Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Utusan Malaysia hari ini (6 Nov) melaporkan seorang wanita hampir mati memakan racun tikus kerana suaminya enggan membelikan pinggan mangkuk berjenama “Leno” untuknya. Hmm..kasihan..sungguh kasihan..hanya kerana pinggan mangkuk, nyawa sendiri hampir melayang. Nilai harga diri hanya semurah pinggan mangkuk Leno?Isk..Isk..Isk..

Tahukah anda bahawa ramai masyarakat Malaysia sedang sakit? Sakit jiwa atau sakit mental. Cuba anda bayangkan, purata tujuh orang mati saban hari atau berdasarkan statistik tahun 2004, seramai 2,004 orang mati kerana bunuh diri yang ada kaitan dengan masalah mental. Dan bagi setiap kes bunuh diri atau percubaan membunuh diri pula, terdapat seramai 20 orang sama ada ahli keluarga atau kawan mangsa akan terjejas dan terkena kesan secara langsung atau tidak.

Menggerunkan. Namun itulah hakikatnya. Pernahkah anda terfikir untuk membunuh diri jika ditimpa sesuatu masalah? Jika pernah, beristighfar banyak-banyak. Jika anda putus cinta, jangan dikesalkan perkara yang berlaku. Banyak cara yang boleh dilakukan untuk menghilangkan rasa sedih atau marah anda itu. Sekiranya anda insan yang ditinggalkan, cara yang paling mujarab ialah, bersemuka dengan bekas pasangan anda buat kali terakhir. Kemudian, setelah berbincang lebih kurang dan mendapat jawapan daripadanya, sila tumbuk atau lempang bekas pasangan anda itu. Percayalah, anda pasti rasa lega dan dapat melupakannya dengan segera. Hiks! (berdasarkan pengalaman sebenar)

Berbalik pada isu bunuh diri hanya kerana pinggan mangkuk, sukalah saya tegaskan di sini bahawa tindakan isteri tersebut adalah tindakan yang kurang waras atau dalam erti kata yang tidak sopan ialah BUDUS! Apekehenye ngko nak menggadai nyawa hanya kerana sebijik pinggan? Yang si suami pulak, mungkin malas nak melayan permintaan isteri. Maklumlah, pinggan mangkuk banyak lagi dalam almari yang tidak dipakai. Hanya dibuat hiasan untuk tatapan Kak Mah, Kak Bedah dan Kak Senah yang datang bertandang ke rumah sambil mencari uban dan ‘menganyam ketupat’.

Pada pendapat saya, orang yang berfikiran normal, tidak akan  melakukan tindakan ini. Hanya kerana tak dapat pinggan, bunuh diri? Mungkin si isteri tadi mengalami gangguan jiwa. Kalau tidak, takkan lah dia sanggup membunuh diri. Tapi entahlah. Mungkin juga dia sudah lama merajuk dengan perangai suami.

Sadis, sungguh sadis. Wahai para isteri yang tidak bekerja. Jika anda inginkan sesuatu barang dan tidak mendapatnya daripada suami, apa kata, duit belanja yang suami bagi, anda simpan sikit-sikit. Sudah cukup duit, jangankan pinggan Leno, gajah Leno (kalau ada jual) pun anda boleh beli. Betul tak? Orang lelaki ni memang, time suruh pompan buat itu ini bolehhhh aje. Time isteri nak mintak beli barang, langsung tak dipedulikannya. Patutnye letak racun tikus tu dalam air sirap si suami. Hahah! Amaran : Cadangan ini jangan diikut! 

Tetapi bagaimana pula dengan si suami yang langsung tidak memberi duit kepada isteri? Sudahlah tidak memberi, duit isteri pula yang dikebasnya. Kalau spesis ini, jangankan racun tikus, racun rumpai paraquat pun sangat disyorkan!

