Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Jom kita tengok, apakebenda serangan jantung dan punca-puncanya. Seperti biasa, sumber adalah daripada wikipedia dan web-web kesihatan yang lain..

———————————————————————————–

Menurut wikipedia, jantung atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai heart (Latin, cor) merupakan organ berongga yang berfungsi mengepam darah melalui saluran darah dengan denyutan yang sekata yang berulang-ulang. Istilah kardium bermaksud berkaitan dengan jantung, berasal dari perkataan Greek kardia untuk “jantung”.

Penyakit jantung koronari tersenarai sebagai penyakit pembunuh nombor satu di dunia, dan dianggap ‘musuh nombor satu’ dalam kehidupan yang paling ditakuti. Menduduki tempat teratas, penyakit jantung bukan lagi menjadi pembunuh misteri. Paras kolesterol yang tinggi, diabetes, hipertensi, kegemukan, merokok (khas untuk Bakal Roomate), kurang melakukan senaman (untuk Bakal Roomate juga), faktor jantina, dan proses penuaan adalah antara faktor penyumbang kepada penyakit ini.

Justeru, isu-isu yang dikaitkan dengan penyakit ini lebih banyak berkisar kepada aspek pencegahan yang merangkumi gaya hidup sihat, pemakanan seimbang, senaman dan sebagainya. Namun, statistik kematian mengenai penyakit jantung tetap mencatatkan peningkatan yang membimbangkan.

Punca penyakit

Pakar Perunding Kardiologi, Hospital Pakar Puteri Johor Bahru, Dr. Yap Sau Peng, berkata pembentukan kolesterol dalam pembuluh darah jantung adalah penyumbang utama penyakit jantung koronari. Menurut beliau, proses pembentukan ini mengambil masa bertahun-tahun lamanya sehinggalah ‘gejalanya’ dialami. “Pembentukan kolesterol ini bermula sejak muda lagi, bukan apabila seseorang telah berusia”, katanya. Jantung terdiri daripada otot-otot jantung dan empat injap jantung. Organ ini memerlukan bekalan oksigen yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik.

Bekalan oksigen ini diperoleh dari pembuluh darah jantung yang juga dikenali sebagai arteri. Pembuluh darah jantung ini terletak pada permukaan jantung. Setiap individu mempunyai tiga pembuluh darah utama.

Penyakit jantung koronari juga dikenali sebagai “penyakit arteri koronari”. Perkataan koronari bermakna ‘mahkota’. Nama ini diambil sempena arteri yang mengelilingi jantung seperti mahkota. Pembuluh darah ini berfungsi membekalkan otot-otot jantung dengan oksigen dan zat makanan.

Seseorang boleh mendapat penyakit jantung koronari apabila satu atau lebih pembuluh darah ini menjadi sempit. Ini berlaku kerana pemendapan kolesterol dan pembentukan plak yang terdiri daripada kolesterol dan parut-parut tisu. Sel-sel yang meliputi kolesterol pada dinding pembuluh darah ini menjejaskan aliran darah ke jantung.

Tahukah Anda? Bekalan darah ke otot jantung tidak cukup kerana….

heart-attack

Dinding sebelah dalam saluran darah telah dipenuhi lemak. Akibatnya saluran darah menjadi sempit dan menyekat pengaliran darah ke jantung.

Gejala

Sakit dada atau dikenali sebagai angina pektoris. Sakit ini dialami pada bahagian tengah dada atau sebelah kiri dada. Kesakitan ini dialami dengan:

a. Seolah-olah ada cengkaman yang kuat pada dada
b. Berat pada dada
c. Senak dada
d. Sukar bernafas: sakit ini akan merebak ke leher dan bahagian lengan kiri. Ia selalu berlaku semasa aktiviti fizikal atau tekanan emosi. Tekanan emosi atau sebarang aktiviti boleh menyumbangkan masalah ini.

