Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Malam tadi saya menonton 1957:Hati Malaya sekali lagi bersama dua orang anak saudara, Salyna dan Azlyna. Setelah bosan dengan rancangan di TV, saya mengajak mereka pergi menonton Hati Malaya. Ketika itu jam 9.30 malam. Terus saja saya membuka website cathaycineplexes.com.my dan tayangan yang ada ialah pada pukul 10 malam. Bersiap lebih kurang dan terus saja ke Cineleisure, Damansara. Mujur juga panggung wayang dekat dengan rumah. Orang tidak ramai, jadi kami mendapat tiket dengan mudah.

olyn.jpg
Aksi kanggaroo bersama Salyna

lyna.jpg
Leher tergeliat bersama Azlyna

Selepas habis tayangan pada pukul 12.30 malam, kami lepak di mamak, Sunway Damansara. Sambil makan, kami teruskan perbicangan tentang filem tersebut. Saya seronok mendengar yang mereka pun sangat suka dan teruja dengan filem itu. Sekali lagi kepada saudara pembaca, pergilah menonton filem ini! Saya percaya, pandangan anda terhadap Malaysia akan berubah.

Oleh kerana semangat patriotik kami mencanak-canak pada malam itu, selepas mabok-mabok (teh tarik) lebih kurang jam 1.30 pagi, kami menuju ke Dataran Merdeka. Sampai di Dataran Merdeka lebih kurang jam 2 pagi. Kelihatan ramai mat dan minah rempit di kawasan itu. Mungkin bersedia untuk berlumba. Rasa macam nak langgar je. Yelah, mereka menggangu lalulintas. Patutnya mereka ditangkap dan dipaksa menonton Hati Malaya. Hiks!

Setelah memarkir kereta di hadapan Kelab di Raja, kami berjalan kaki menyelusuri sepanjang jalan Dataran Merdeka. Terasa bangga. Entahlah, perasaan ini saya rasa hanya boleh anda dapati selepas menonton Hati Malaya. Saya mengakui, sebelum ini jika orang bertanya sama ada saya sayangkan Malaysia, saya akan hanya menjawab sayang tanpa ada apa-apa rasa di dalam jiwa. Tetapi, sekarang saya lebih memahami kenapa saya sayangkan Malaysia, negara yang terhasil dari jerih perih orang Melayu dalam menuntut kebebasan untuknya.

merdeka.jpg
MERDEKA!!!

Kebebasan Malaysia bukan sahaja hasil usaha Parti Perikatan (UMNO, MIC, MCA) sepertimana yang kita biasa baca dalam buku Sejarah. Tetapi, semangat yang sama untuk merdeka turut melibatkan gerakan kemerdekaan yang lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Johore State Federation of Trade Unions (JSFTU), Malayan Democratic Union (MDU) dan lain-lain parti sayap kiri lagi. Matlamat mereka sama iaitu menuntut kemerdekaan walaupun corak perjuangan yang berbeza. Oleh sebab itu, seorang anak muda dan aktivis seni iaitu Fahmi Reza telah menghasilkan sebuah filem pendek, filem yang telah memenangi anugerah The Freedom Film Festival (FFF07) iaitu 10 Tahun Sebelum Merdeka.

Filem dokumentari pendek ini memaparkan sejarah negara yang ‘tersembunyi’ serta menceritakan pengalaman yang dilalui oleh 5 individu yang turut serta dalam perjuangan politik kiri untuk membentuk sebuah gerakan kemerdekaan rakyat di Malaya, sepuluh tahun sebelum merdeka. Terima kasih kepada saudara Fahmi Reza yang sudi berkunjung ke blog ini dan meletakkan sendiri link filem pendek beliau di bahagian komen. Supaya senang saudara pembaca semua menonton filem 10 Tahun Sebelum Merdeka beliau, maka saya letakkan link itu di sini.

Argghh…sungguh segar pagi di Malaysia. Bersyukurlah dengan kenikmatan yang kita kecapi di bumi Malaysia. Tiada perang, cukup makanan, ada tempat tinggal, ada peluang pekerjaan (walaupun harga petrol dan tol akan naik lagi. Huh!).