Haloooo.. Bertemu lagi kita di Cappadocia bagi menyambung kisah daripada episod sebelum ini di entry Cintaku Tertumpah di Dunia Dua Benua : Hari I Part II.
Seperti yang tercatat dalam buku itenerary, aktiviti kami di Cappadocia untuk hari kedua ialah naik hot air ballon (belon udara panas). Seawal 6 pagi lagi kami dikehendaki berkumpul di depan hotel sebab van dari syarikat Hot Air Ballon akan datang amik kitorang. Tak silap saya ada 6 buah van semuanya yang disediakan untuk mengangkut kami seramai 94 orang ni. Pagi-pagi buta tu sempatla amik gambo depan bilik dan sekitar hotel.
Syarikat yang kami gunakan ialah Kapadokya Ballons.
Bila van sampai, nama kami dipanggil seorang demi seorang untuk dikumpulkan mengikut kumpulan. Kumpulan ini akan naik van yang sama dan bakul belon yang sama juga. Satu van boleh memuatkan lebih kurang 16 orang penumpang.
Perjalanan dari hotel je stesen hot air ballon mengambil masa lebih kurang 15 minit. Bila sampai je kat stesen untuk naik belon tu, perasaan saya sangat teruja melihat belon-belon besar kat situ. Ada yang masih di atas tanah dan ada juga yang dah terbang megah di udara. Sape yang naik pagi-pagi, untunglah dapat tengok sunrise.
Akhirnya kami diarahkan supaya masuk ke dalam bakul masing-masing mengikut kumpulan. Setiap bakul boleh memuatkan 16-20 orang. Bakul dibahagikan kepada 3 bahagian. Kiri dan kanan merupakan bahagian untuk memuatkan penumpang manakala bahagian tengah adalah ruang untuk pilot dan tong gas khas. Jangan ngeri plak bila dengar ada tong gas. InsyaAllah selamat. Hehe..
Masa nak naik tu, kena panjat bakul tu sambil tetonggeng-tonggeng nak masuk dalam bakul. Mujur ada yang membantu. Akak berat dek. Susah nak angkat badan sendiri. Haha..
Lepas masing-masing dah masuk dalam bakul, bermulalah acara mengamik gamba. Belum terbang lagi masa tu. Tetap jugak nak pose-pose. Masa tu dah terasa bahang api yang membakar kat atas kepala.
Bila pilot menarik injap untuk menyalakan gas dengan lebih kuat, berderau jugak darah bila dengar api menyala-nyala kat atas kepala. Tapi keseronokan pengalaman pertama mengatasi ketakutan. So redha dan tawakal je.
Lepas sume dah ready, pilot kami mula menerbangkan belon sambil memperkenalkan diri beliau. Nama dia Serkan dan dia gelarkan hot air ballon dia sebagai Titanic. Dia juga memberitahu kami bahawa dia merupakan pilot kedua terbaik di situ. Kitorang tanyelah dia sape pilot yang No. 1? Kenapa dia tak jadi No. 1 terbaik? Dia cakap, pilot No. 1 sekarang kat hospital sebab eksiden belon. Hahaha kuang ajo buat lawak plak dia!!
Memula belon kami tak naik tinggi. Memain kat bawah je. Adalah dalam 10 meter dari tanah. Bengang je bila tengok belon-belon lain dah terbang tinggi. Rasanya 100 meter lebih jugak dorang naik tu. Jeles!! Pilot cakap dia tak boleh buat ape, memang semua bergantung pada angin. Kami redha je.
Tak lama lepas tu, angin mula meniupkan belon kami. Wahh!! Makin lama makin tinggi.
Kelihatan matahari dah mula terang-benderang. Bila pandang ke bawah, nampak rumah-rumah penduduk tempatan bersusun cantik.
Tak lama kemudian, belon kami dibawa angin ke bahagian lurah gunung. Nasib baik tak tersepit kat celah tu. Huhu..
Kat atas tu apelah lagi aktiviti nak dibuat selain bergambo, kan? Dengan pemandangan matahari yang bersinar, ada pulak nampak belon-belon lain yang turut sama terbang. Tak kira lagi dengan pemadangan gunung-ganang yang diseliputi salji dan batuan semulajadi dengan bentuk yang macam-macam. Subhanallah!! Cantik sungguh ciptaanMu! Bila menulis ni, tetiba saya rindu kenangan di sana. Rindu sangat-sangat. Rasa nak pegi lagi 🙁
Selain pemandangan gunung-gunung yang masih diseliputi salji, terdapat juga ladang yang luas tapi agak kering. Bila ditanya kepada pilot, rupanya tu ladang kentang, buah aprikot, oat, kekacang seperti almond dan bermacam jenis tanaman lagi. Kalau musim buah, mesti lagi cantik pemandangannya kan..