Malam tadi saya menonton 1957:Hati Malaya sekali lagi bersama dua orang anak saudara, Salyna dan Azlyna. Setelah bosan dengan rancangan di TV, saya mengajak mereka pergi menonton Hati Malaya. Ketika itu jam 9.30 malam. Terus saja saya membuka website cathaycineplexes.com.my dan tayangan yang ada ialah pada pukul 10 malam. Bersiap lebih kurang dan terus saja ke Cineleisure, Damansara. Mujur juga panggung wayang dekat dengan rumah. Orang tidak ramai, jadi kami mendapat tiket dengan mudah.

olyn.jpg
Aksi kanggaroo bersama Salyna

lyna.jpg
Leher tergeliat bersama Azlyna

Selepas habis tayangan pada pukul 12.30 malam, kami lepak di mamak, Sunway Damansara. Sambil makan, kami teruskan perbicangan tentang filem tersebut. Saya seronok mendengar yang mereka pun sangat suka dan teruja dengan filem itu. Sekali lagi kepada saudara pembaca, pergilah menonton filem ini! Saya percaya, pandangan anda terhadap Malaysia akan berubah.

Oleh kerana semangat patriotik kami mencanak-canak pada malam itu, selepas mabok-mabok (teh tarik) lebih kurang jam 1.30 pagi, kami menuju ke Dataran Merdeka. Sampai di Dataran Merdeka lebih kurang jam 2 pagi. Kelihatan ramai mat dan minah rempit di kawasan itu. Mungkin bersedia untuk berlumba. Rasa macam nak langgar je. Yelah, mereka menggangu lalulintas. Patutnya mereka ditangkap dan dipaksa menonton Hati Malaya. Hiks!

Setelah memarkir kereta di hadapan Kelab di Raja, kami berjalan kaki menyelusuri sepanjang jalan Dataran Merdeka. Terasa bangga. Entahlah, perasaan ini saya rasa hanya boleh anda dapati selepas menonton Hati Malaya. Saya mengakui, sebelum ini jika orang bertanya sama ada saya sayangkan Malaysia, saya akan hanya menjawab sayang tanpa ada apa-apa rasa di dalam jiwa. Tetapi, sekarang saya lebih memahami kenapa saya sayangkan Malaysia, negara yang terhasil dari jerih perih orang Melayu dalam menuntut kebebasan untuknya.

merdeka.jpg
MERDEKA!!!

Kebebasan Malaysia bukan sahaja hasil usaha Parti Perikatan (UMNO, MIC, MCA) sepertimana yang kita biasa baca dalam buku Sejarah. Tetapi, semangat yang sama untuk merdeka turut melibatkan gerakan kemerdekaan yang lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Johore State Federation of Trade Unions (JSFTU), Malayan Democratic Union (MDU) dan lain-lain parti sayap kiri lagi. Matlamat mereka sama iaitu menuntut kemerdekaan walaupun corak perjuangan yang berbeza. Oleh sebab itu, seorang anak muda dan aktivis seni iaitu Fahmi Reza telah menghasilkan sebuah filem pendek, filem yang telah memenangi anugerah The Freedom Film Festival (FFF07) iaitu 10 Tahun Sebelum Merdeka.

Filem dokumentari pendek ini memaparkan sejarah negara yang ‘tersembunyi’ serta menceritakan pengalaman yang dilalui oleh 5 individu yang turut serta dalam perjuangan politik kiri untuk membentuk sebuah gerakan kemerdekaan rakyat di Malaya, sepuluh tahun sebelum merdeka. Terima kasih kepada saudara Fahmi Reza yang sudi berkunjung ke blog ini dan meletakkan sendiri link filem pendek beliau di bahagian komen. Supaya senang saudara pembaca semua menonton filem 10 Tahun Sebelum Merdeka beliau, maka saya letakkan link itu di sini.

Argghh…sungguh segar pagi di Malaysia. Bersyukurlah dengan kenikmatan yang kita kecapi di bumi Malaysia. Tiada perang, cukup makanan, ada tempat tinggal, ada peluang pekerjaan (walaupun harga petrol dan tol akan naik lagi. Huh!).