Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Soalan : JIKA seorang lelaki dan wanita berzina, kemudian wanita itu mengandung dan mereka berkahwin, adakah sah nikah mereka ketika wanita itu mengandung anak zina? Adakah bayi itu menjadi anak susuan jika ibu menyusukannya dengan cukup syarat? Kemudian pasangan itu mendapat beberapa orang anak lagi, apakah mereka anak sah? Bagaimana hukum penamaan anak, pewarisan harta kepada semua anak itu.

Insan Prihatin

Jawapan : Sebelum menjawab persoalan, wajar jika dijelaskan terlebih dulu maksud anak tak sah taraf. Menurut Islam, anak tak sah taraf adalah anak yang lahir daripada hasil persetubuhan sebelum pernikahan dan bukan anak daripada persetubuhan salah sangka (wati syubhah).

Peruntukkan berkaitan anak tak sah taraf ini ada dalam undang-undang, contohnya Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 di bawah Seksyen 110 yang menetapkan: Jika seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan itu atau dalam tempoh empat bulan qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara lian atau kutukan menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah.

Perzinaan adalah antara dosa besar yang dijanjikan Allah dengan balasan azab seksa pada hari kiamat melainkan bagi mereka yang benar-benar bertaubat.

Firman Allah yang bermaksud, Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain daripada Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan jalan yang hak, dan tidak berzina; dan sesiapa yang melakukannya akan mendapat balasan dosanya; akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan; kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal baik maka orang itu akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah Al-Fuqan, ayat 68-70)

Oleh demikian, mereka yang melakukan zina adalah tidak layak mendapat nikmat nasab hasil daripada perzinaan yang dilakukan kerana Islam tidak memperakui perbuatan zina yang diharamkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, anak yang lahir daripada hamparan (yang sah) berhak disabitkan nasab keturunan dan penzina berhak dilontar batu.

Justeru, anak yang terhasil daripada perhubungan sebelum nikah adalah tergolong dalam anak yang tidak sah taraf walaupun ibu anak itu berkahwin dengan bapa anak itu dan anak berkenaan tidak boleh dibin atau dibinti dengan bapanya.

Nafkah bagi anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ibu kepada anak itu. Begitu juga dengan nasab keturunan bagi anak tak sah taraf adalah di sebelah ibu. Hak penjagaan anak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.

Ini juga sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 80 Akta Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 yang memperuntukkan Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tak sah taraf, jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, mahkamah boleh apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

Dan selanjutnya dalam peruntukkan Seksyen 85, akta yang sama memperuntukkan mengenai penjagaan anak tidak sah taraf adalah kepada ibu dan saudara mara ibu seperti berikut, penjagaan anak tidak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu .

Oleh demikian, isu berkaitan dengan anak susuan tidak wujud kerana anak tak sah taraf sememangnya nasab keturunan hanya di sebelah ibu. Anak tadi berhak kepada harta pusaka ibunya.

Justeru, amatlah dituntut supaya kita menjauhkan zina kerana ia akan membawa keruntuhan institusi kekeluargaan Islam sebagaimana ayat Al-Quran yang bermaksud: Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang jelek.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah.

Just nak share betapa pentingnya pengurusan wasiat..

Soalan : Kenapa saya perlu menyediakan dokumen wasiat ?

Jawapan : Kerana hakikatnya semua orang akan mati. Selepas kematian kita, semua harta yang tidak mempunyai penama seperti akaun simpanan dan semasa di bank, Amanah Saham Bumiputera, Akaun Lembaga Tabung Haji , tanah, rumah dan sebagainya akan dibekukan sehinggalah proses pentadbiran pusaka selesai.

Soalan : Berapa lamakah proses pentadbiran pusaka ini akan selesai dan bila pula waris-waris saya akan menerima harta saya yang terbeku di atas ?

Jawapan : Secara purata bagi kes si mati yang tidak mempunyai dokumen wasiat, proses pentadbiran pusaka mereka akan mengambil masa di antara 3 hingga 5 tahun. Walau bagaimanapun kami selalu juga terjumpa kes pentadbiran pusaka yang mengambil masa melebihi 15 tahun untuk diselesaikan. (Ada yang mencecah 50 tahun)

Soalan : Bagi si mati yang mempunyai dokumen wasiat, berapa lama pula tempoh pentadbiran pusaka akan berjalan ?

Jawapan : Secara purata, bagi kes si mati yang mempunyai dokumen wasiat pula, proses pentadbiran pusaka akan mengambil masa di antara 6 hingga 8 bulan sahaja.

Soalan : Di dalam tempoh waktu pentadbiran pusaka yang bertahun-tahun ini berjalan, apakah yang waris saya akan dapat ?

Jawapan : Waris-waris tidak akan mendapat apa-apa bahagian harta tuan kecuali harta yang mempunyai penamaan seperti KWSP, Takaful dan Insuran.

Soalan : Jadi, harta yang akan dibekukan hanyalah harta yang tidak mempunyai penamaan sahaja manakala harta yang mempunyai penamaan seperti di atas akan tetap diperolehi oleh penama saya ?

Jawapan : Ya. Harta yang terbeku memang harta yang tidak mempunyai penamaan sahaja. Walau bagaimanapun, bagi harta yang mempunyai penamaan seperti KWSP, Takaful dan Insuran, tuan perlu ingat bahawa penama yang dinyatakan hanyalah bertindak sebagai Wasi sahaja dan bukan tuan punya mutlak harta tersebut . Selepas mereka menerima harta-harta tersebut mereka perlu mengagihkannya semula kepada semua waris-waris mengikut Hukum Faraid.

Soalan : Jadi apa perlunya saya menyediakan dokumen wasiat ?

Jawapan : Dokumen wasiat akan mempercepatkan proses pentadbiran pusaka dan membolehkan waris-waris tuan mendapat bahagian mereka dengan cepat manakala kalau tanpa dokumen wasiat, waris-waris tuan perlu menunggu sehingga beberapa tahun sebelum mereka mendapat bahagian mereka. Pendek kata, nasib anak-anak dan waris-waris yang lain seperti pasangan kita akan lebih terbela dengan adanya dokumen wasiat.

Soalan : Apakah perbezaan ketara yang menyebabkan proses pusaka dengan dokumen wasiat berjalan lebih cepat dari proses pusaka tanpa dokumen wasiat ?

Jawapan : Perbezaan yang paling ketara ialah kewujudan WASI bagi kes dengan dokumen wasiat. Apabila seseorang meninggal dunia tanpa dokumen wasiat, perkara pertama yang perlu dilakukan di dalam pengurusan harta pusaka ialah semua waris perlu bermuafakat untuk melantik pentadbir harta pusaka. Di sinilah sebenarnya halangan terbesar berlaku. Semua waris-waris perlu muafakat siapa yang akan dilantik sebagai pentadbir dan mereka perlu hadir di dalam mesyuarat tersebut. Jika salah seorang waris tidak bersetuju dengan pentadbir cadangan, proses ini tidak dapat dimulakan. Berlainan dengan kes yang mempunyai dokumen wasiat. Ini kerana WASI telahpun dilantik dan beliau boleh memulakan proses pentadbiran pusaka.

Untuk maklumat lanjut, macam biasa, hubungi saya di talian 019-388 9306 atau email ujie@ujie.com.

Berkhidmat Untuk Harta Anda πŸ˜‰

Ujie