Ujie Situ Sana Sini

Aku Hidup Kerana Cinta…Cinta Allah, Cinta Keluarga, Cinta Kekasih

Saya baru sahaja habis menonton filem Berbagi Suami di Astro Ria. Semasa tayangan di pawagam pada tahun lepas, saya tidak sempat menontonnya. Bagus juga ceritanya. Membuatkan saya tergelak sendiri. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang lelaki boleh menjalani kehidupan dengan tenang dan aman damai sekiranya beristeri empat. Salah satu plot dalam cerita tersebut ialah ketiga-tiga isteri lelaki itu mendapat tahu yang mereka bermadu dengan isteri ke-4 ketika upacara pengebumian suami mereka! Lawak betul.

Bagaimana agaknya jika saya berada di tempat salah seorang daripada mereka ya? Hmm..nauzubillah. Minta dijauhkan. Biarlah tidak mendapat payung emas di syurga. Untuk berkongsi kasih tidak sama sekali. Tetapi, kalau sudah begitu suratan yang telah Allah aturkan untuk saya, apa daya saya untuk menolaknya. TIDAKKKKKKKKKK!!! Walau bagaimanapun, selagi akal fikiran saya masih waras, suami orang bukanlah pilihan saya.

Berkongsi kasih memang menyesakkan dada. Sekiranya kita sakit hati orang mengambil hak kita, begitu juga perasaan orang yang diambil haknya. Perempuan, apabila sudah berkahwin, jiwa dan raganya hanya untuk seorang lelaki. (Bukan pengalaman saya. 😀) Berbeza dengan lelaki, hatinya boleh dibahagi 4. Lebih teruk lagi boleh dibahagi 10! Ya, saya tau, lelaki boleh berkahwin 4 tetapi mampukah si suami tadi berlaku adil, zahir dan batin? Kalau soalan yang satu ini tidak boleh dijawab, simpan saja niatmu itu wahai Encik Lelaki. Gaji tak sampai RM2000, pergi kerja pun naik motor kapcai, ada hati nak beristeri lebih!

Sepertimana firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 3 yang berbunyi :

وان خفتم ألا تقسطوا في اليتامى فانكحوا ما طاب
لكم من النساء مثنى وثلاث ورباع فان خفتم
ألاتعدلو فواحدة أو ما ملكت أيمنكم ذلك أدنى
ألا تعولوا

“Dan jika kamu tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (apabila kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”
(An-Nisa: 3)

Dalam bab berpoligami, lelaki biasanya akan mengguna pakai ayat yang saya boldkan di atas saja dan terlupa pula untuk mengambil kira ayat yang saya merahkan itu. Sedangkan mereka tahu, mereka tidak boleh berlaku adil. Adil tak adil belakang kira, yang penting kenikmatan beristeri baru!

Ayat berikutnya Allah s.w.t berfirman :

ولن تستطيع أن تعدلوا بين
النساء ولو حرصتم فلا تميلوا كل الميل
فتذروها كالمعلقة وأن تصلحوا وتتقوا فا ن
الله كان غفورا رحيما

“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walau
pun kamu sangat ingin berbuat demikian. Kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai) sehingga kamu biarkan yang lain tergantung-gantung, dan jika kamu melakukan kebaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
(An-Nisa: 129)

Ya Encik Lelaki, sekiranya anda tahu dengan berpoligami anda akan menyusahkan banyak pihak, padamkanlah niat anda itu dengan kadar segera. Kasihanilah isteri dan ibu kepada anak-anak anda itu. Entahlah, bagi saya poligami lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Hanya segelintir sahaja yang menemui kebahagiaan dengan berpoligami. Yang lain? Banyak kes-kes wanita yang dimadu dibiarkan terkontang-kanting menyara anak bersendirian. Digantung tidak bertali oleh suami durjana dan terdapat juga kes-kes mahkamah syariah yang masih tertunggak walaupun suami isteri itu sudah tidak sebumbung selama 10 tahun!

Yang menerima kesan paling buruk, tentulah wanita. Lelaki senang saja. Mengulit isteri baru dan isteri lama diperlakukan seperti kain lap kaki sahaja. Jangan cuba nak menafikan hakikat ini ya.

Besar harapan saya agar masih ramai lelaki yang baik-baik di luar sana. Itulah doa saya setiap hari. Amin…

Pada hari raya ketiga lepas, sepupu saya mengajak ke rumah rakannya di Sabak Bernam. Menyelusuri sepanjang jalanraya di sekitar Sekinchan dan Tanjung Karang, saya melihat rumah-rumah besar tersergam mewah dan cantik. Dibina di tepi sawah padi yang menghijau. Bukan satu dua rumah yang sebesar begitu. Saya rasa lebih 10 buah rumah. Ada yang dibina 3 tingkat siap dengan balkoni dan pagar melingkar mengelilingi rumah! Di hadapan rumah pula bersusun kereta mewah anak-anak di bawah garaj. Dalam hati saya, kalau rumah sebesar ini dibina di Kota Damansara, harganya mau mencecah jutaan ringgit.

Terfikir di benak saya, mereka hanya orang kampung, tetapi rumah mengalahkan kita yang kononnya berjawatan tinggi, gaji beribu dan tinggal pula di kota metropolitan. Cepat-cepat saya tepis dengan membuat rumusan, itulah habuan untuk mereka yang berbudi kepada tanah. Ya, berbudi kepada tanah.

Saya kira, mereka dahulunya hanya petani saja. Bersawah dan bercucuk tanam. Cuba lihat sekarang, hasil penat lelah mereka berpuluh tahun terbayar dengan kehidupan serba mewah yang mereka kecapi kini.

Bagi sesiapa yang pernah melalui jalanraya di Sekinchan dan Tanjung Karang, pasti pernah melihat buah pelam dan jagung bersusun di atas rak, dijual oleh penduduk kampung di sepanjang jalan. Agak-agak, berapa ye pendapatan mereka? Makcik saya sendiri, seorang guru sekolah rendah yang berkahwin dengan orang Sekinchan, juga hanya seorang guru, mampu hidup mewah dengan hasil tanaman pelam dan tanaman-tanaman lain. Kalau pergi ke rumahnya, silap haribulan kita ingat kita pergi ke rumah Pegawai Daerah.

Seorang pakcik saya pula memang rajin menanam sayur-sayuran di belakang rumah. Kacang botol, cili, jagung dan bermacam-macam lagi. Nak makan, petik saja. Jimat dan dijamin kandungannya tidak terkena racun rumpai. Jauh sedikit dari rumahnya, dia bercucuk tanam pisang, ubi kayu, keladi, betik, jagung dan pelbagai jenis sayuran lagi. Untungnya kalau berbudi kepada tanah, tanah jadi subur, kita pula mendapat hasil. Boleh dijual dan juga dimakan. Seronok kan?

pakandak.jpg
Pakcik saya eksyen dengan ubi kayunya

ulat.jpg
Ulat beluncas tengah berposing. Kacau daun betul!

Dalam perjalanan balik dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor, kami melalui lagi jalan tadi. Saya asyik melihat rumah-rumah pakcik makcik petani itu. Pasti terbit rasa bangga di hati mereka, walaupun dengan hanya menjadi petani, penat lelah, jerih perih dan keringat mereka mampu menyekolahkan anak-anak hingga ke menara gading dan tiba masanya sekarang mereka menuai hasilnya!