Selepas sejam kami di udara, tibalah masa untuk mendarat. Kami diajar cara pendaratan yang betul iaitu kaki dibengkokkan dan tangan kena pegang kuat-kuat kat handle tali yang diikat pada bakul. Pilot tu bagitau, walau apapun terjadi, tangan jangan lepas dari handle sebab ada kemungkinan masa mendarat nanti bakul tu akan tergolek ke belakang dan kalau tak pegang kuat-kuat, boleh tercampak keluar dari bakul. Uiiiii kecut semua pundi bila dengar.
Pilot cuba melakukan pendaratan pertama tapi angin makin kuat dan menerbangkan belon kami jauh dari stesen pendaratan yang biasa. Cubaan pertama gagal sebab ada wayar letrik. Kami makin jauh dan kami dapat lihat dari atas, van yang membawa kami tu mengikut je bakul belon kami diterbangkan. Sebab nanti dorang kena kutip kami semula.
Tak lama lepas tu, pilot cuba membuat pendaratan kedua di kawasan tanah lapang. Kami disuruh membengkokkan kaki dan pegang handle kuat-kuat. Tetiba saya dengar bunyi “Bukkkk!!!”. Yeah!! Kami berjaya mendarat. Dah boleh tarik nafas lega. Akan tetapi!!!! Sangkaan saya meleset uols. Tak sampai 3 saat, angin kuat menolak semula bakul kami ke atas. Sudahnya kami terbang lagi. Group lain rasanya dah lama landing dah. Sabo jelah. Van kat bawah, masih tak berputus asa mengikut kami.
Dalam 5 minit jugak kami berlegar-legar di udara sambil pilot terus mencari tempat yang sesuai. Tak lama lepas tu, sekali lagi kami mendarat. Gedebuk!! Bunyi bakul mencecah tanah. Punyelah kuat impact dia sampai topi sejuk yang saya pakai terlucut dari kepala. Pastu terasa percikan pasir masuk dalam mulut. Haha. Apa pun, Alhamdulillah kami selamat.
Lepas tu, masing-masing memanjat kuar dari bakul.
Dah keluar tu, sambung lagi bergambo.
Tetiba pilot kami hilang. Rupanya dia pegi carik van kami sebab jalan nak masuk ke tempat pendaratan kami tu, susah sikit. Van tu tak jumpa kot. Haha bayangkanlah entah ceruk mana kami landing.
Lebih kurang 10 minit gak, akhirnya van kami tiba bersama pilot. Lepas tu, lori yang nak angkut belon dan bakul pon sampai jugak. Yang bestnya, tetiba dorang bukak meja, lapikkan dengan pelapik meja. Susun gelas dan tuang jus minuman untuk kami. Kek pon ada. Romantik gilerr breakfast kat tengah ladang tu. Dengan angin sepoi-sepoi bahasa Turki, kami bersarapan dengan rakus!! Lapar wehhh!!
Lepas tu, pekerja-pekerja syarikat Kapadokya Ballons pun mengangkut belon dan bakul mereka dalam lori. Kami pulak masuk dalam van.
Lepas dah minum dan makan untuk lapik perut, kami dibawa balik ke hotel untuk sarapan betul-betul. Bila sampai kat hotel, tengok kawan-kawan yang lain dah ada. Sahla kami bakul terakhir yang mendarat. Kah kah..
Lepas sarapan, kami di bawa pula melawat tarikan di Cappadocia yang seterusnya iaitu Göreme Open Air Museum.
Kami tiba di Goreme Open Air Museum itu pada jam 9.15 pagi. Tiket masuk ke Göreme Open Air Museum ni ialah 15 Turki Lira tapi tiket kami semua telah dibayar oleh PruBSN Takaful.
Bagi saya, Göreme Open Air Museum merupakan sebuah landskap ciptaan Allah yang sangat menakjubkan, diukir sepenuhnya oleh hakisan. Ia diwartakan sebagai tapak UNESCO dan telah menjadi ahli UNESCO World Heritage sejak tahun 1984 lagi.
