Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih


Gambar curik

Bersedekah merupakan amalan yang sangat dituntut oleh Islam dan bagi agama lain juga sangat menggalakkan penganutnya menderma. Adakah dengan bersedekah, seseorang itu akan bertambah miskin? Sudah tentu sekali tidak. Menurut salah sebuah buku yang saya baca iaitu Ajaibnya Bersedekah : Semakin Bersedekah Semakin Kaya, dengan mengamalkan amalan bersedekah, Allah akan mengurniakan rezeki yang lebih melimpah ruah kepada kita. Tapi di dalam entry ini, bukan tajuk ini yang ingin saya kupas.

Saya terpanggil untuk menulis entry ini apabila terbaca artikel di dalam Kosmo Online – Pengemis auta bazar Ramadan.

Baiklah. Saya ingin bertanya kepada saudara pembaca, apabila kita ingin bersedekah, patutkah kita terlebih dahulu melihat/memeriksa kepada golongan manakah yang akan menerima sedekah tersebut? Tepuk dada tanya selera! Tapi bagi pendapat peribadi saya, ya, saya akan memeriksa terlebih dahulu.

Mungkin ada yang berpendapat, “Ala..bagi jelah. Kalau orang tu tipu, lantaklah dia. Dia yang dosa.  Asalkan kita dah bagi cukuplah“. Betul? Ya, tapi perbuatan inilah yang lebih menggalakkan sindiket-sindiket tertentu mengaut keuntungan tanpa perlu berusaha keras sepertimana golongan susah dan miskin yang lain.

Kalau dulu, saya pun jenis main bagi je kalau ada budak-budak (pengemis) atau orang buta yang datang ke meja (biasanya ketika makan di restoran). Tapi setelah mendengar cerita rakan saya sendiri bahawa dia pernah berpura-pura menjadi buta dan meminta sedekah daripada orang ramai semata-mata untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia ini sangat pemurah, maka saya tidak lagi memberi sedekah secara membabi buta.

Menurutnya, satu hari beliau dan rakannya telah pergi ke Fraser Hill. Sape yang pernah pegi Fraser Hill ni, mesti tau bagaimana keadaan di atas sana. Walaupun Fraser Hill merupakan salah sebuah pusat peranginan yang agak terkenal di Malaysia tetapi jumlah pelancong yang datang ke situ tidak begitu ramai. So, dia dan rakannya tadi berpura-pura menjadi orang buta dan mereka cuba meminta sedekah. Round punya round, selama sejam jugaklah mereka membuat kerja ini. Cuba teka berapa collection mereka untuk satu jam?

Dapat teka? Agak-agak? Berapa collection mereka selama sejam (dengan mengambil kira jumlah orang di atas Fraser Hill tersebut)? RM5? RM20? Salah! Jawapannya, RM100+. Gila tak gila pemurah rakyat Malaysia ni.

Cuba anda bayangkan fakta ini :-

1. Kawan saya hanya berpura-pura buta

2. Jumlah orang yang tak begitu ramai

3. Jumlah collection RM100+ sejam (kalah gaji programmer!)

Golongan lintah darat/haprak/mangkuk hayun manakah yang sanggup menolak peluang ini? Lebih-lebih lagi sekiranya mereka beroperasi di tempat-tempat awam yang dipenuhi dengan manusia seperti di puduraya, stesen bas besar, kedai-kedai makan di Taman Tun, Mont Kiara dan beberapa tempat mewah yang lain. Ya, memang bukan semua yang akan memberi duit kepada mereka. Tetapi sejam di KL, berapa ratus orangkah yang mereka boleh jumpa? Takkan dalam 100 orang, 10 orang tidak menghulur?

Seorang lagi rakan saya juga pula menceritakan bahawa dia pernah ternampak sorang mamat ni. Memula mamat ni jalan biasa je. Macam orang normal yang lain. Tapi sebaik sahaja sampai di port tempat meminta sedekah, tetiba mamat ni terus keluarkan tongkat buta dia. Zaaassss!!! Taraaaa…kelengkapan meminta sedekah sudah tersedia. Bersedia untuk bertugas! Palotak ko!

