Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

W.T.F!!! Tol naik lagi? PLUS (Pantang Lalu, Untung Samy) bercadang untuk menaikkan kadar tol sebanyak 10% mulai Januari depan. Best betul!! Nanti semua orang tak payah keluar rumah lagi. Tak payah pergi kerja lagi. Duduk sahaja di rumah. Yelah, semua naik. Harga petrol naik. Harga tol naik. Habis, kalau kos keluar rumah sehari sudah RM30, bagi mereka yang bergaji RM1500 dan ke bawah, cukupkah untuk menampung belanja seharian?

Ambil kiraan mudah,

Gaji sebulan = RM1500
Gaji bersih selepas tolak EPF = RM1335
RM30 belanja sehari x 22 hari bekerja = RM660
Baki gaji = RM675

Baki gaji sebanyak RM657 inilah yang digunakan untuk membayar sewa rumah, api air, telefon, ansuran kereta, belanja dapur, belanja sekolah anak-anak, nafkah isteri, belanja kecemasan, rokok (bagi mereka yang tidak sedar diri duit tak cukup) dan segala macam lagi belanja yang kalau disenaraikan memerlukan 18 helai kertas kajang! Bagaimana ya? Sudah semestinya tidak cukup. Kalau isteri bekerja, mungkin boleh meringankan beban suami. Masalah lain pula yang akan timbul. Siapa yang akan menjaga anak-anak? Upah nursery sahaja sudah RM200 untuk seorang anak. Jadinya, pi mai pi mai tang tu jugak.

Sebab itu, jangan dihairankan jika ada yang tua sebelum waktunya, sewel di usia muda atau tak kahwin-kahwin walaupun usia sudah menginjak ke waktu senja. Kalau diri sendiri tidak dapat ditanggung, bagaimana pula nak menanggung anak bini.

Jauh sudah saya melalut. Saya nak cerita tentang kenaikan harga tol tadi. Seperti yang kita tahu, Lebuh Raya Utara-Selatan mula dibina pada Mac 1988 oleh United Engineers (Malaysia) Berhad dan diberi hak mereka bentuk dan mengendalikannya, termasuk mengutip tol selama 30 tahun iaitu sehingga 31 Mei 2018.

Pada 20 Julai 1988, UEM menyerahkan segala tanggungjawab terhadap Lebuh Raya Utara-Selatan kepada Plus dengan persetujuan kerajaan dan Perjanjian Konsesi Tambahan Pertama ditandatangani bagi meningkatkan kadar tol serta melanjutkan tempoh konsesi sehingga 31 Mei 2030.

Pada 11 Mei 2002, Perjanjian Konsesi Tambahan Kedua ditandatangani untuk menyemak semula baki tempoh konsesi kadar kenaikan tol bagi menyelaraskan pampasan tol berikutan ketetapan kerajaan hanya menaikkan tol sebanyak 10 peratus daripada 11.24 sen setiap km kepada 12.36 sen satu km.

Kadar itu jauh lebih rendah daripada kenaikan 18 sen yang diminta Plus tetapi kadar yang dipersetujui itu hanya untuk tempoh 1 Januari 2002 hingga 31 Disember 2004 dan selepas itu disusuli peningkatan berjadual tol kelas 1 sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun.

Cuba bayangkan bahawa kadar tol akan naik 10% setiap 3 tahun sehingga tahun 2030. Saya nak cuba kira kadar tol dari Bukit Beruntung ke Kota Damansara 23 tahun lagi. Harga tol dari Bukit Beruntung ke Kota Damansara sekarang ialah RM5.00 selepas dinaikkan pada Januari 2005 yang lalu.

Jan 2005 – 2007 : RM5.00
Jan 2008 – 2010 : RM5.50
Jan 2011 – 2013 : RM6.10
Jan 2014 – 2016 : RM6.70
Jan 2017 – 2019 : RM7.40
Jan 2020 – 2022 : RM8.10
Jan 2023 – 2025 : RM8.90
Jan 2026 – 2028 : RM9.80
Jan 2029 – 2030 : RM10.80

Humanggg aiii…sekiranya saya berulang alik dari Bukit Beruntung ke Kota Damansara, saya perlu membayar harga tol sebanyak RM21.60 sehari. Tidak termasuk harga petrol yang saya jangka RM10/litre pada tahun 2030 nanti. Tidak mustahil kan? Agak-agak, pada tahun 2030 nanti, kenaikan gaji macamana ya? Jangan pula gaji masih RM1500, tetapi harga tol sudah menjadi berpuluh-puluh hengget! Hmm, entahlah.

Tidak dinafikan lebuhraya sememangnya menyumbang kepada kemajuan pesat negara kita. Masa yang panjang untuk ke sesuatu tempat dapat dipendekkan dengan penggunaan lebuhraya. Kalau dulu, mungkin mengambil masa sehari suntuk untuk ke selatan tanah air, tetapi sekarang hanya 4-5 jam sahaja. Sungguhpun begitu, dengan kenaikan harga tol yang kian meningkat saban tahun, amat membebankan rakyat seperti kita. Kalau kerajaan boleh menghantar Dr Sheikh Muzaffar ke angkasa, apa lah salahnya membantu rakyat dengan membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuhraya kan? Tak begitu Pak Samy nya? πŸ˜‰