Sakit dada ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu:

  1. Stabil: mengalami sakit dada apabila melakukan aktiviti.
  2. Tidak stabil: mengalami sakit dada yang berulang-ulang dan berpanjangan. Sakit ini dialami sekalipun dengan melakukan aktiviti yang ringan atau semasa rehat.

Bagaimanapun, sesetengah pesakit diabetes atau warga tua tidak mengalami gejala ini. Sebaliknya, mereka mungkin mengalami:

a. Berpeluh-peluh
b. Rasa lemah badan
c. Sakit pada hulu hati
d. Pening kepala
e. Pengsan

Sekiranya gejala-gejala angina tidak stabil dibiarkan tanpa rawatan, pesakit boleh mendapat serangan jantung (penginfarkan miokardium).

Menurut Dr. Yap, 30 peratus pesakit yang mendapat serangan jantung meninggal dunia secara mengejut. Ini kerana berlaku penyumbatan 100 peratus pada pembuluh darah. Keadaan ini mengakibatkan elektrik jantung tidak stabil. Ketidakstabilan ini turut menghentikan denyutan jantung. Jantung yang bergetar ini tidak dapat berfungsinya dengan baik. Ini mengakibatkan seluruh badan tidak mendapat oksigen yang mencukupi. Sekiranya pesakit tidak mendapat rawatan dalam tempoh empat minit, risiko kematian adalah tinggi.

Bagaimanapun, keadaan yang dikenali sebagai pemfibrilan ventrikel ini boleh dibantu dengan mesin kejutan AT.

Diagnosis

Sehubungan antara kaedah yang digunakan untuk mendiagnos penyakit jantung ialah:

  • Ujian ECG: ujian ini untuk mereka yang diserang sakit jantung dan sesetengah pesakit yang mengalami angina tidak stabil
  • Ujian darah seperti enzim kardium dan troponin
  • Ujian tekanan pengisar injakan
  • Angiogram koronari.

Tiub kateter dimasukkan ke dalam sistem pembuluh darah jantung sama ada melalui di celah pangkal paha atau salur darah pada lengan. Prosedur ini biasanya mengambil masa selama setengah jam. Pewarna akan disuntik melalui kateter ini dan imej pembuluh darah jantung diambil bagi mendapatkan gambaran yang jelas untuk bahagian yang tersumbat. Namun, prosedur ini mempunyai risiko tersendiri seperti alahan pada pewarna, pembedahan kecemasan, angin ahmar, serangan jantung dan denyutan jantung tidak stabil.

Rawatan

Selepas angiogram dilakukan, doktor akan berbincang dengan pesakit dan keluarga mengenai pilihan rawatan terbaik berdasarkan keadaan pembuluh darah jantung seperti:

  • Ubat-ubatan
  • Pembedahan pintasan pembuluh darah jantung
  • Angioplasti koronari: kaedahnya sama seperti angiogram di mana kateter akan dimasukkan melalui saluran darah pangkal paha atau saluran darah di lengan.

Melalui kateter, satu dawai halus dimasukkan ke bahagian pembuluh darah yang tersumbat. Pada hujung kateter ini, terdapat belon. Belon akan dikembangkan untuk menolak plak yang menyumbat pembuluh darah. Rawatan ini semakin popular kerana ia tidak membabitkan pembedahan yang besar. Bagaimanapun, 30 peratus pesakit boleh mengalami penyempitan pembuluh darah semula. Bagi menangani masalah ini, besi gegelung (stent) yang dilapisi ubat-ubatan diperkenalkan. Bagaimanapun, kos rawatannya tiga kali lebih tinggi.

Sakit dada boleh disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit lain seperti pedih hulu hati, akibat pembalikan asid ke saluran pemakanan, sakit pada otot-otot dada dan pneumonia. Selain itu, ia mungkin ada kaitan dengan sakit tulang rusuk, pelbagai masalah jantung seperti radang selaput jantung, retak bahagian dalam permukaan pembuluh besar aorta dan sebagainya. Tekanan, penyakit batu karang atau batu di pundi hempedu dan kayap juga boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit dada.

