Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Petang semalam, saya bertemu dengan seorang client di Pelita Nasi Kandar dekat dengan KLCC. Tujuan pertemuan kami itu adalah kerana, client ini mahukan penerangan yang lebih mendalam tentang wasiat dan perancangan harta pusakanya.

Biarlah saya namakan beliau sebagai Encik N. Encik N baru kematian isteri beberapa hari sebelum kita menyambut Ramadhan iaitu pada 7 Ogos 2010. Setelah menanyakan beberapa soalan, tahulah saya bahawa isteri Encik N :-

1) Baru berumur 50 tahun

2) Mempunyai aset melebihi RM1,000,000 (termasuk EPF, Unit Trust, Simpanan dan sebagainya)

3) Meninggal mengejut (masalah saluran darah di otak) dan tidak pernah mengalami apa-apa penyakit kritikal sebelum ini dan menurut doktor, penyakit ini amat jarang berlaku

4) Meninggalkan 4 orang anak lelaki

5) Yang paling sedih, tidak mempunyai sebarang WASIAT!

Sekarang, menjadi tugas suaminya iaitu Encik N untuk menguruskan aset isterinya. Perlu memohon Surat Tadbir Harta dari pihak mahkamah untuk mencairkan aset si isteri dan seterusnya mengagihkan mengikut hukum Faraid (kerana isterinya tidak sempat menulis wasiat).

Hal ini mungkin mengambil masa 3-5 tahun atau mungkin lebih sekiranya terdapat aset tidak alih seperti tanah dan rumah untuk diagihkan. Bukankah ini memerlukan tuntutan masa dan wang ringgit? Turun naik mahkamah. Turun naik pejabat tanah.

Sebenarnya orang kita (Muslim) sangat berkira tentang duit (kos menulis wasiat) daripada terpaksa membiarkan waris yang tinggal bersusah payah turun naik mahkamah untuk menguruskan hartanya apabila mereka sudah tidak ada kelak. Kalau harta tu berjuta, rasanya berbaloi jugak untuk turun naik mahkamah. Kalau setakat RM20,000, ditambah pula waris tu duduk di kampung, terpaksa pula turun naik ke bandar (misalnya) untuk menguruskan aset si mati, tidakkah ini menyusahkan? Silap-silap, kos ke hulu-ke hilir tu lagi banyak daripada harta yang ditinggalkan.

Satu lagi, tahukah anda bahawa apabila kita meninggal dan tidak mempunyai wasiat, segala aset kita seperti kereta, motor dan sebagainya akan terbeku sama? Jadi, waris yang tinggal tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan insurans kerana aset tersebut masih atas nama si mati. Sekiranya terdapat wang tunai di akaun bank, pon turun dibekukan. Kasihan sekiranya si mati masih mempunyai anak kecil yang memerlukan sejumlah wang yang besar untuk tujuan persekolahan anak-anak itu dan belanja sara hidup yang lain. Mereka terpaksa menunggu aset tersebut dicairkan sebelum dapat digunakan. Dan proses untuk mencairkan aset ini adalah bahagian yang paling rumit dan banyak mengambil masa berbanding proses pengagihan.

Encik N sangat berminat untuk membuat wasiat bagi aset-asetnya kerana menyedari, urusan untuk mencairkan aset arwah isterinya serta urusan pengagihan aset tersebut amat memenatkan. Anda pula bagaimana?

Jangan tunggu lagi. Lakukan sekarang ya!

———————————————————-

Artikel ini dipetik dari Harian Metro 2 Oktober 2010

RM40 bilion aset umat Islam dibekukan

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my
2010/10/02

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila sebanyak RM40 bilion aset umat Islam dibekukan berikutan pelbagai sebab, termasuk kegagalan si mati menulis wasiat ketika hidupnya

Ketua Pegawai Eksekutif ED Al Kausar Resources, Mohammad Adry Radzali berkata, jumlah itu berdasarkan laporan dikeluarkan Amanah Raya Berhad tahun lalu.

Menurutnya, aset yang dibekukan itu merangkumi tanah, rumah, bangunan kedai, saham, wang simpanan dan sebagainya.

Katanya, jika tidak dituntut dalam tempoh tujuh tahun, wang tunai yang disimpan di dalam bank akan diselenggarakan mengikut Akta Wang Tak Dituntut, Jabatan Akauntan Negara.

“Namun keadaan itu berbeza bagi harta tidak boleh dialih seperti tanah dan rumah kerana jika tidak dituntut, ia terpaksa dibekukan.

“Pemilikan harta berkenaan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya tanpa persetujuan waris yang sah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, penulisan wasiat dilihat sebagai satu langkah untuk mengurangkan masalah itu, namun tidak semua umat Islam di negara ini jelas mengenainya.

Katanya, wasiat adalah satu deklarasi oleh seseorang ketika hidup ke atas hartanya atau tujuan lain yang dibenarkan oleh undang-undang Islam yang berkuat kuasa selepas kematiannya.

Mengulas kes kematian jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, yang dibunuh kejam awal bulan ini, Mohammad Adry berkata, jika mengikut hukum, harta berkenaan mesti dibahagikan secara faraid.

Katanya, Sosilawati tidak membuat wasiat bagi membahagikan semua hartanya walaupun difahamkan dia ada membuat kenyataan secara lisan mahu menyerahkan harta itu kepada anaknya.

“Kenyataan secara lisan tidak boleh dikira sebagai wasiat yang sah kerana ia tidak ada hitam putih dan boleh dipertikaikan.