Di dataran terhakis lembah Göreme ini, terdapat batuan-batuan unik hasil aktiviti gunung berapi jutaan tahun yang lampau. Ditambah pula hakisan oleh angin dan air, menjadikan kawasan ini begitu unik dengan ciri semulajadi batuan yang membentuk tiang, menara dan obelisk (bentuk seperti jarum) setinggi 40 meter.
Di kawasan ini juga dahulunya merupakan tempat kediaman, perkampungan pendita dan bandar-bandar bawah tanah dan kekal menjadi habitat tradisional manusia sejak abad ke-4. Sebab tu kelihatan pintu-pintu pada batuan tersebut. Tapi sekarang dah takde sape tinggal kat situ. Hanya terdapat gereja-gereja kecil yang pernah digunakan pada suatu ketika dahulu. Sekarang jadi muzium je.
Kami dibawa melawat ke tiga chapel (gereja kecil) terkenal di Göreme Open Air Museum ini iaitu Nunnery, St. Barbara Church dan Snake Church. Setiap chapel ni ada sejarah dan tarikan tersendiri. Oleh kerana dalam chapel tu tak boleh amik gambo, so kitorang dengar jela tourist guide tu cerita.
Lepas tu, kami diberikan masa setengah jam untuk berjalan-jalan dalam kawasan tu. Dah tentula aktiviti mengamik gambo. Seb baiklah ada jurugambar sukarela yang sudi nak melayan saya. Tengkiu Faizal! Mehla saksikan aksi-aksi mendebarkan ahkak berposing di sana. Hhaha..
Sempat gak singgah beli souvenir kat sana.
Lepas melawat Goreme Open Air Museum, pada pukul 10.45 pagi kami dibawa pula ke gedung karpet terkenal. Seperti yang kita ketahui karpet Turki merupakan karpet terbaik dan terkenal dengan mutu pembuatannya. Menurut tourist guide kami, lebih 2,000 orang wanita di Turki diupah untuk menghasilkan karpet di rumah masing-masing dan dihantar ke gedung karpet untuk dipasarkan.
Kebiasaannya, sehelai karpet mengambil masa dua bulan hingga 5 tahun untuk dihasilkan. Sebab tu tak hairanlah kalau harganya agak tinggi iaitu paling cikai pun USD500.
Terdapat 3 jenis karpet yang dihasilkan iaitu jenis wool (sesuai untuk digunakan di lantai bilik tidur), jenis cotton (lebih detail, lebih lebar dan tahan lasak serta sesuai digunakan di ruang tamu dan ruang makan) serta yang akhir sekali jenis silk (saiz lebih kecil dan sesuai dijadikan hiasan dinding).
Di sana kami dibawa melihat bagaimana proses pembuatan karpet dijalankan iaitu daripada kepompong ulat sutera yang dijadikan benang, proses mewarna benang dan seterusnya kepada proses menyulam benang sehingga menjadi karpet. Bila tengok awek-awek Turki dengan penuh kesabaran menyulam benang tu jadi karpet, memang tabiklah. Kalo akaklah, agaknya silap sikit je terus haku campak-campakkan benang dengan gunting tu. Hhahaha tak sabar..
Sambil dihidangkan dengan apple tea (teh terkenal di Turki), kami dijampi serapah (fitnatun je) oleh staff kat gedung karpet tu untuk membeli karpet di sana. Adalah dalam 4-5 orang yang terjebak. Paling murah ada yang beli USD900 dan paling mahal yang dorang beli tak silap USD10,000. Penghantaran pulak PERCUMA sampai depan pintu rumah. Akak tengok je. Tak beli pon. Baik akak shopping baju. Haha..
Saya tanyelah dorang karpet mahal yang pernah terjual. Nak tau bape? USD1,000,000 yang ditempah oleh Prince of Japan yang mengambil masa 7 tahun nak disiapkan. Satu-satunya corak yang dorang buat. Bape besar tu tak pasti. Agaknya oenuh satu dewan kot.. Uiii…
Kami di gedung karpet tu sampai pukul 1 tengahari dan seterusnya dibawa makan tengahari di sebuah restoran yang menghadap Pigeon Valley yang lawa sangat-sangat. Sambil makan, sambil teruja. Nak tengok cemana canteknya Lembah Merpati tu? Nantikan sambungan di entry seterusnya..Huhu..