————————————————————————————-

Oleh itu, sayangilah jantung anda!

Pheww!! Penatnya. Saya baru balik dari coti-coti Malaysia ni. Di mana? Jeng jeng jeng…

photo2132

photo2133
Kad tol

Ya, di sebuah pusat percutian di Pantai Timur. Tengok kad tol nih. Sorry, jakun sikit. Saya baru tau Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menggunakan kad tol macam ni. Baguslah. Menjimatkan penggunaan kertas. Serupa macam kad Touch n Go. Cuma, fungsi macam tiket tol yang biasa. Amik kad tu bila masuk lebuhraya dan bagi balik kad tu (dengan bayaran lah kan..) bila nak keluar dari lebuhraya. Sebelum ni saya ke Terengganu pada tahun lepas, menggunakan Smart Tag. Jadi, tataulah pulak kad tolnya macam ni. Eh, melalut citer pasal kad tol pulak kan..

Hari Pertama

Kami bertolak dari KL lebih kurang pukul 9.30 pagi. Kami? Ya, saya, Mama, Abah, adik-adik, makcik dan sepupu yang menyertai percutian ni. Dua buah kereta, lapan orang. Saya satu kereta bersama adik-adik  dan sepupu yang riuh rendah bercekau bertekak.

“Akak campak korang dari kereta ni kang”, marah saya.

Senyap………………………3 saat je, pastu bising balik. Budak-budak.

Setelah berhenti makan dan minum, buang segala yang patut dibuang, kami akhirnya sampai ke tempat percutian jam 2 petang. Lepas check in, kami makan bekal nasi dan rendang yang dah siap dibawa dari KL. Dah kenyang, saya paksa mata saya untuk tidur. Penat woo, drive sensorang. Pes taim nih. Drive 4 jam tanpa bergilir-gilir. Tapi, tak dapek. Baru nak terlelap, budak-budak cikenot tu bercekau lagi. Sabo jelah.

Eh, saya tak citer lagi ke, kat mana kitorang vercoti?? Ok, ok..kejap ha..

photo2058

Pandangan dari balkoni bilik kami

Dah dapat agak?

photo2064
The Legend Resort, Cherating

Ya, kami bercuti di Cherating sebenarnya. Abah dapat hadiah penginapan 3 hari 2 malam daripada Bossnya di The Legend Resort, Cherating. Tu yang gigih jugak pegi bercuti tu. Tambahan pulak cuti panjang CNY kan. Ni, kali kedua saya bercuti di The Legend ni. Kali pertama ketika menyertai treasure hunt yang dianjurkan oleh KUB.com masa saya bekerja di KUB dulu.

photo2102
3 orang cikenot yang tak boleh duduk diam

Untuk makan malam, kami makan di Restoran Ombak, lebih kurang 5km dari The Legend. Boleh tahan makanannya dan agak murah. Balik makan, apa lagi tido le..

Hari Kedua

Saya sibuk tanya kawan saya, Mie kat mana tempat best nak makan atau berjalan kat sini. Mie mencadangkan agar saya breakfast di Kedai Kopi Hai Peng di bandar Kemaman. Kedai kopi paling popular. Selepas buat satu pusingan di bandar Kemaman, tapi masih tak jumpa kedai kopi tu, saya pun tanya brader kat stesen minyak. Laa, kami dah lalu sebenarnya kawasan tu, tapi tak perasan. Akhirnya sampai jugaklah ke kedai kopi tu. Punyelah ramai orang. Bersusun. Tambahan pulak Hari Raya Cina. Dengan Cina-cina pun sibuk breakfast kat situ (dorang tak pergi beraya ke haa?).

