan Mandatori kerana jalan cerita yang suspen dan Satu Janji pula membuatkan hati saya tersentuh dengan nilai sentimental yang diselitkan.”
Itu luahan seorang wanita, teman, kekasih dan isteri novelis genre thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid, 42, ketika ditanya tentang karya air tangan suaminya.
Kata Dayang, dia sekadar menjadi pemerhati menyaksikan zaman gelap, zaman perolehan dan zaman menuai yang dilalui Ramlee.
Daripada menggunakan mesin taip lama, kemudian beralih kepada skrin komputer, daripada menapak dari satu penerbitan ke satu lagi penerbitan dan pulang kehampaan, hati isteri mana yang tidak terhiris menyaksikan kepayahan suami melestarikan impian.
“Tentulah saya bangga dengan pencapaiannya sekarang. Awal-awal dulu saya rela berkorban, ikut dan mulakan hidup dari bawah bersamanya.
“Saya gembira dan seronok dengan pencapaian suami. Sebenarnya, saya tak tahu bahawa dia terkenal, sehinggalah satu ketika di Langkawi, Ramlee jatuh sakit. Kami ke hospital dan saya tunjukkan nama Ramlee, tak sangka doktor di hospital itu mengenalinya,” cerita Dayang ceria.
Jika pembaca dan peminat membayangkan Ramlee sebagai penulis yang kreatif, penuh imaginasi dan memberi nafas baru kepada penulisan novel tanah air, di mata Dayang pula, Ramlee seorang yang sangat berdisiplin dengan masa, sangat menyayangi keluarga dan seorang yang tidak pernah berhenti berdoa.
Sambil memuji suaminya yang rajin membantu kerja-kerja rumah, Dayang membongkar rahsia bahawa Ramlee sebenarnya seorang yang humor dan suka melawak ketika bercakap.
“Ramlee yang saya kenal juga bukan seorang yang mudah putus asa. Setiap kali karyanya ditolak syarikat penerbitan, memang dia akan marah dan kecewa, tetapi sekejap sahaja. Dua hingga tiga minggu atau sebulan dua kemudian, dia akan berusaha lagi. Cari syarikat lain dan menulis lagi,” ujar Dayang tertawa kecil mengenangkan telatah suaminya.
|
Mengajak Ramlee dan Dayang bercerita tentang nilai perkahwinan dan hubungan yang dibina sejak 19 tahun lalu, banyak sudah laluan berduri dan keladak hitam, pekat dan mual yang terpaksa mereka langkahi.
Tahun-tahun pertama menjadi anak rantau di Kuala Lumpur dengan meninggalkan kesenangan hidup di daerah kelahiran masing-masing di Sabah menjadi nostalgia yang mahal buat Ramlee.
Di Kuala Lumpur, hidup mereka bermula dengan ‘kosong’ tetapi hari ini, Ramlee sudah gah berdiri sebagai novelis yang disegani dan dikenali dengan genrenya yang tersendiri.
Daripada terpaksa bertukar dua tiket bas untuk ke pejabat setiap hari, kini pasangan bahagia itu boleh menarik nafas lega. Sekali dalam setahun selepas setiap kali wang royalti menyusup masuk ke dalam akaun suami, ada sahaja lokasi percutian di luar negara yang mereka lawati.
“Semasa mula-mula ditukarkan ke Kuala Lumpur, saya ingat lagi, rumah yang kami sewa dulu tak ada langsir, kami makan nasi guna pinggan kecil yang biasanya jadi alas cawan.
“Peliknya, isteri saya dapat terima keadaan hidup kami dengan sikap terbuka, padahal di Sabah hidupnya senang kerana bapanya bekas menteri. Dia tak pernah merungut, sebaliknya saya yang susah hati sebab memikirkan hidupnya susah.
“Saya pernah kesal kerana tinggalkan Sabah, pernah juga saya pergi kerja dengan duit sebanyak RM2 dalam poket saya. Pasal makan saya tak kisah, sebab selepas keluar membuat liputan, biasanya ada makanan dihidangkan,” katanya yang kini bertugas sebagai penerbit rancangan di RTM.
|
|
Menggelarkan Dayang Aminah sebagai azimat dalam hidupnya, Ramlee menyambung ceritanya. Disebabkan sikap matang dan tabah yang terpancar daripada wajah isteri, sebahagian daripada beban dan kesempitan yang dihadapi seakan-akan selesai.
“Kami sudah berbelas tahun menetap di Kuala Lumpur. Rasanya, saya lebih selesa di sini berbanding di Sabah. Hidup di Kuala Lumpur buka banyak ruang dan beri banyak pendedahan buat kami berdua.
“Bukan nak kata di Sabah tidak bagus tetapi tekanan hidup di sini memberi kami lebih banyak semangat. Selepas Aizuddin dilahirkan, kami sama-sama sambung belajar, saya di UKM dan Dayang pula di UiTM, kemudian sama-sama dinaikkan pangkat. Alhamdulillah, ini semua berkat kesabaran dan rahmat Allah,” ujar Ramlee yang mengecap keselesaan selepas novel-novelnya mula mendapat sambutan sekitar tahun 2000.
“Jenuh ditolak bermacam syarikat penerbitan, Alaf 21 muncul pada 1997. Barulah manuskrip pertama saya diterima, malangnya susah nak dapatkan pasaran sebab orang tak kenal saya.
“Selepas 10 tahun dan Satu Janji diterbitkan, novel Pei Pan pula menang Hadiah Sako. Kemudian, barulah orang kenal saya. Namun jualan dan royalti yang diterima masih tidak membanggakan. Sehinggalah saya menemui satu formula, saya tunaikan zakat dan selepas itulah rezeki saya dalam bidang penulisan semakin subur,” ujarnya.
Bercerita tentang novel, kata Ramlee, sebenarnya Dayang tidak arif tentang penulisan bahkan bukanlah pembaca tegar novel-novel tulisannya. Meskipun begitu, sebagai teman yang selalu ada di sisi, Dayang antara yang menjadi penyumbang idea terhadap jalan cerita karyanya.
“Kadang-kadang walaupun bukan idea major, pandangannya boleh diambil kira. Kalau tak menarik bagi pandangan dia, dia akan cakap,” tambah Ramlee.
Ramlee dan Dayang mengutip dan menyusun hidup dari satu tangga ke satu tangga.
Satu peringatan yang ditinggalkan Ramlee untuk semua ialah dalam perkahwinan, suami dan isteri adalah tangan kiri dan tangan kanan yang saling memerlukan. Suami isteri ialah rakan kaunseling terbaik, saling membuka diri untuk berkongsi dan menceritakan masalah.
Kata Ramlee juga, segala bakat dan kebolehan insan adalah milik Sang Pencipta. “Berhati-hatilah setiap kali kita ketawa kerana esok ada tangisan yang dikongsi bersama,” katanya.