Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. 3 hari sebelum Ramadhan, iaitu pada 29 Ogos 2008 bersamaan hari Jumaat, salah seorang sepupu saya, Asmah binti Mohd Sadik atau lebih mesra dipanggil Awie, telah meninggal dunia akibat kanser payudara. Beliau meninggalkan seorang suami dan 2 orang anak lelaki. Kak Awie meninggal dunia selepas Asar dan dikebumikan pada hari Sabtu.
Mak saya balik ke Kuala Selangor pada pagi Jumaat. Mak dan saudara-mara yang lain sempat melihat Kak Awie menghembuskan nafasnya yang terakhir. Alhamdulillah, beliau pergi dengan keadaan yang tenang dan dalam senyuman tergambar di wajah arwah. Saya pula hanya sempat balik ke Kuala Selangor pada sebelah malam dan sampai ke Kuala Selangor hampir jam 11 malam.
Alhamdulillah, ramai saudara-mara dan rakan-rakannya datang menziarahi dan membaca Yassin untuknya.
Saya juga menghadiri pengkebumian jenazah di kubur. Saya lihat, tanah kuburnya berlebih-lebih. Selepas kuburnya ditimbus pun, ada lagi lebihan tanah. Ada orang cakap itu adalah satu petanda yang baik. Betul atau tidak, tak taulah. Bukan apa, ada juga yang mana apabila ditanam dan dikambus kuburnya, tanah tak cukup-cukup. Sampai berlubang pun ada. Kena cari tanah lain pula. Walau apa pun, semua Allah punya kuasa. Allah Maha Mengetahui.
Bagi saya, Kak Awie seorang sepupu yang baik. Walaupun mulutnya bising sedikit, tapi dia baik hati. Tak kedekut dan tak berkira. Semasa saya nak bertunang dulu, dia beriya-iya suruh saya sewa kanopi dan nak sponsor. Saya ikutkan aje tapi tak jadi kerana kebetulan beberapa hari sebelum majlis bertunang tu, arwah terpaksa dimasukkan ke hospital kerana kansernya tiba-tiba menyerang dan doktor mengesan terdapat ketumbuhan kecil di belakang kepalanya.
Kak Awie, bertudung hitam berbunga merah bersama adik-beradiknya, ibunya dan mak saya semasa hari raya tahun lepas.
Kak Awie juga sangat pembersih dan rumahnya sentiasa kemas dan teratur. Saya sangat suka melepak di rumahnya di tepi sungai. Kalau saya bawak kawan-kawan dari KL, memang ke rumahnya lah saya tuju (selain markas tetap-rumah mak Azlyna). Macam terbayang-bayang pulak dia duduk di kerusi rehat di beranda rumahnya.
Nampaknya, raya tahun ni, tak dapatlah kami bergurau-senda dengannya. Kak Awie, semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman. Kami akan selalu merinduimu…Al-Fatihah
———————————————————
Sedikit pengetahuan tentang kanser payudara.
Penyakit barah payudara (breast cancer) merupakan barah tisu payudara / buah dada. Di seluruh dunia, ia merupakan penyakit barah paling meluas di kalangan wanita, menyerang sekitar 10% semua wanita pada semua peringkat umur di dunia Barat. Walaupun usaha meluas dijalankan bagi pengesanan awal dan rawatan berkesan, sekitar 20% wanita dengan barah payudara akan meninggal disebabkan penyakit tersebut, dan ia merupakan bentuk barah kedua yang mengakibatkan kematian tertinggi bagi wanita. Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pula menunjukkan kira-kira 94% kes yang dirawat di hospital kerajaan sudah ditahap paling kritikal dan sukar dipulihkan dan kemungkinannya membawa maut.
Baca seterusnya di sini.
Juga di sini.