Roti bakar kat situ memang mavellesss!! Rotinya lembut, seri kaya dia banyak dan tebal. Kopi pun sedap. Kiranya, kalau pegi Kemaman tu, restoran wajib singgah gitu..

photo2111

Wajib amik gambar ok..

photo2106
Abah dan adik-adik

photo2108

Ramai kan?

Selepas sarapan di Kemaman, kami menuju ke Kuala Terengganu pulak. Tempat dituju, biasalah. Pasar Besar Payang dan saya teringin nak bersolat di Masjid Kristal. Siapa-siapa yang pernah pergi ke Pasar Payang, mesti perasan pesanan khidmat masyarakat kat tangga Pasar Payang ni kan?

photo2115

BERSOPAN SANTUN MENGGUNAKAN TANGGA

photo2114

Sopan kan budak ni..Hiks!

Selepas dah puas membeli-belah di Pasar Payang, kami pun menuju ke Masjid Kristal. Siap tanya abang yang jual cincin permata kat situ, macamana nak ke Masjid Kristal.

“Adik gi kanang, kanang lagi. Jangang naik jembatang. Lalu bawoh”, kata brader tu.

Last-last Masjid Kristal ke mana, hape ke mana. Pulanglah kami kembali ke Cherating dengan perasaan hampa sebab tak jumpa jalan nak ke Masjid Kristal. Huhu. Lenkali la pergi lagi.

Dalam perjalanan balik ke hotel, sempat lagi kami singgah di pantai Marang untuk minum petang dan ambil angin. Sampai ke Kuala Kemaman pula, saya singgah membeli kepok lekor dan satar. Destinasi wajib kalau ke Terengganu. Ada satu kedai tu, motto dia, “DOK TRY DOK AHU”. Saya ingatkan huruf “T” tertanggal dari papan tanda tu. Rupanya memang cenggitu pesyen cakapnya dengan membawa maksud, TAK TRY (CUBA) TAK TAHU. Hee hee..

Oleh kerana dah makan kepok lekor dan satar, jadi saya skip makan malam. Lepas makan, tengok TV jap, tido. Maklumlah besoknya nak jalan jauh balik ke KL.

Hari Ketiga

Pagi-pagi lagi kami dah berniat nak berjakuzi dan bersauna. Memang disediakan percuma untuk para pelancong yang menginap di hotel tu. Dah free, guna jelah kan. Satu jakuzi, masuk 5 orang. 3 orang budak cikenot tu, sebok mandi kat swimming pool. Lepas dah berpeluh-peluh bersauna, kami pun sama mandi kat swimming pool. Sempat saya tanya kat Lifeguard di situ tentang kejadian lemas di pantai Cherating, semalamnya. Ada keluar berita Buletin Utama. Klik untuk berita dari Utusan Malaysia. Menurut brader tu, tiap-tiap tahun memang ada orang mati lemas kat kawasan yang sama. Akhir tahun dan awal tahun. Mesti ada! Lepas dah ada yang mati lemas untuk tahun tu, kiranya dah oklah. Macam makanan laut tu lah kiranya. Isk, khurafat je kan..Dah ajal..Erm..Ombak laut tu saya tengok kuat. Macamanalah budak-budak yang berkonvoi tu boleh terpikir nak mandi. Isk isk..

Lepas dah berkubang dalam swimming pool, kami bersiap-siap nak balik dan check out. Selepas check out, kami sekali lagi ke Kuala Kemaman. Kali ni bersarapan dan jugak nak beli kepok lekor dan satar untuk dibawa balik ke KL.

photo2101
Gong Xi Fa Cai

Kami bertolak dari sana lebih kurang pukul 1.30 petang dan sampai ke R & R Genting Sempah dalam pukul 5.30 petang. Saya henjut 120-140km/j. Yelah, kalau bawak terkesip-kesip saya mengantuk. Alhamdulillah semua selamat tiba. InsyaAllah, kalau ada rezeki, boleh bercuti lagi.

Bagaimana cuti anda?