So, di bulan Ramadhan yang mulia ini, karier pengemis/peminta sedekah ini bertambah berkembang maju. Mereka sedia maklum, orang Islam sedang berpuasa dan digalakkan bersedekah lalu golongan mangkuk hayun ini mengambil kesempatan di atas kelemahan kita umat Islam. Mulalah bazar Ramadhan akan didatangi oleh orang-orang yang hampeh ni. Mereka duduk di atas jalan dengan kaki berbalut (kononnya kudung) dan kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, akan memberi mereka barang seringgit dua. Saya percaya collection mereka dari jam 4 petang – 7 malam mencecah ratusan ringgit! Apalah salahnya jika kita benar-benar ingin bersedekah, sedekahkan sahaja ke rumah-rumah orang tua, anak yatim, dan golongan yang sememangnya kita tahu benar-benar memerlukan.

So, terpulanglah kepada anda. Saya hanya berkongsi dua cerita ini sebagai pengajaran untuk kita. Periksa dahulu sebelum bersedekah. Walau bagaimanapun, sekiranya anda tetap ingin memberi, itu adalah hak anda. Sudah pasti ada ganjaran untuk anda di akhirat kelak. InsyaAllah.

Dicopy dari entry ini. Semoga kita sama-sama mendapat manfaatnya.

—————————————————————–

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Bersempena dengan kedatangan Ramadhan tidak lama lagi, ingin saya berkongsi dengan anda semua tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Solat Tarawih ini.

Pertama sekali, mari kita lihat antara dalil-dalil Sahih mengenai solat Tarawih ini:

1. Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.”

“Sesiapa mengerjakan sembahyang malam dalam bulan Ramadhan,  sedang ia beriman serta mengharapkan rahmat Allah Taala, maka ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu”
(Hadith Sahih,  riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a. (Sahih Muslim – bi Syarh al-Nawawi, 6:39))
Dan mari kita lihat bagaimana asal mulanya sembahyang Tarawih ini melalui hadith Sahih di bawah:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلَاتِهِ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلَاتِهِ فَلَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلَاةِ الصُّبْحِ فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ. (رواه البخاري)

“Dari `Aisyah r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. – pada suatu malam (dalam bulan Ramadhan) ketika jauh malam telah keluar (1) lalu sembahyang di masjid dengan diikuti oleh beberapa orang lelaki sebagai makmum.  Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu mereka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua) serta mereka bersembahyanglah bersama-sama Baginda.

Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu bertambah ramai orang-orang hadir di masjid pada malam yang ketiga. Rasulullah s.a.w. pun keluar ke masjid lalu sembahyang dengan diikuti oleh sidang jamaah.

Setelah sampai malam yang keempat, penuh sesaklah masjid dengan sidang jamaah (tetapi Baginda tidak datang) sehinggalah Baginda keluar ke masjid untuk mengerjakan sembahyang subuh.  Setelah selesai sembahyang, Baginda mengadap orang ramai lalu (memulakan ucapannya dengan memuji Allah Taala dan) mengucap syahadah, kemudian Baginda (menerangkan sebabnya Baginda tidak datang ke masjid untuk mengerjakan sembahyang tarawih bersama), sabdanya:

“Amma Ba’du, sebenarnya tidak terlindung kepada Aku tentang kedudukan kamu (sebagai orang-orang yang taat dan suka berbuat kebajikan), tetapi Aku bimbang bahawa (sembahyang tarawih) itu

akan difardhukan atas kamu(2), maka dengan itu kamu tidak terdaya mengerjakannya.”

(Imam al-Zuhri, salah seorang rawi hadith ini berkata): “Maka wafatlah Rasulullah S.A.W sedang perkara (sembahyang tarawih) itu berkeadaan demikian” (tidak dikerjakan dengan berjamaah).(3)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Semenjak itu sembahyang tarawih tidak dikerjakan dengan berjamaah di masjid tetapi masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian, sama ada di rumah atau di masjid.

