Sedang saya surf Internet, tiba-tiba saya dapat panggilan dari seorang lelaki yang tidak dikenali. Kalau tak salah pendengaran saya, Zam namanya (Maaf ‘Encik Zam’, kalau silap).
Dialog di bawah menggunakan dialek Bengkulu.
Encik Zam : Sape kak? Sape name nga?
Alihbahasa : Siapa ni? Siapa nama kau?
Saya : Ikak Ujie
Alihbahasa : Ini Ujie
Encik Zam : Saje bae..Bai bace blog nga
Alihbahasa : Saja-saja..Baru baca blog kau
…Dan seterusnya perbualan kami yang lain menggunakan Bahasa Bengkulu..Untuk pengetahuan pembaca, perkataan seperti “sape“, “saje“, “name” adalah menggunakan ‘e’ pepet..
Encik Zam berketurunan Bengkulu juga tetapi sekarang menetap di Shah Alam. Cuma saudara-maranya ramai di Sungai Choh. Keturunan Bengkulu, seperti juga Jawa, Banjar, Bugis merupakan keturunan yang berasal dari Indonesia. Cuma taburan etnik kami tidaklah seramai kaum Jawa, Banjar dan sebagainya. Di Malaysia, penempatan etnik Bengkulu paling popular dan paling ramai adalah di Kampung Sungai Choh, Behrang dan Gemas.
Menurut laman web Persatuan Bengkulu Malaysia, perkataan BENGKULU berasal dari BANGKA HULU yang bererti PINANG HULU (pinang yang hanyut dari hulu sungai). Ia adalah sebuah Provinsi di Selatan Sumatera, Indonesia yang telah dibentuk pada 18 November 1968 dan penduduknya menyambut Hari Ulang Tahun (HUT) Provinsi Bengkulu pada 18 November setiap tahun.
Dari daerah inilah nenek moyang kami berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu (atau Malaya ketika itu). Tumpuan mereka ialah di Selangor yang mereka kenali dengan nama Klang. Kapal layar (perahu bercadik) dari Bengkulu berlabuh di pelabuhan Klang yang di beri nama Port Swettenham semasa zaman penjajah British. Penghijrahan orang Bengkulu ke Malaya bermula pada tahun 1890an dan awal tahun 1900an iaitu semasa Bengkulu di bawah jajahan Belanda.
Tempat yang diterokai ialah di Kampung Sungai Chu (sekarang Sungai Choh) di daerah Hulu Selangor, di Sungai Pagi, Behrang, di Sungai Merab, Sungai Kembong dan kemudian ke Gemas, Negeri Sembilan. Walaupun Gemas merupakan tempat terakhir didatangi oleh orang Bengkulu namun disini sajalah mereka memberi nama Kampung Bengkulu kepada kampung mereka hingga kini.
Masa berlalu dan ramai orang Bengkulu berkahwin campur dengan suku kaum lain seperti Jawa, Minangkabau, Bugis dan lain-lain lagi; terutama selepas Perang Dunia Kedua. Ini mengakibatkan penghijrahan anak-anak Bengkulu ke seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka tahu dan tetap mengenang asal keturunan mereka.
Suatu ketika dahulu, Majalah 3 pernah membuat liputan mengenai keturunan Bengkulu di Malaysia. Tak salah saya tahun 2000, begitulah. Masa tu, glamer lah kejap Kampung Sungai Choh. Hiks! Dalam liputan tersebut, diceritakan tentang ciri-ciri keturunan Bengkulu yang bermata sepet seperti Cina, berkulit cerah dan berhidung mancung. Yang lekat pada saya, SEPET sahaja. Berkulit cerah dan berhidung mancung tak sangkut siot. Haha. Ni mesti ikut mak saya yang berketurunan Minang + Bugis Kuala Selangor. Oh ya! Saya berketurunan Bengkulu dari sebelah arwah bapa saya.
Selain mempunyai bahasa tersendiri, kaum Bengkulu juga mempunyai makanan popular iaitu Tat Bengkulu, Ocong-ocong dan Bebotok.
Terdapat juga individu-individu yang agak dikenali berketurunan Bengkulu seperti Erra Fazira, Ustaz Ismail Kamus dan Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom (orang kuat bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad b. Mohd Taib). So, walaupun etnik Bengkulu seco’et je, tapi glam la jugak. Haha.
Oklah, cukuplah setakat ni dulu. Bacaan lain tentang keturunan Bengkulu bolehla tengok di bawah ni:-
Persatuan Bengkulu Malaysia
Anak Bengkulu