“Bagaimanapun, itu semua bergantung kepada persefahaman dan persetujuan antara anaknya untuk menggunakan cara yang dirasakan sesuai untuk membahagikan harta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, perbincangan dan kata sepakat perlu dicapai jika mereka mahu membahagikan harta itu secara adil dan mengelak timbulnya masalah.


Gambar curik

Bersedekah merupakan amalan yang sangat dituntut oleh Islam dan bagi agama lain juga sangat menggalakkan penganutnya menderma. Adakah dengan bersedekah, seseorang itu akan bertambah miskin? Sudah tentu sekali tidak. Menurut salah sebuah buku yang saya baca iaitu Ajaibnya Bersedekah : Semakin Bersedekah Semakin Kaya, dengan mengamalkan amalan bersedekah, Allah akan mengurniakan rezeki yang lebih melimpah ruah kepada kita. Tapi di dalam entry ini, bukan tajuk ini yang ingin saya kupas.

Saya terpanggil untuk menulis entry ini apabila terbaca artikel di dalam Kosmo Online – Pengemis auta bazar Ramadan.

Baiklah. Saya ingin bertanya kepada saudara pembaca, apabila kita ingin bersedekah, patutkah kita terlebih dahulu melihat/memeriksa kepada golongan manakah yang akan menerima sedekah tersebut? Tepuk dada tanya selera! Tapi bagi pendapat peribadi saya, ya, saya akan memeriksa terlebih dahulu.

Mungkin ada yang berpendapat, “Ala..bagi jelah. Kalau orang tu tipu, lantaklah dia. Dia yang dosa.  Asalkan kita dah bagi cukuplah“. Betul? Ya, tapi perbuatan inilah yang lebih menggalakkan sindiket-sindiket tertentu mengaut keuntungan tanpa perlu berusaha keras sepertimana golongan susah dan miskin yang lain.

Kalau dulu, saya pun jenis main bagi je kalau ada budak-budak (pengemis) atau orang buta yang datang ke meja (biasanya ketika makan di restoran). Tapi setelah mendengar cerita rakan saya sendiri bahawa dia pernah berpura-pura menjadi buta dan meminta sedekah daripada orang ramai semata-mata untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia ini sangat pemurah, maka saya tidak lagi memberi sedekah secara membabi buta.

Menurutnya, satu hari beliau dan rakannya telah pergi ke Fraser Hill. Sape yang pernah pegi Fraser Hill ni, mesti tau bagaimana keadaan di atas sana. Walaupun Fraser Hill merupakan salah sebuah pusat peranginan yang agak terkenal di Malaysia tetapi jumlah pelancong yang datang ke situ tidak begitu ramai. So, dia dan rakannya tadi berpura-pura menjadi orang buta dan mereka cuba meminta sedekah. Round punya round, selama sejam jugaklah mereka membuat kerja ini. Cuba teka berapa collection mereka untuk satu jam?

Dapat teka? Agak-agak? Berapa collection mereka selama sejam (dengan mengambil kira jumlah orang di atas Fraser Hill tersebut)? RM5? RM20? Salah! Jawapannya, RM100+. Gila tak gila pemurah rakyat Malaysia ni.

Cuba anda bayangkan fakta ini :-

1. Kawan saya hanya berpura-pura buta

2. Jumlah orang yang tak begitu ramai

3. Jumlah collection RM100+ sejam (kalah gaji programmer!)

Golongan lintah darat/haprak/mangkuk hayun manakah yang sanggup menolak peluang ini? Lebih-lebih lagi sekiranya mereka beroperasi di tempat-tempat awam yang dipenuhi dengan manusia seperti di puduraya, stesen bas besar, kedai-kedai makan di Taman Tun, Mont Kiara dan beberapa tempat mewah yang lain. Ya, memang bukan semua yang akan memberi duit kepada mereka. Tetapi sejam di KL, berapa ratus orangkah yang mereka boleh jumpa? Takkan dalam 100 orang, 10 orang tidak menghulur?

Seorang lagi rakan saya juga pula menceritakan bahawa dia pernah ternampak sorang mamat ni. Memula mamat ni jalan biasa je. Macam orang normal yang lain. Tapi sebaik sahaja sampai di port tempat meminta sedekah, tetiba mamat ni terus keluarkan tongkat buta dia. Zaaassss!!! Taraaaa…kelengkapan meminta sedekah sudah tersedia. Bersedia untuk bertugas! Palotak ko!

So, di bulan Ramadhan yang mulia ini, karier pengemis/peminta sedekah ini bertambah berkembang maju. Mereka sedia maklum, orang Islam sedang berpuasa dan digalakkan bersedekah lalu golongan mangkuk hayun ini mengambil kesempatan di atas kelemahan kita umat Islam. Mulalah bazar Ramadhan akan didatangi oleh orang-orang yang hampeh ni. Mereka duduk di atas jalan dengan kaki berbalut (kononnya kudung) dan kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, akan memberi mereka barang seringgit dua. Saya percaya collection mereka dari jam 4 petang – 7 malam mencecah ratusan ringgit! Apalah salahnya jika kita benar-benar ingin bersedekah, sedekahkan sahaja ke rumah-rumah orang tua, anak yatim, dan golongan yang sememangnya kita tahu benar-benar memerlukan.

So, terpulanglah kepada anda. Saya hanya berkongsi dua cerita ini sebagai pengajaran untuk kita. Periksa dahulu sebelum bersedekah. Walau bagaimanapun, sekiranya anda tetap ingin memberi, itu adalah hak anda. Sudah pasti ada ganjaran untuk anda di akhirat kelak. InsyaAllah.