Rujukan:
(1) Rumah Baginda s.a.w. berdekatan dengan masjid.
(2) Yakni Baginda bimbang akan turunnya wahyu yang mewajibkannya. Dalam sebuah hadith yang lain Baginda menyuruh orang ramai supaya mengerjakan sembahyang sunat pada waktu malam di rumah masing-masing.
(3) Fath al-Bari (5:158)

Kemudian, situasi ini berjalan terus sehinggalah ke zaman Saidina Umar R.A, barulah sembahyang tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah di masjid menurut seorang imam yang telah dilantik oleh Saidina Umar sendiri seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ. (رواه البخاري)

“Dari Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan,  saya mengiringi Umar bin al-Khattab ke masjid,  tiba-tiba (kami) dapati orang ramai (di situ) berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan yang berasingan, ada orang yang sembahyang seorang diri, ada pula yang sembahyang lalu diikuti oleh beberapa orang.

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata:  “Aku fikir, kalau aku kumpulkan mereka ini semuanya berimamkan seorang imam,  tentulah amalan itu amatlah baiknya.”

Kemudian ia mengambil keputusan lalu mengumpulkan mereka semuanya berimamkan Ubai bin Kaab.

Setelah itu, saya mengiringi Saidina Umar pada suatu malam yang lain (pergi ke masjid), (pada ketika itu) orang ramai sedang sembahyang berimamkan imam mereka (yang tersebut).

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata:  “Amalan ini satu perbuatan bid’ah yang baik …”(1)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Menurut huraian ulama’ rahimahullah, bahawa kalimah “bid’ah yang baik” yang disebutkan oleh Saidina Umar r.a., ialah arahannya mengenai “sembahyang tarawih dengan berjamaah” setelah ia menjadi khalifah Islam.

Dalam hadith ini diterangkan: Pada suatu malam Saidina Umar bersama-sama dengan seorang pengiringnya telah pergi ke masjid Nabi s.a.w. di Madinah,  lalu dilihatnya orang ramai sedang mengerjakan sembahyang tarawih dengan berpecah-pecah kepada beberapa kelompok di sana-sini. Ada yang sembahyang seorang diri, ada dua tiga orang yang menurut seorang imam dan ada pula yang lebih daripada itu menurut imam yang lain.

Melihatkan yang demikian, Saidina Umar pun mengarahkan mereka semuanya supaya menurut seorang imam yang dilantik olehnya mulai malam itu dan supaya mereka meneruskannya di sepanjang-panjang bulan Ramadhan.

Menurut huraian ulama’ Saidina Umar R.A,(2) bertindak demikian setelah ia berijtihad dan beristinbat berdasarkan amalan Rasulullah s.a.w.

Pertama – Rasulullah s.a.w. pernah mengerjakan sembahyang tarawih dengan berjamaah di masjid.

Kedua – Sungguhpun Baginda mengerjakannya dengan berjamaah selama tiga malam sahaja lalu memberitahu kepada orang ramai supaya masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian di rumah dan Baginda sendiri juga mengerjakannya di rumah sehingga akhir hayatnya – tetapi Baginda telah menerangkan sebabnya kepada umum iaitu Baginda “bimbang akan turun wahyu yang mewajibkan sembahyang tarawih itu” jika Baginda terus menerus mengerjakannya dengan berjamaah di masjid bersama sama dengan mereka.

Berdasarkan hakikat inilah Saidina Umar r.a., berijtihad mengarahkan supaya sembahyang tarawih dikerjakan semula dengan berjamaah, kerana perkara yang dibimbangkan oleh Rasulullah s.a.w. dahulu tidak akan berlaku. Kerana setelah Baginda wafat, tidak akan turun wahyu lagi – yang mewajibkannya.

Saidina Umar mengaku bahawa arahannya itu “bid’ah” tetapi ia “bid’ah yang baik” (bid’ah hasanah) kerana dapat menyatupadukan umat Islam dan kerana itulah ia diterima dengan ijma’ oleh sahabat-sahabat Nabi yang ada pada zamannya serta diwarisi oleh umat Islam turun temurun.”

Rujukan:
(1) Fath al-Bari (5:155) dan Nail al-A utar (4:56).
(2) Fath al-Bari (5:156).

Salam.